Saturday, May 20, 2017

Book Review: Alkisah Doktor Kolget

Tajuk : Alkisah Doktor Kolget

Penulis : 
1. Dr Nabilah Zulkifly
2. Dr Shafiq Said
3. Dr Zahrah Yunos
4. Dr Najibah Kazmin
5. Dr 'Afifah Azam
6. Dr Firdaus Hariri
7. Dr Safiy Iskandar
ilustrator by : Amy Roslaily

Menariknya Naskah Ini:

Naskah Alkisah Doktor Kolget ini membariskan buah tangan dari 7 orang doktor gigi yang sudi berkongsi dengan pembaca berkenaan kisah-kisah mereka sebagai doktor gigi, kisah-kisah dan ragam pesakit serta majikan, tips-tips kesihatan gigi dan mulut, maklumat umum berkenaan dunia pergigian dan pengetahuan atau mitos yang berkaitan dengan dunia pergigian yang menjadi pegangan masyarakat sejak sekian lama. 

Kisah pertama: Dari Gigi Turun Ke Hati karya Dr Nabilah Zulkifly membawa pembaca kepada bagaimana seorang pesakit wanita yang sangat sempurna penampilannya, tampak cantik dan bergaya, mengundang perhatian dari sesiapa sahaja yang memandangnya. Namun sayang sekali apabila kecantikan dan kejelitaan yang ditampilkan secara luaran tidak mampu menyembunyikan tabiat buruk si pesakit terhadap penjagaan kesihatan mulutnya. Karang gigi yang memenuhi hampir di setiap permukaan gigi ditambah dengan bau mulut yang kurang menyenangkan, benar-benar kontra dengan penampilan luarannya. Kesian si pesakit dan kesian lagi doktor gigi kerana berhadapan dengan pesakit sebegini. 

Lumrah apabila gigi dijangkiti kuman dan sudah tidak dapat diselamatkan, doktor akan bagi antibiotik dan meminta pesakit habiskan antibiotik tersebut dalam tempoh beberapa hari. Selepas itu, pesakit dikehendaki datang semula ke klinik untuk dicabut giginya. Namun, ada sahaja pesakit yang degil dan tidak datang semula ke klinik dengan alasan giginya sudah tidak sakit. Malah ada juga pesakit yang culas ini, dikemudian harinya apabila sakit giginya berulang, tanpa segan silu beliau akan meminta antiobiotik dari doktor dengan alasan ubat itu meredakan kesakitan. Hm.. jangan salah faham ye. Antibiotik adalah untuk melawan jangkitan dalam sistem badan bukannya ubat tahan sakit.. huhu.. 

Ramai kanak-kanak suka makan makanan manis seperti gula-gula dan coklat. Hm.. jangan kata kanak-kanak, orang dewasa pun sama sahaja. Sudahlah kanak-kanak ini sangat gemarkan makanan manis atau makanan ringan, penjagaan gigi pula tidak dititik beratkan oleh ibu bapa. Sepatutnya, gigi mestilah digosok paling kurang 2 kali sehari. Pagi, ketika bangun dari tidur dan malam, sebelum tidur. Jika mampu menggosok gigi selepas makan atau sebelum solat, Alhamdulillah... Namun, ada juga ibu bapa yang tidak kisah. Takpelah.. budak kecil lagi. Gosok 2 hari sekali pun takpe. Tak gosok langsung pun takpe. Kesian dia.. masih kecil lagi. Akhirnya??? Kuman pun seronok lah beranak pinak di kawasan mulut sikecil. Habis diserangnya gigi-gigi yang comel itu sehingga berlubang-lubang dan berkarang.. Aiyo... kesiannya.. Akhirnya, nak tak nak, kenalah bawa si kecil berjumpa doktor gigi apabila si kecil kesayangan asyik merengek tidak sudah akibat kesakitan yang dilaluinya. Adakah si kecil akan sedar kesilapannya? Dan adakah ibu bapa juga sedar kesilapan mereka?... Nina Nak Makan Coklat Lagi? karya Dr 'Afifah Azam

Apabila menyebut doktor gigi, masyarakat hanya membayangkan doktor yang berada di klinik gigi, membuat pemeriksaan gigi keatas pesakit, menjalankan prosedur-prosedur seperti scaling, tampal gigi, whitening, minor oral surgery. Itu sahaja. Tetapi sedarkah kita yang sebenarnya bidang pergigian ini sangat luas. Ia bukan setakat apa yang kita nampak di klinik gigi sahaja. Menurut Dr Firdaus Hariri, kepakaran dalam bidang pergigian di Malaysia adalah meliputi seperti berikut: 

1. Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial : adalah bidang pembedahan yang memfokuskan kepada kecacatan, kecederaan atau penyakit pada tulang dan tisu di bahagian leher, rahang, muka dan kepala. 

2. Pakar Ortodontik : pula lebih kepada aspek dalam memberikan rawatan bagi membaikpulih susunan gigi yang tidak betul. 

3. Pakar Restoratif dan Endodontik : adalah pakar yang khusus untuk membaikpulih struktur permukaan gigi yang telah rosak samaada melalui tampalan, pembuatan crown, veneer atau bridge

4. Pakar Patalogi dan Perubatan Mulut : focus dalam menganalisa jenis-jenis penyakit dan tisu-tisu tidak normal pada kawasan mulut dan muka, yang berpotensi mengesan kewujudan kanser mulut.

5. Pakar Pergigian Keperluan Khas : biasanya menjalankan rawatan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan atau fasiliti khas seperti pesakit down syndrome atau stroke. 

6. Pakar Kesihatan Awam Pergigian : memainkan peranan dalam merangka strategi-strategi berkaitan penyediaan perkhidmatan kesihatan mulut kepada masyarkat dan mempromosi kepentingan penjagaan mulut yang betul sedari awal usia. 

7. Pakar Pergigian Radiologi dan Forensik : adalah pakar dalam bidang analisis x-ray dan imej-imej lain seperti CT scan. 


Kesimpulannya, walaupun naskah ini ditulis oleh barisan doktor-doktor gigi namun ia tidak mengecewakan Patung Beruang. Banyak kisah-kisah yang boleh dipelajari, banyak tips-tips dan panduan berguna yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan mulut.

Naskah disampaikan dengan cara yang santai namun sarat dengan fakta, membuatkan pembaca tidak bosan menatap helaian demi helaian sehinggalah ke muka surat penghabisan....  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...