Wednesday, December 25, 2019

Book Review: Anne Frank - The Diary of A Young Girl

Tajuk : The Diary of A Young Girl 

Penulis : Anne Frank

Menariknya Naskah Ini : 
Alhamdulillah, akhirnya Patung Beruang jumpa naskah ini di Big Bad Wolf hari tu. Senyum sampai ke telinga bila saja ternampak naskah ini elok tersusun di atas meja. Tak sia-sia lah Patung Beruang berkunjung ke Big Bad Wolf seawal pukul 7 am, hehe.. 

Naskah ini baru saja Patung Beruang habiskan pembacaannya petang tadi. Kiranya fresh from oven lah ye. Patung Beruang excited sangat nak document kan di sini secepat mungkin sebab ada banyak lagi buku yang menunggu untuk Patung Beruang baca. Adoiii.. Sabar je lah.

Tapi bila fikir semula memang salah Patung Beruang pun. 

Bulan ini saja Patung Beruang beli 7 buah buku baharu termasuklah Anne Frank ini. Jadi, kalau tak habis baca dalam bulan ini juga, maksudnya buku-buku tersebut akan dibawa ke bulan depan, eh.. salah.. tahun depan i.e. 2020.  Maka, bertambahlah koleksi buku-buku yang belum dibaca yang elok je terletak didalam kotak ajaib di bilik belakang dan juga rak buku didalam bilik tidur..huhu... 

The Diary of A Young Girl ini memaparkan catatan harian yang ditulis oleh Anne Frank bermula pada tarikh 14 June 1942 (Ahad) sehinggalah ke catatan terakhir beliau pada 1 August 1944 (Selasa). 

14 June 1942 adalah hari ulang tahun kelahiran Anne yang ke-13. Diary ini pula hadiah yang diterimanya pada tahun 1942 itu. Jadi, tidak hairanlah jika catatan pertama Anne ditulis pada hari tersebut. 

Hari-hari terawal, Anne lebih banyak bercerita tentang majlis hari jadinya, kawan baiknya iaitu Lies Goosens dan Sanne Houtman, serta keluarganya sendiri. 

Catatan ke-4 yang ditulis pada 20 June 1942 (Sabtu), Anne mula memanggil diary nya dengan nama "Kitty". Oleh itu, setiap catatan akan dimulakan dengan "Dear Kitty,...... "
What a cute girl, hehe... 

8 July 1942 (Rabu) adalah hari yang sangat bersejarah buat keluarga Frank kerana pada hari itu lah mereka meninggalkan rumah dan pergi ke tempat persembunyian dipejabat Mr Frank. Keadaan semakin mendesak kerana keluarga ini telah menerima notis agar Margot, kakak Anne untuk melaporkan diri kepada pihak tentera. Keadaan yang sangat ditakuti oleh Mr Frank kerana sedar nyawa orang Yahudi seperti mereka berada didalam bahaya. 

Sebelum meninggalkan rumah, mereka meninggalkan ketulan daging didapur, untuk hidangan Moortje, kucing mereka. Mereka juga membiarkan hidangan sarapan tinggal begitu saja diatas meja dan katil-katil didalam bilik dalam keadaan kosong tanpa cadar. Semua itu untuk memberi tanggapan yang mereka sekeluarga telah pergi untuk mendapatkan perlindungan di luar.

Keluarga Frank bertindak sedemikian kerana mengetahui sehari dua selepas itu, pasti tentera akan datang menggeledah rumah mereka setelah Margot gagal melaporkan diri seperti yang dikehendaki. Oleh itu, keluarga Frank kini dianggap sebagai orang buruan dan sesiapa saja yang terlibat dalam melindungi mereka pasti akan menerima hukuman yang berat. 

Persembunyian mereka banyak dibantu oleh mereka yang berkerja di pejabat Mr Frank iaitu Mr Kraler, Mr Koophius, Miep Gies dan Elli Vossen dan juga suami Miep, bernama Henk. 

Bangunan pejabat 3 tingkat ini menempatkan ruang bekerja, bilik pejabat persendirian yang biasanya diduduki oleh Mr Frank dan Mr Kraler, dan beberapa bilik store. Namun, di ruang belakang bilik pejabat persendirian dan bilik store, telah diubah suai untuk dijadikan tempat persembunyian keluarga malang ini. 

Di ruang persembunyian yang dinamakan "Secret Annexe", tingkat 1 adalah dapur. Tingkat 2 pula menempatkan beberapa bilik tidur, ruang berehat dan sofa. Manakala di tingkat 3 pula terdapat meja yang boleh digunakan untuk bekerja atau belajar dan beberapa katil. Di tingkat 3 ini, ini juga terdapat attic yang boleh digunakan sebagai tempat simpanan makanan oleh penghuni yang bersembunyi ini. 

13 July 1942, keluarga Van Daan menyertai keluarga Frank, bersembunyi di Secret Annexe ini. Keluarga Van Daan terdiri daripada Mr Van Daan, yang merupakan rakan sekerja Mr Frank, isterinya Mrs Van Daan, seorang wanita yang sangat selfish dan bermulut celupar, anak lelaki mereka bernama Peter yang berusia 15 tahun (tidak silap), dan kucing mereka bernama Mouschi. 

Kini, Secret Annexe dihuni oleh 7 orang dan 1 ekor kucing. Tidak lama selepas itu, Mr Dussel, seorang doctor yang berbangsa Yahudi turut menyertai mereka di Secret Annexe, sebagai individu ke-8. 

Kehidupan di Secret Annexe ketika zaman peperangan sangatlah tidak menarik. Sumber makanan yang terhad, tidak boleh bergerak bebas termasuklah menggunakan bilik air ketika waktu siang, tidak boleh menghirup udara segar, bahan bakar yang terhad, aktiviti rutin yang sama, tahap kesihatan yang kurang memuaskan, segala-galanya menyeksakan mereka. 

Anne, Mr Frank dan Margot banyak menghabiskan masa dengan membaca dan belajar. Bahan bacaan mereka diperolehi melalui rakan-rakan lain seperti Miep dan Elli yang boleh bergerak bebas ke perpustakaan ataupun kedai-kedai diluar sana. Pada masa itu juga Anne mula bercita-cita untuk menjadi penulis. Oleh itu dia giat menulis catatan didalam diary nya dan juga cerita-cerita pendek, agar dapat diterbitkan selepas perang tamat. 

Selain itu, konflik sering berlaku antara keluarga Van Daan terutama Mrs Van Daan dengan keluarga Frank, dan juga Mr Van Daan dengan Mr Dussel. Setiap orang ada perangai dan pemikiran sendiri. Jika tidak mampu mengawal mulut atau kekal mempertahankan ego dan tabiat buruk masing-masing, pasti ada saja pertengkaran yang tercetus antara 8 orang ini. 

Dari 8 orang itu, hanya Mr Frank saja yang boleh dilihat sebagai paling rasional dan paling tinggi EQ nya. Oleh itu, Mr Frank lebih disegani dan dihormati oleh ahli-ahli Secret Annexe. 

Catatan terakhir yang ditulis Anne adalah pada 1 August 1944 iaitu 3 hari sebelum persembunyian mereka terbongkar. Pada 4 August 1944, tempat persembunyian tersebut di serbu oleh Gestapo pada waktu siang. Kesemua 8 inividu, bersama dengan Mr Kraler dan Mr Koophius telah dibawa pergi ke kem tahanan. 

Mr Koophius akhirnya dibebaskan kerana masalah kesihatan. Mr Kraler pula dihukum menjadi buruh selama 8 bulan diatas penglibatan beliau dalam komplot menyembunyikan orang-orang Yahudi ini. 

Seperti yang tercatat dalam Anne Frank Remembered (Patung Beruang pernah ulas disini hari itu), Mrs Frank, Margot dan Anne meninggal dunia ketika dalam tahanan di kem. Hanya Mr Frank saja yang bernasib baik dan dapat pulang ke Amsterdam, untuk meneruskan kehidupan. 



Oleh kerana Patung Beruang dah baca Anne Frank Remembered, tulisan Miep Gies terlebih dahulu, maka Diary of A Young Girl ini Patung Beruang baca dengan lebih santai. Jika pembaca ingin mengetahui dengan lebih terperinci keadaan pada masa peperangan tersebut, naskah Anne Frank Remembered lebih sesuai untuk dihadam. 

Diary Anne Frank ini sebenarnya lebih banyak berkisar tentang pergolakan emosi seorang remaja perempuan. Konflik dengan diri sendiri dan konflik dengan ibunya, Mrs Frank kerana merasakan yang wanita tersebut tidak menjadi role model yang sepatutnya untuk keluarga Mr Frank. 

Seperti remaja lain, Anne juga tidak terlepas dari keinginan untuk bercinta dan mempunyai pasangan. Diary ini banyak menceritakan tentang isi hatinya dan juga hubungan antara Anne dengan Peter Van Daan. Agak kelakar juga ketika membacanya kerana kelihatannya gadis ini sedang mabuk bercinta dengan Peter, sedangkan diluar sana keadaan sedang bergolak dan nyawa mereka sendiri menjadi taruhan. Tetapi, bila difikirkan semula, itu adalah naluri semulajadi remaja. Maka, kita maafkan lah ye. 

Honestly, Patung Beruang lebih menikmati Anne Frank Remembered berbanding dengan Diary of A Young Girl ini. Yelah, dah umur-umur macam ini, geli pula rasanya nak baca kisah cinta budak baru nak hidup. Cerita Hindustan pun Patung Beruang tak suka tengok, apalagi lah nak menikmati kisah cinta budak-budak ini, hehe... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...