Sunday, June 18, 2017

Ramadhan Tahun Ini Dan Perasaan Patung Beruang...

Hari ini 18 June 2017, hari Ahad. Tinggal seminggu sahaja lagi untuk Ramadhan berakhir. Betapa cepat masa berlalu...

Untuk Ramadhan kali ini, Patung Beruang menyambutnya dengan pelbagai perasaan.


Pertama, Patung Beruang rasa teruja sangat kerana sedar yang pada bulan ini Allah swt bagi bonus besar pada para hamba-Nya. Rasa teruja untuk menjadi hamba yang lebih baik, membuat kebaikan sebanyak yang boleh dan menjauhi perkara-perkara yang tidak disukai-Nya.



Kedua, rasa sayu dan sebak kerana inilah Ramadhan pertama tanpa kehadiran Nenek. 2 hb February 2017, hari Khamis, Nenek kembali pulang menemui Penciptanya. Nenek memulakan episod rehatnya sebelum dibangkitkan semula bersama-sama kita semua. 

Seperti tidak percaya yang Nenek sudah tiada lagi. Kepulangan ke kampung tidak sama seperti dulu. Setiap kali Patung Beruang datang ke rumah Atuk, Patung Beruang akan melihat sofa kegemaran Nenek. Kerusi yang sering Nenek duduki. Dan sofa itu kosong. Sekosong rumah itu. Sekosong hati dan jiwa penghuninya. 

Kini sudah hampir 5 bulan Nenek pergi. Selama 5 bulan, pelbagai peristiwa berlaku kepada Atuk dan anak-anak Nenek. Turut terpalit, kami cucu-cucu yang sedaya-upaya cuba untuk menyelamatkan keadaan. Emosi bercampur-baur. Ada sedih, kecewa, marah dan sakit hati. Tidak kurang juga ada yang mendiamkan diri seribu bahasa seolah-olah diri sudah tidak wujud dialam nyata. 

Kasihan Atuk. Kasihan juga anak-anak dan cucu-cucu. Perubahan yang datang mendadak menekan perasaan, minda dan kesabaran. Sampai bila??? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. 

Setiap kali ada yang mengadu, Patung Beruang hanya mampu memberi air. Menyabarkan dan menenangkan segala gelodak di jiwa. Jika hendak menangis, nangis sahajalah. Diri ini akan memujuk. Jika hendak bercerita, cerita sahajalah. Telinga ini akan sudi mendengarnya. Keluarga kecil yang bergolak adalah seperti air didalam cawan. Tunggulah sehingga pusaran didalam cawan itu berhenti, barulah kita melangkah ke seterusnya. Jangan dilawan pusaran yang sedang giat, kerana cawan akan jatuh dan air akan tumpah. Cawan pecah, air pun berselerakkan. Tiada siapa pun yang untung kerana semuanya kerugian... 



Yang ketiga, Patung Beruang rasa sangat gembira kerana hadiah besar yang Patung Beruang sediakan untuk keluarga telah sempurna dan selesa untuk didiami. Alhamdulillah. Hari pertama Ramadhan, kami berpeluang berbuka puasa dan seterusnya bermalam di kediaman ini. 

Tiada apa yang lebih membahagiakan pada diri ini selain melihat Ibu Ayah gembira dan bahagia, selain melihat senyuman dan tawa adik-adik. Patung Beruang tidak mempunyai keluarga yang besar. Inilah dunia Patung Beruang. Inilah penyokong kuat Patung Beruang. Sebab itu, jika seluruh dunia memusuhi Patung Beruang, Patung Beruang masih boleh bangkit dan melangkah terus selagi mereka ada. Namun, jika ditarik walau seorang dari mereka, pasti Patung Beruang akan rebah.

Seperti anak yang lain diluar sana, Patung Beruang hanya ingin melindungi Ibu Ayah dari apa pun atau siapa pun yang menyakiti mereka, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. 

Pelik bukan?? Hidup Ibu Ayah hanya berkisar tentang rumah, pokok-pokok di kebun, pelanggan – pelanggan hasil pertanian mereka serta peniaga-peniaga yang berada didalam industry yang sama dengan mereka. Itulah dunia mereka. Disaat orang diluar sana galak bercerita tentang Ibu Ayah, mereka tetap tekun dengan dunia mereka. Namun, mereka juga manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Sesiapa sahaja yang berada di tempat mereka, lambat-laun pasti akan terasa dengan segala ungkapan yang sampai ke telinga.

Dari satu segi, orang diluar sana berjaya. Mereka berjaya mengocak ketenangan hati dan fikiran Ibu Ayah. Mereka berjaya menjentik hati Ibu Ayah.

Namun, dari satu segi, orang diluar sana sebenarnya kalah. Ye, kalah. Mereka di pihak yang tewas. Kerana secara psikologinya manusia akan bercerita tentang manusia yang lain disebabkan oleh beberapa perkara iaitu:

1. Mereka ada banyak masa lapang sehingga berpeluang untuk berfikir dan bercerita tentang kita. Kasihan sungguh kerana akhirnya mereka menjadi manusia yang rugi akibat pembaziran masa yang dilakukan secara besar-besaran. Sangatlah rugi sehingga duit yang berjuta juga tidak mampu menebus kerugian mereka.


2. Mereka kecewa dan cemburu kerana mereka tidak berpeluang berada ditempat / keadaan / status yang sama seperti kita. Kasihan kerana cemburu itu dikategorikan sebagai cemburu yang negative. Ye, cemburu negative menyebabkan mereka berusaha untuk menjatuhkan kita. Sedangkan, jika mereka adalah insan-insan yang bijak, cemburu negative itu boleh ditukar menjadi cemburu positive dimana dek kerana cemburu, mereka berusaha, berkerja keras untuk berjaya, meningkatkan kualiti hidup agar lebih baik dari kita atau mungkin sama seperti kita. 


3. Mereka adalah golongan yang tidak percaya pada qada’ dan qadar Allah, tidak percaya pada rezeki itu dari Allah, bukan dari manusia, bukan dari sesiapa. Jika kita melihat kembali kepada firman Allah swt didalam Al-Quran, Allah tidak akan mengubah nasib seseorang jika dia tidak berusaha. 

Dan lihat juga kisah semut dan Nabi Sulaiman a.s.. Betapa, sebelum ini semut mampu menghabiskan makanannya seperti rutin kerana sedar Allah yang memberinya rezeki. Namun, tatkala beliau diletakkan didalam balang oleh Nabi Sulaiman a.s., beliau hanya memakan separuh dari rutin makanannya kerana bimbang Nabi Sulaiman a.s. terlupa untuk memberinya makan seperti yang dijanjikan. 

Sedangkan semut pun tahu dan sedar yang rezeki itu adalah urusan Allah swt, adalah perancangan Allah swt, mengapa mereka ini, hamba Allah yang bergelar manusia, yang dikurniakan akal dan fikiran, tidak mampu menerima hakikat konsep yang sama seperti semut? 

Janganlah mereka mempertikaikan rezeki yang Allah bagi pada kita kerana ia seolah-olah mereka mempertikaikan kualiti perancangan Allah swt. 

Layakkah mereka sedangkan Allah swt adalah Yang Maha Sempurna? Layakkah mereka menyoal keputusan-Nya sedangkan mereka ini hamba-Nya. Ye, hamba... Sangat hina taraf mereka jika dibandingkan dengan-Nya. 


4. Mereka adalah manusia-manusia yang sakit rohaninya. Sakit rohani ini lukanya tidak nampak berdarah tetapi jika dibelah jiwanya pasti akan terlihat betapa hati itu bernanah. 

Sakit rohani ini sangat bahaya, ia seperti cancer, boleh merebak ke seluruh anggota seperti mata, lidah, otak, kaki dan tangan. Selain itu ia juga boleh merebak dan menjangkiti orang lain. Bahaya sungguh. Dasyat kesan dari sakit rohani ini. 

Kenapa Patung Beruang mengatakan yang sakit rohani ini boleh merebak ke seluruh anggota? Ini sebabnya... 

  • Apabila rohani mereka mula sakit, ia bermula dari hati, dari jiwa mereka. Selepas itu, mata mereka akan mula mencari segala cacat-cela, rongga-rongga kelemahan dan kesalahan kita. Mata mereka berusaha mencari, mencari dan mencari, sehingga pergerakan kita diteropong dan diteliti.
  • Apabila mata mula bekerja, dalam masa yang sama, otak mereka juga mula merangka skrip, mereka-reka cerita bagi membenarkan apa yang ada didalam hati dan jiwa mereka. Akal fikiran yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang bermanfaat sayangnya dicemari oleh angan-angan jahat dan cerita-cerita rekaan yang tidak tentu hujung pangkalnya. 
  • Tangan pula melakukan kerosakan samaada sengaja atau tidak sengaja. Tangan-tangan ini mula gatal mengganggu kita, harta benda kita atau mencapai telefon dan menyebarkan angan-angan jahat dan cerita-cerita rekaan. 
  • Kaki pula melangkah ke tempat-tempat untuk kita bercerita dan menyebarkan cerita dan fitnah. Sudah puas tangan memegang telefon, kini kaki mula memainkan peranannya dengan berjalan atau menekan pedal minyak agar cepat sampai ke destinasi yang dituju. Jadi, kaki juga ada sahamnya dalam aktiviti yang keji ini. 
  • Akhir sekali lidah. Lidah ini sangat besar peranannya. Dan lidah ini juga boleh menjadi sebaik-baik anggota untuk beberapa saat, dan kemudiannya menjadi sejahat-jahat anggota untuk detik kemudiannya. Lidah ini tidak bertulang. Jadi yang mengawalnya adalah hati dan akal mereka. Oleh kerana hati telah dihinggapi penyakit rohani, dan akal pula telah rancak mereka cerita dan script, maka lidahlah yang dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan fitnah secara meluas, secara besar-besaran. Lidah juga dipertanggungjawabkan untuk mengumpat, mengadu domba, memaki hamun, mengeji dan menyebarkan segala aib. Hebat lidah mereka ini. Dan hebat juga script rekaan mereka. Ibarat menonton wayang, siapa yang mendengar pasti akan terpukau dan percaya dengan segala biji butir lahir dari lidah mereka tanpa memikirkan cerita itu adalah betul atau rekaan, rasional atau gila. Dan lidah ini juga lagi galak mereka bercerita, lagilah lidah mereka berasa seronok. Kerana mereka boleh bercerita apa sahaja, berkata apa sahaja, tanpa menggunakan akal fikiran dan kewarasan yang ada. Sayang sungguh.... Akhirnya akal fikiran mereka yang bijak dan waras itu tewas kepada lidah yang tidak bertulang. Akhirnya, mereka sendiri yang menjatuhkan martabat akal fikiran mereka yang sepatutnya berada di kepala, tetapi kini telah berada dihujung bibir mereka. Tempat yang sangat rendah dan hina untuk manusia yang diciptakan Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini.  

Lihat.. Betapa dasyatnya kesan dari sakit rohani ini. Dan sudah pastilah, sakit rohani ini selalunya akan berjangkit pada orang yang bersekongkol dengan mereka, orang yang mendengar dan menonton cerita dan script mereka, tetapi orang-orang ini akal warasnya sama taraf dengan mereka. 

Jadilah mereka manusia-manusia yang rugi kerana menggunakan anggota badan dan akal fikiran yang dipinjam ini untuk tujuan melakukan kerosakan diatas muka bumi, melakukan kerosakan keatas orang lain. Sangatlah ruginya mereka... 

Dan bertambah lagi kerugian kepada mereka apabila tanpa segan-silu mereka sanggup melakukan kerosakan di bulan Ramadhan, bulan yang mulia untuk umat Islam. 



Untuk Ramadhan kali ini, Patung Beruang berharap agar Patung Beruang dapat menjadi hamba Allah yang lebih baik, anak yang lebih baik buat Ibu Ayah dan kakak yang lebih baik buat adik-adik. 

Dengan adanya hadiah besar yang telah Patung Beruang sediakan ini, Patung Beruang rasa lega kerana sekurang-kurangnya jika ada apa-apa berlaku pada Patung Beruang selepas ini, atau andai Patung Beruang dipanggil pulang oleh Yang Maha Pencipta, Patung Beruang redha. Redha kerana yakin Ibu Ayah akan tenang dan sentiasa dilindungi. Tiada siapa lagi yang berhak mengganggu mereka. Tiada siapa yang berhak mempertikaikan apa yang mereka ada. 

Kehidupan selama hampir 35 tahun banyak mengajar Patung Beruang tentang sikap manusia yang sering berubah-ubah dan tidak semuanya indah dan ikhlas seperti disangka. 

Kita ini hamba Allah. Sangat lemah dan jahil. Jadi, jangan sombong dan bangga diri. Jangan ada sifat dengki dan iri hati. Kerana sebagai hamba, kita tidak berdaya dan tiada apa-apa jika tanpa bantuan dan keredhaan Allah swt. 

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan moga kita diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Aamiin...  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...