Sunday, December 22, 2019

Book Review: Monolog Kecil Tahun-Tahun Gelora

Tajuk : Monolog Kecil Tahun-Tahun Gelora

Penulis : Baha Zain 

Menariknya Naskah Ini: 
Naskah ini Patung Beruang beli ketika awal tahun 2018, jika tidak silap, di Kedai Buku Dewan Bahasa & Pustaka yang terletak di Taman Keramat. Nampaknya selepas setahun lebih barulah Patung Beruang berpeluang untuk meneliti naskah ini. 

Monolog Kecil Tahun-Tahun Gelora ini adalah himpunan 78 buah artikel tulisan Sasterawan Negara, Dato' Dr Haji Baharudin Zainal atau lebih dikenali Baha Zain. 

Artikel-artikel didalam naskah ini pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera antara tahun 2005 hingga 2011. 

Artikel pertama yang menarik perhatian Patung Beruang bertajuk Bahasa dan Teks: Bercerita Tentang Sejarah Bangsanya. Artikel yang disiarkan pada Disember 2005 ini memberi peluang kepada pembaca untuk berkongsi pengalaman penulis yang berkesempatan melawat Perpustakaan Awam Negara Jerman di Frankfurt, dan Perpustakaan Bavaria di Munich pada Oktober 2005. 

Untuk pengetahuan, Perpustakaan Awam Negara Jerman mempunyai 3 cawangan. Selain di Frankfurt, 2 cawangan lain terletak di Leipzig dan Berlin. Hebatnya negara Jerman ini apabila ketiga-tiga perpustakaan ini menyimpan sejumlah 22.2 juta bahan terbitan yang antaranya adalah:

  • semua bahan terbitan bercetak dan elektornik yang dikeluarkan di Jerman,
  • semua terbitan dalam bahasa Jerman yang dikeluarkan di luar negara,
  • semua terjemahan daripada bahasa Jerman yang diterbitkan di luar negara,
  • semua terbitan dalam bahasa asing tentang Jerman yang terbit di dunia, 
  • dan karya yang dicetak atau diterbitkan oleh pendatang asing yang berbahasa Jerman dari tahun 1933 sehingga 1945. 

Orang Jerman sangat suka membaca. Mereka membaca bukan sahaja karya yang diterbitkan didalam bahasa Jerman tetapi juga bahasa asing terutama yang membicarakan tentang kebudayaan asing di luar sana. Pembaca Jerman lebih banyak membaca terjemahan sastera asing berbanding pembaca Amerika Syarikat. Scenario ini menyebabkan setiap 10 buku yang diterbitkan di dunia, sebuah akan ada dalam bahasa Jerman. Kebiasaannya, 80 000 judul baharu dan ulang cetak akan dikeluarkan oleh negara Jerman setiap tahun. Pada masa itu, negara China dan Korea adalah negara yang paling banyak membeli hak terjemahan dan penerbitan karya dari negara Jerman. 

Membicarakan negara Jerman akan membuat segelintir dari kita teringat tentang Perang Dunia Kedua dan Hitler. Namun, ada juga perkara hebat yang berlaku di bumi Jerman ini terutama yang berkaitan dengan intelektual dan proses membijaksanakan bangsa mereka. Kata ahli falsafah Jerman, Arthur Schopenhauer; "Buku adalah ingatan kertas manusia." 

Jadi, bacalah buku dari penjuru dunia mana pun kerana kekayaan ilmu dan peradaban dunia itu bukan sahaja terletak di dalam Bahasa Inggeris sahaja tetapi juga terpendam dalam bahasa Arab, Mandarin, Jerman, Sepanyol, Perancis, Jepun dan Korea juga. 


Mengenali Kelakuan Orang Melalui Bahasanya yang disiarkan pada Ogos 2011 membicarakan tentang bagaimana nada bahasa yang seseorang itu ucapkan, gaya ungkapan yang digunakan, buah butir yang dikeluarkan dan anggota badan yang menyertainya sewaktu berucap, sebenarnya menjadi alamat tentang tingkah laku, perangai dan tabiat individu tersebut. 

Penulis berkongsi pengalaman beliau menghadiri bengkel berkenaan Language and Behavior Profile (LAB Profile), dimana pakar dari Kanada telah diundang untuk bengkel tersebut. Bengkel yang dihadiri oleh profesional, ahli akademik universiti, pegawai tinggi kerajaan dan perunding itu diadakan selama 2 hari. Para peserta diperkenalkan dengan pendekatan untuk mengetahui "sifat-sifat motivasi" dan "sifat-sifat bekerja" seseorang dalam situasi atau konteks kehidupannya. Maka, melalui pendekatan percakapan, pertanyaan-pertanyaan yang diajukan kepada seseorang, jawapan-jawapan daripadanya, dan body language nya, kita dapat menduga serba sedikit apa jenis manusia yang berada di depan kita. Kesimpulannya, bahasa menjadi jendela dan kunci yang banyak bercerita tentang tingkah laju, dan kemungkinan bagaimana seseorang akan bertindak dalam situasi tertentu. 


Baha Zain ialah seorang intelektual tersohor yang merenung dan menulis tentang berbagai-bagai sudut dan masalah manusia Malaysia. Jika diteliti, tahun 2005 hingga 2011 adalah tahun-tahun yang mencabar kepada pembangunan negara bangsa, baik dari segi pendidikan, sosial, ekonomi, ataupun politik. Maka, tulisan beliau ditebar luas, berserta hujah yang logik, tanpa prasangka dan prejudis, tetapi masih kekal manusiawi. 

Jujurnya, isu yang dibincangkan didalam naskah ini agak berat. Tetapi masih tidak mencacatkan momentum pembaca santai seperti Patung Beruang, yang membaca ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari kerja, dikelilingi manusia dan bunyi-bunyi yang bising. Isu yang dikupas dengan menarik, ditambah dengan perencah pengalaman peribadi penulis, menyebabkan Patung Beruang ralit keseorangan didalam naskah ini. Really a cup of my tea.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...