Monday, June 19, 2017

Book Review: Ketika Malaikat Tidak Bersayap

Tajuk: Ketika Malaikat Tidak Bersayap

Penulis: Anas Al-Hazimi

Menariknya Naskah Ini:

Alhamdulillah, ini adalah Book Review yang ketiga untuk bulan Jun ini. Sebenarnya, ada banyak buku yang Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaannya. Namun, rasa malas saja apabila hendak menulis Book Review. Bila tengok deretan buku-buku yang pending Book Review, rasa stress pula, hehe.. Jadi, biarlah Patung Beruang tulis sedikit demi sedikit sehinggalah habis ye... 

Naskah Ketika Malaikat Bersayap menghimpunkan 83 buah cerita menarik yang dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu:

Bahagian 1: Moral-Moral Kebijaksanaan
Bahagian 2: Insaf Diri ke Arah Kualiti Diri
Bahagian 3: Kubur, Bencana Akhir Zaman dan Tanda-Tanda Kematian
Bahagian 4: Jiwa-Jiwa Yang Gagah
Bahagian 5: Unik, Lucu, Alam Bertasbih dan Sejarah

Penulis memberikan permulaan pengembaraan kepada pembaca dengan kisah pertama yang bertajuk Taubat Di Akhir Hayat. Kisah ini membawa kita kepada kisah seorang Syaikh yang dalam perjalanan ke kota Mekah bagi menunaikan ibadah haji. Kemudiannya, beliau berniat untuk pergi ke Madinah bagi menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Malangnya, ketika dalam perjalanan, beliau telah dihadang oleh seorang Arab Badwi dan ditangannya sedang memegang sebilah pedang yang besar. Arab Badwi bertanya tentang tujuan perjalanan Syaikh ini dan apakah pekerjaan Syaikh tersebut. Apabila beliau menyatakan yang beliau adalah guru yang mengajar Al-Quran kepada kanak-kanak, Arab Badwi tersebut meminta beliau membacakan sepotong ayat Al-Quran. Syaikh tersebut membaca ayat ke-2 dari Surah Az-Zariyat yang bermaksud;

"Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu."

Selesai ayat tersebut dibacakan, Arab Badwi itu terus mencampakkan senjatanya dan menangis. Arab Badwi menangisi dirinya sendiri yang selama ini hidup sebagai perompak dan merampas harta orang lain. Dia merasakan yang dia telah mengkhianati rezekinya yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Ternyata Arab Badwi itu sangat menyesal dengan kelakuannya selama ini dan mahu bertaubat dengan bersungguh-sungguh. 

Pada tahun berikutnya, Syaikh tersebut datang sekali lagi ke Mekah. Ketika sedang bertawaf, beliau terjumpa dengan Arab Badwi yang ingin merompaknya pada tahun sebelumnya. Perjumpaan yang tidak disangka dan watak Arab Badwi itu juga sudah berbeza dari sebelumnya. Seperti biasa Arab Badwi tersebut meminta Syaikh membacakan lagi sepotong ayat Al-Quran. Setelah mendengar bacaan ayat Al-Quran, Arab Badwi menangis tersedu-sedu dan akhirnya pengsan. Tidak lama selepas itu Arab Badwi tersebut pergi menemui Penciptanya. 

Ternyata Allah telah memberi hidayah kepada Arab Badwi itu melalui Syaikh tersebut. Hanya dengan sepotong ayat Al-Quran, Arab Badwi tersebut tidak jadi untuk merompak malah terus insaf atas kesalahan lalunya. Dan yang penting, Arab Badwi diberi kesempatan untuk bertaubat dan memohon keampunan dari-Nya sebelum hayatnya didunia ini berakhir...



Istanaku Didalam Hati membawa kita kepada Khalifah Umar al-Khattab yang sangat mencintai akhirat sehingga jawatannya sebagai Khalifah tidak pernah membutakan mata dan hatinya. 

Pada suatu hari, seorang Yahudi Mesir telah tiba di Madinah dan beliau berhasrat untuk berjumpa dengan Khalifah Umar. Pada pemikirannya, Khalifah Umar pasti menghuni sebuah istana yang indah dan mewah, sesuai dengan statusnya sebagai seorang pemimpin masyarakat. 

Namun, Yahudi Mesir ini terperanjat apabila mendapati Khalifah Umar adalah seorang lelaki yang memakai jubah kusam dan sedang bersandar di bawah sebatang pokok kurma. Tatkala ditanya oleh Yahudi Mesir, dimanakah istana Khalifah Umar, beliau mengatakan yang beliau hanya mempunyai kediaman iaitu sebuah bangunan kecil dan kusam yang berada di sudut jalan. Beliau juga menyatakan istananya berada didalam hati yang tenteram dengan beribadah kepada Allah s.w.t. 

Sifat zuhud Khalifah Umar ini telah memikat hati Yahudi Mesir sehingga dia melafazkan kalimah syahadah dan nekad untuk bersama Islam sehingga ke akhir hayat. 

Betapa hebatnya pemimpin yang bernama Khalifah Umar al-Khattab ini.. 


Pada zaman Nabi Daud a.s., terdapat 2 orang wanita yang datang mengadu kepada beliau dengan mengatakan seekor serigala telah membawa lari seorang anak daripada kedua-dua wanita ini. Dan kini wanita-wanita ini berebut untuk mendapatkan anak yang terselamat. Masing-masing mengaku yang kanak-kanak itu adalah anak mereka. 

Nabi Daud a.s. memeriksa anak ini dan juga kedua-dua wanita itu, seorang wanita tua dan seorang wanita muda. Setelah pemeriksaan, Nabi Daud a.s. memutuskan yang anak itu adalah milik wanita tua. 

Ketika kedua-dua wanita dan anak itu keluar meninggalkan Nabi Daud a.s., mereka melintas di hadapan Nabi Sulaiman a.s.. Tanpa diketahui, Nabi Sulaiman a.s. telah mendengar persoalan yang dibangkitkan oleh wanita-wanita itu dan merasakan yang beliau ada cara yang lebih baik bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. 

Nabi Sulaiman a.s. meminta pisau daripada orang disekelilingnya untuk membelah tubuh anak itu menjadi 2 bahagian. Masing-masing akan mendapat separuh bahagian dan ia terlihat adil. Kedua-dua wanita itu menyangka yang Nabi Sulaiman a.s. benar-benar akan melaksanakan tindakan tersebut. 

Wanita muda berasa sedih kerana merasakan tindakan tersebut akan membunuh anaknya. Maka, dia merelakan anaknya itu diambil oleh wanita tua. 

Si wanita tua pula bersetuju dengan tindakan Nabi Sulaiman a.s. dan dia merelakan tubuh anak itu dibelah dua. 

Melihatkan reaksi yang berbeza dari kedua-dua wanita ini, Nabi Sulaiman a.s. mengetahui siapa sebenarnya ibu kepada anak tersebut. Maka, Nabi Sulaiman a.s. memutuskan yang anak tersebut adalah milik wanita muda kerana seorang ibu lebih rela menyerahkan anaknya kepada musuhnya dari melihat anak tersebut mati. Kisah, Naluri Nabi Sulaiman a.s....



Naskah Ketika Malaikat Tidak Bersayap ini banyak menyajikan kisah-kisah yang menarik dan memberi pengajaran kepada kita. Ada kisah yang berlaku sebelum zaman Rasulullah s.a.w., ketika zaman Baginda, zaman para Sahabat serta zaman-zaman selepas itu. 

Banyak kisah-kisah yang jarang-jarang diketahui atau dibaca, dapat dijumpai didalam naskah ini. Tidak hairanlah Bibliografi untuk naskah ini mencapai sehingga 3 mukasurat penuh. 

Secara keseluruhan, boleh dikatakan yang hampir kesemua kisah didalam naskah ini sangat menarik. Selain itu, gaya bahasa yang simple tetapi tetap maksudnya membuatkan momentum pembaca laju saja. Tahu-tahu sudah banyak kisah yang berjaya dihadam didalam tempoh satu malam, ketika hendak menunggu waktu tidur. Alhamdulillah.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...