Monday, January 27, 2020

Book Review : A Gift From Bob

Tajuk : A Gift From Bob

Penulis : James Bowen

Menariknya Naskah Ini : 
Patung Beruang selesai membaca A Gift From Bob ini pada minggu lepas. Ini adalah buku kedua berkenaan Bob yang Patung Beruang miliki. 

Untuk mereka yang tertanya-tanya, siapakah Bob ini? Dan apa istimewanya Bob ini sehingga dia ada buku sendiri? Biarlah Patung Beruang kongsikan sedikit pengenalannya disini ye.

Bob adalah seekor kucing berwarna kuning seperti yang tertera di hadapan kulit buku itu. Dia adalah kucing kesayangan James Bowen dan mempunyai ribuan peminat diserata dunia. Bob ini asalnya seekor kucing jalanan di London. Pada suatu hari, Bob datang ke rumah James dalam keadaan sakit. 

James pula ketika itu sedang menjalani proses rawatan untuk keluar dari belenggu dadah. James yang tinggal seorang diri, membawa Bob masuk ke rumahnya dan mula merawat kucing tersebut.

Dari hari ke sehari Bob semakin sihat. Dan persahabatan antara Bob dan James juga semakin erat. Akhirnya Bob menetap dirumah tersebut dan mula mengikut James untuk berjualan ataupun busking setiap hari. 

Kehadiran Bob banyak mengubah hidup James kearah yang lebih baik. James berusaha keras untuk menyelesaikan isu ketagihannya kerana merasakan dia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga dan melindungi Bob sehabis baik. Selain itu, kehadiran Bob juga membuka pintu rezeki yang luas kepada James. Mereka mula dikenali oleh masyarakat dan Bob juga mula mengumpul peminat bukan saja di London tetapi juga seluruh dunia.  


Untuk naskah A Gift From Bob ini James berkongsi catatan kehidupannya bersama Bob di musim Krismas. Oleh kerana James tidak mampu untuk membayar elektrik dan gas, beliau dan Bob terpaksa menahan kesejukan di dalam rumah. Duduk berdua diatas sofa sambil berselubung dengan gebar. 

Apabila cuaca dirasakan lebih baik dari kebiasaannya, James dan Bob akan keluar untuk menjual naskah Big Issue seperti biasa. Namun pendapatan yang diperolehi mereka tidak sebanyak biasa. Ini adalah kerana pada waktu itu ramai orang yang sudah mula bercuti. Selain itu, lokasi jualan mereka juga terganggu dengan kehadiran individu yang meminta sedekah atau sumbangan, atas alasan kebajikan. 

Tetapi rezeki James dan Bob sentiasa ada. Terdapat pelanggan tetap yang sudah dianggap seperti sahabat, memberikan kad ucapan Krismas dan juga beberapa Pound sebagai token atau hadiah Krismas buat pasangan ini. Akhirnya jumlah yang terkumpul dari hasil jualan dan juga token itu lebih dari cukup untuk James membayar elektrik, gas dan juga membeli hadiah dan makanan untuk menyambut Krismas. 


Pasangan James dan Bob sangat rapat dengan Belle. Gadis ini juga asalnya seperti James, bergelut dengan dadah tetapi cepat tersedar dan melalui proses pemulihan. Kini, Belle juga disahkan bebas dari dadah. 

Belle sering ada untuk membantu James dan Bob setiap kali mereka ditimpa kesusahan. Oleh kerana budi baik dan kemurahan hati Belle sepanjang persahabatan mereka, James berhasrat untuk memberi hadiah Krismas untuk pertama kalinya kepada Belle. 

Dengan duit di tangan yang terhad, James terpaksa berhati-hati ketika memilih hadiah untuk Belle. Akhirnya, James tertarik dengan sepasang subang, lantas membelinya. Malangnya, James tertinggal hadiah tersebut didalam bas ketika perjalanan pulang ke rumah. 

James berkejar ke pejabat syarikat bas tetapi malangnya tiada siapa yang boleh membantunya untuk mendapatkan subang itu semula. 

Dalam waktu yang semakin singkat sebelum Krismas menjelang, ditambah dengan ketidakmampuan dirinya untuk membeli hadiah yang baru, James menemui jalan buntu dalam usahanya untuk memberi buah tangan kepada Belle sempena Krismas. 



Naskah kali ini sangat simple dan santai. Lebih kepada kisah James dan Bob melalui detik-detik sebelum Krismas, ketika mereka masih belum terkenal di seluruh dunia. 

Bagaimana James terpaksa berjimat-cermat untuk kelangsungan hidup mereka berdua. 

Bagaimana James mula sedar betapa terlalu banyak perubahan yang baik melanda dirinya. 
Dari seorang penagih dadah, gelandangan dan tidak disukai oleh masyarakat, kepada seorang lelaki yang berusaha keras untuk bangkit membuktikan kemampuan dirinya, seorang yang bertanggungjawab menjaga kucingnya dengan sebaik mungkin, seorang yang memandang kehidupannya dengan positif, seorang yang dikelilingi dengan sahabat-sahabat yang sentiasa menyokongnya untuk menjadi lebih baik dan yang paling penting, seorang yang berusaha untuk menyumbang kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan, walaupun dirinya sendiri hanya sekadar cukup-cukup makan. 

James dan Bob mengajar pembaca makna memberi yang sebenarnya, bersyukur dengan apa yang kita ada, dan pentingnya kita untuk terus bangkit walau apapun halangan yang ada dihadapan..... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...