Saturday, January 18, 2020

Book Review : Disitu Langit Dijunjung (The Weight of Our Sky)

Tajuk : Di Situ Langit Dijunjung  (The Weight of Our Sky)

Penulis : Hanna Alkaf

Penterjemah : Fahmi Mustaffa 

Menariknya Naskah Ini : 
Nampaknya inilah book review yang pertama untuk tahun 2020 ini. Alhamdulillah...

Tahun 2020 ini bermula dengan episod diri yang kurang sihat. Penat, cuaca tidak menentu dan makan pula entah apa-apa menjadi antara faktor antibodi diri ini lemah. Bila diri ini tidak sihat, mood membaca memang ke laut lah. 

Setelah kesihatan kembali seperti sediakala, Patung Beruang memulakan pengembaraan membaca untuk tahun ini dengan naskah Di Situ Langit Dijunjung. Naskah yang dibeli di Borders pada bulan lepas asyik menarik perhatian mata ini setiap kali terpandangnya di rak buku. 

Di Situ Langit Dijunjung membawa pembaca kepada watak utama, gadis Melayu  berusia 16 tahun yang bernama Melati Ahmad. Melati adalah anak tunggal. Bersama keluarga, mereka tinggal di tengah kota Kuala Lumpur. Ayahnya anggota polis yang terbunuh ketika insiden kekacauan di Pulau Pinang dan Mamanya, Puan Salmah adalah seorang nurse di Hospital Kuala Lumpur. 

Tarikh 13 Mei 1969 adalah tarikh keramat bukan sahaja untuk Melati tetapi juga untuk kesemua rakyat Malaysia. 

Seperti gadis lain yang seusia dengannya pada waktu itu, Melati juga sangat obses dengan filem dan kumpulan muzik The Beatles. Pada tarikh keramat itu, selepas sekolah, Melati dan sahabat baiknya, Safiyah pergi ke Panggung Wayang Rex untuk menonton filem "Paul Newman in A Hell of Romance". 

Sebelum menonton, Melati menelefon hospital untuk bercakap dengan Mamanya, Puan Salmah. Selain untuk memaklumkan tentang keberadaan dirinya, panggilan telefon itu juga sebenarnya adalah rutin harian yang dilakukan Melati untuk memastikan keadaan dan keselamatan Mama. 

Melati sebenarnya mengidap Bipolar Disorder. Sakitnya itu semakin ketara selepas kematian ayahnya. Sejak itu, Melati sering hidup dalam ketakutan. Sepanjang masa akan ada suara-suara gelap yang berbisik didalam dirinya, yang membayangkan 1001 episod kecederaan dan kematian Mama. Oleh itu, Melati akan buat apa saja untuk menghilangkan suara-suara dan bayangan gelap itu seperti mengira apa-apa saja yang ada dihadapan matanya, berjalan berulang-ulang di satu tempat, ataupun mengetuk jari jemarinya dengan gandaan tiga. 

Sedang leka menonton wayang, tayangan filem terhenti. Rupa-rupanya Panggung Wayang Rex telah diserbu oleh golongan perusuh yang berbangsa Cina. Semua penonton dihimpunkan kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan untuk orang Melayu dan satu kumpulan lagi untuk bukan Melayu. 

Melati dan Safiyah kaget. Kedua-duanya tidak berganjak dari tempat mereka berdiri. Tiba-tiba salah seorang perusuh terus menolak Safiyah ke kumpulan  Melayu. Belum sempat Melati menyelamatkan Safiyah, Melati telah ditarik oleh seorang wanita berbangsa Cina untuk berada di kumpulan bukan Melayu. 

Perusuh mengarahkan mereka yang berada di kumpulan bukan Melayu untuk segera meninggalkan pawagam tersebut. Melati kebingungan dan mula merasa takut. Takut mengenangkan nasib dirinya dan juga Safiyah. Tanpa sedar, wanita berbangsa Cina yang menarik Melati sebentar tadi cepat-cepat membawa gadis malang ini keluar dari pawagam. 

Aunty Bee sedar keadaan semakin genting. Walaupun sedar gadis yang cuba diselamatkannya itu adalah berbangsa Melayu, atas dasar perikemanusiaan, dia cuba melindungi gadis yang tidak bersalah itu dari sebarang kemungkinan buruk. 

Aunty Bee membawa Melati pulang ke rumah. Kehadiran Melati di rumahnya  diterima dengan baik oleh suaminya, Uncle Chong dan Vincent, anak bongsunya. Malangnya, Frankie, anak lelaki sulung keluarga tersebut sangat skeptikal dengan Melati. Bagi Frankie, kekacauan yang tercetus di Kuala Lumpur ini semuanya berpunca dari orang Melayu sendiri. 

Keluarga Aunty Bee bukan saja menumpangkan Melati tetapi juga beberapa jiran dan sahabat mereka yang terdiri dari bangsa Cina, India dan juga Melayu. Keadaan darurat semakin genting. Perintah berkurung dikuatkuasakan. Tiada sesiapa yang boleh keluar dari rumah. Selain itu, simpanan makanan di rumah semakin berkurangan. Namun Aunty Bee tetap sedaya upaya cuba untuk memastikan setiap orang didalam rumah tersebut dapat menjamah makanan walaupun hanya untuk alas perut. 

Walaupun dikelilingi oleh Aunty Bee dan keluarganya yang baik hati, Melati tetap rasa tidak tenang. Memikirkan untung nasib Mama diluar sana. Adakah Mama berada di hospital merawat mangsa-mangsa yang cedera ataupun Mama juga turut terkorban ketika waktu genting ini? Bisikan-bisikan dan bayangan gelap memburukkan lagi keadaan Melati. Jika boleh, ingin saja Melati keluar dari rumah untuk mencari Mama pada waktu itu juga. 

Setelah beberapa hari dan keadaan mula terkawal, Vincent keluar ke bandar dan mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan Red Cross. Keadaan diluar sangat tidak selamat. Ketegangan kaum terutamanya antara orang Melayu dan Cina sangat terasa. Nyawa manusia dirasanya seperti tiada harga. Harta benda musnah. Rumah-rumah dan kedai-kedai diceroboh dan dibakar sesuka hati. Harta benda dirampas dengan sewenang-wenangnya. 

Melati menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah demi mencari Mama. Setelah puas memujuk Aunty Bee, akhirnya wanita itu akur dengan kehendak gadis malang ini. Maka, seawal pagi Jagdev, rakan Vincent yang sama-sama menjadi sukarelawan Red Cross datang menjemput Vincent dan Melati untuk membawa gadis tersebut ke Kampung Baru. 

Walaupun akhirnya Melati dapat pulang ke rumahnya, namun kepulangannya itu sangat memedihkan. Dirinya ditanya bertalu-talu tentang keadaan Safiyah yang sehingga ke hari itu tiada khabar berita. Malah kehadiran Vincent dan Jagdev ke kampung tersebut sangat tidak disenangi sehingga akhirnya nyawa Jagdev menjadi taruhan. Namun, bagi Melati perkara yang paling memeritkan adalah apabila tiada siapa tahu dimana dan bagaimana keadaan Mama. 

Adakah masih ada peluang untuk Melati bersua dengan Mama? Atau mungkinkah itu hanya impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan? 

Safiyah pula dimana? Selamatkah gadis itu seperti Melati yang diselamatkan oleh Aunty Bee? 




Novel ini sangat unik kerana pertama, ia menceritakan detik-detik peristiwa 13 Mei 1969. Pergeseran antara kaum Melayu dan kaum Cina. Bagaimana sukarnya keadaan pada masa tersebut. Ketegangan dimana-mana, ketakutan dimana-mana. 

Kedua, naskah ini menunjukkan apabila berlaku peperangan atau kekacauan, yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak bersalah. Wanita, kanak-kanak, orang tua, atau mereka yang datang dengan niat untuk membantu. Keadilan hilang begitu saja. 

Yang pasti, setiap kaum itu ada orang baik dan juga orang yang jahat. Tidak kisahlah Melayu, Cina, India atau apa jua bangsa. Masih ada yang tinggi sifat peri kemanusiaannya, masih mampu berfikir dengan akal yang waras. Tetapi tetap ada juga mereka yang sangat pentingkan diri sendiri, ego, mengikut membuta tuli sehingga mudah diperalatkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. 

Ketiga, naskah ini memberi gambaran kepada pembaca betapa sukarnya pengidap Bipolar ini menjalani kehidupan mereka. Serba-serbi tidak kena. Mereka paranoid tidak tentu hala. Mereka gusar dan bimbang tanpa dapat dikawal. Dan segala perasaan itu menyebabkan tingkah laku mereka menjadi tidak normal. Ia mencetuskan 1001 persoalan dan kemarahan kepada orang disekeliling. 

Malah, pada tahun-tahun 1960-an itu, masyarakat masih tidak didedahkan lagi dengan terma Bipolar ini. Bagi orang biasa, pengidap Bipolar ini mungkin dirasuk jin iblis atau pun mereka ini gila. Oleh itu, tempat yang paling sesuai untuk mereka adalah di wad sakit mental. 


Naskah ini berat dan sangat menekan pembaca. Maka tidak hairanlah dipermulaan naskah, penulis menyatakan beberapa kebimbangan beliau seandainya pembaca tidak bersedia dari segi mental untuk meneliti naskah ini. Malah, beliau tidak ragu-ragu untuk menyatakan kepada pembaca agar melupakan naskah ini jika dirasakan ia terlalu menyeksakan pembaca. 

Apapun ia adalah naskah yang sangat bagus. 
Seusai pembacaan, Patung Beruang terfikir alangkah bagusnya jika ramai rakyat Malaysia membaca dan meneliti naskah ini untuk mengambil pengajaran yang terkandung didalamnya. 

Dalam keadaan sekarang dimana sikap rasis semakin menebal di kalangan rakyat Malaysia, diburukkan lagi dengan komedi tidak bijak ahli politik Malaysia, menyebabkan sikap kau-kau dan aku-aku sangat ketara. 

Prejudis dan skeptikal sesama sendiri, seolah-olah seperti kita ini bukan lahir di negara yang sama, berpijak di tanah yang sama dan menjunjung langit yang sama. 

Mungkin sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia bersyukur dengan kemakmuran dan ketenangan di tanah air ini. Sekurang-kurangnya, kita masih mampu untuk mencari rezeki halal ataupun menimba ilmu dengan tenang. Jadi, mengapa hendak dirosakkan ketenangan dan kemakmuran ini dengan sikap rasis dan mengadu-domba yang hanya akan merugikan semua pihak???

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...