Sunday, June 18, 2017

Book Review: 303 Soal Jawab Fikah Kematian

Tajuk: 303 Soal Jawab Fikah Kematian

Penulis: 
1. Mohd Kamel Haji Mat Salleh
2. Mohd Hariri Haji Mohamad Daud

Cerita Patung Beruang:

Ini adalah Book Review pertama yang Patung Beruang catatkan untuk bulan Jun ini. Basically, selepas berdepan dengan kematian ahli keluarga pada awal tahun hari itu, Patung Beruang mula sedar yang banyak perkara berkenaan kematian dari suduh Fikah yang tidak Patung Beruang ketahui. 

Selama ini, jika berlaku kematian, Patung Beruang hanya datang menziarahi jenazah, hadiahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Namun, pada awal tahun hari itu, Patung Beruang turut sama mengambil peluang untuk membantu menguruskan jenazah. Dari situ, banyak perkara yang Patung Beruang belajar dalam tempoh beberapa jam. 

Menariknya Naskah Ini:

Naskah 303 Soal Jawab Fikah Kematian mengandungi 6 Bab seperti berikut:

  1. Perihal Kematian
  2. Memandikan Mayat
  3. Mengkafankan Mayat
  4. Solat Jenazah
  5. Mengebumikan Jenazah
  6. Fatwa Pengurusan Jenazah 
Bab 1: Perihal Kematian menceritakan tentang maklumat asas berkaitan kematian seperti hukum menziarahi kematian, galakan mengingati mati, membantu mereka yang sedang nazak, tanda-tanda seseorang itu sudah meninggal dunia, husnul katimah atau pengakhiran yang baik, hukum menguruskan dan mengendalikan jenazah serta tanggungjawab waris si mati. 

Bab 2: Memandikan Mayat dan Bab 3: Mengkafankan Mayat membawa pembaca kepada cara terperinci bagi melakukan kedua-dua perkara tersebut. Penulis memulakan dengan hukum memandikan mayat, tujuan serta syarat-syarat memandikan mayat. Selain itu, penulis turut menyatakan yang tempat memandikan mayat perlu terlindung dari pandangan mata manusia kecuali orang yang memandikan mayat, para pembantu dan warisnya. 

Selain itu, turut dinyatakan apakah dibenarkan didalam Islam perbuatan meletakkan wangian seperti minyak wangi dan kapur barus ke atas badan mayat, serta hukum berwuduk kepada mayat. Yang menariknya, penulis turut berkongsi cara untuk mengurus mayat yang berpenyakit AIDS / HIV dan adakah ahli keluarga boleh mencium jenazah yang mengidap penyakit AIDS / HIV ini. 



Secara kesimpulannya, walaupun topik Fikah kematian ini dianggap topik yang berat namun penulis berjaya menyusun isi kandungan buku ini sehingga Patung Beruang yang membacanya dapat memperolehi banyak ilmu baru disamping memahaminya dengan lebih jelas. 

Cara penyampaian yang bercorak persoalan dan jawapan ini memudahkan pembaca untuk memahami sesuatu topik itu dengan lebih mendalam. Selain itu penulis juga memberi contoh-contoh kepada situasi yang sering berlaku pada masa kini seperti cara menguruskan jenazah yang berpenyakit AIDS / HIV, cara pengurusan jenazah untuk mangsa mati lemas, mereka yang mayatnya tidak sempurna seperti mangsa nahas kapal terbang atau mangsa kemalangan. 

Penulis juga turut menyelitkan amalan-amalan masyarakat Melayu dan mengulasnya sama ada amalan-amalan tersebut dibenarkan atau tidak dari sudut Islam. Contoh amalan yang diulas adalah amalan mencium atau mengucup mayat, petua meletakkan cermin di atas kepala mayat bagi menghalang makhluk halus seperti jin mengganggu mayat, amalan membakar setanggi berdekatan dengan mayat, amalan mengkafankan mayat menggunakan pakaian yang biasa dipakai contohnya pakaian solat jumaat, amalan mengucup dan mengelilingi kubur dan sebagainya. 

Semoga naskah ini dapat membantu kita untuk lebih memahami Fikah kematian kerana setiap yang hidup pasti akan mati. Sekurang-kurangnya dengan ilmu yang ada, dapatlah kita membantu menguruskan jenazah ahli keluarga atau saudara sesama Islam dengan lebih baik lagi.

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...