Tajuk : Anne Frank Remembered -The Story of the Woman Who Helped to Hide the Frank Family
Penulis :
1. Miep Gies
2. Alison Leslie Gold
Menariknya Naskah Ini:
Honestly, Patung Beruang rasa tak sabar sangat nak share naskah ini di sini. Naskah yang sangat menarik dan menyentuh perasaan ini baru saja Patung Beruang selesaikan pembacaannya minggu lepas. Tak lama pun nak habiskan naskah ini. Adalah lebih kurang 3 ke 4 hari saja.
Jika selama ini kita sering melihat buku Anne Frank : The Diary of A Young Girl, yang memang ditulis oleh gadis cilik itu, kali ini, Anne Frank Remembered pula adalah tulisan Miep Gies, seorang wanita yang sangat berani dan juga tulang belakang kepada keluarga Frank ketika tahun-tahun 1940-an dahulu.
Miep Gies dilahirkan pada tahun 1909 di Vienna, Austria. Ketika Miep berumur 5 tahun, perang Dunia Pertama mula meletus. Miep dilahirkan didalam keluarga yang besar. Kesusahan hidup menyebabkan dirinya kekurangan zat makanan dan ia nyata terlihat dengan fizikalnya yang lemah dan tidak bermaya.
Ketika Miep berumur 11 tahun, beliau dihantar ke Holland untuk tinggal bersama dengan keluarga angkat berketurunan Dutch. Program keluarga angkat ini adalah khas untuk kanak-kanak Austria yang kelaparan dan kekurangan nutrisi. Tujuan utamanya adalah untuk memulihkan dan memperbaiki tahap kesihatan kanak-kanak ini.
Di Holland, Miep diterima baik oleh keluarga angkatnya dan juga rakan-rakan di sekolah barunya. Miep seorang yang cerdik. Oleh itu, beliau sentiasa dinobatkan sebagai pelajar cemerlang disana sehinggalah beliau meningkat remaja dan tamat persekolahan.
Tamat persekolahan, Miep mula bekerja. Setelah bertukar kerja dari satu syarikat ke satu syarikat, akhirnya pada tahun 1933, Miep menyertai Travies and Company, yang terletak di tengah-tengah Amsterdam.
Travies and Company berasal dari Cologne, Germany. Syarikat ini pakar didalam peralatan memasak di rumah dan pelanggan utama mereka ada para surirumah. Melihat sambutan yang menggalakan dari pelanggan, syarikat ini membuka cawangan di Amsterdam. Cawangan di Amsterdam ini diketuai oleh Mr Otto Frank.
Hari pertama Miep di Travies and Company, Mr Frank mengajar Miep cara-cara membuat jem, menggunakan resepi dan langkah-langkah yang disediakan oleh Travies and Company di German. Selepas 2 minggu, apabila melihat Miep sudah sangat cekap mengendalikan resepi dan proses pembuatan jem, Mr Frank menugaskan Meip menjadi staff yang akan melayan segala pertanyaan dan aduan dari pelanggan.
Setelah itu, Miep juga ditugaskan untuk menguruskan hal-hal pentadbiran, akaun dan kewangan pejabat.
Bertahun-tahun Miep di Travies and Company, hubungan beliau dan rakan sepejabat termasuk Mr Frank dan ahli keluarganya sangat rapat seakan seperti sebuah keluarga yang besar. Malah Miep juga bercinta dengan salah seorang bekas pekerja disana, yang bernama Henk. Hubungan Miep dan Henk diketahui oleh semua termasuk Mr Frank sekeluarga.
Dalam masa yang sama, mereka mendapat khabar tentang keadaan di Germany terutama tindakan tentera Nazi terhadap golongan Yahudi. Sebagai seorang yang berketurunan Yahudi, Mr Frank merasakan yang keluarganya berisiko tinggi seandainya tentera Nazi meluaskan penguasaan mereka ke Amsterdam. Mr Frank sangat risau tentang masa depan isterinya, Edith dua anak mereka iaitu Margot dan Anne.
Akhirnya tentera Nazi sampai ke Amsterdam. Keadaan yang aman dan tenang mula hilang. Penduduk di Amsterdam terutamanya yang berketurunan Yahudi menjadi takut dan mula melarikan diri ataupun bersembunyi.
Mr Frank telah menjadikan satu ruang di bahagian belakang pejabat Travies and Company sebagai tempat persembunyian. Oleh sebab Travies and Company menduduki ketiga-tiga tingkat bangunan tersebut, maka tempat persembunyian itu juga setinggi 3 tingkat.
Ruang masuk ke tempat persembunyian itu adalah melalui pejabat persendirian yang biasanya diduduki oleh Mr Frank, yang terletak dibilik belakang.
Tempat persembunyian ini pada awalnya diduduki oleh Mr Frank dan keluarga sahaja yang berjumlah 4 orang. Namun seminggu selepas itu, persembunyian itu turut disertai oleh Mr Van Daan, isterinya Patronella dan anak lelaki mereka Peter serta kucing mereka, Mouschi. Kini, tempat persembunyian tersebut dihuni oleh 7 orang dan seekor kucing.
Dan bermulalah aktiviti Anne Frank menulis diary atau catatan bagi merekodkan keadaan dan pengalaman yang dialaminya diwaktu-waktu yang sukar ini.
Tentera Nazi kian memperhebatkan usaha mereka untuk menghapuskan golongan Yahudi di Amsterdam. Operasi besar-besaran dijalankan. Makanan dan keperluan harian dicatu. Keadaan ini menyebabkan penduduk Amsterdam sukar untuk membeli makanan. Dalam masa yang sama, larangan untuk menyembunyikan orang Yahudi dikuatkuasakan. Sesiapa sahaja yang diketahui bersubahat ataupun menyembunyikan orang Yahudi akan dikenakan hukuman yang berat oleh tentera Nazi.
Kehidupan Mr Frank, Mr Van Daan dan keluarga mereka semakin tertekan. Begitu juga dengan Miep dan Henk. Setiap hari yang berlalu sangat menyeksakan kerana mereka sedar bila-bila masa saja pejabat Travies and Company boleh diserbu. Nyawa mereka ibaratnya dihujung tanduk. Tiada kepastian apa yang bakal berlaku di penghujung hari dan hari-hari mendatang.
Akhirnya, pada suatu hari, ketakutan mereka menjadi kenyataan. Selepas beberapa kali pejabat Travies and Company dipecah masuk di waktu malam, dan pejabat tersebut digeledah, akhirnya tentera Nazi menyerbu tempat persembunyian mereka dan membawa mereka, semua orang Yahudi yang ada disitu.
Peristiwa itu sangat menyedihkan Miep dan Henk kerana mereka merasakan mereka telah berusaha sehabis baik untuk menyelamatkan Mr Frank sekeluarga.
Miep masuk ke tempat persembunyian dan berusaha untuk mengutip diary dan semua kertas tulisan Anne. Niatnya hanya satu, untuk menyimpan kesemua catatan tersebut agar dapat dipulangkan semula pada Anne apabila gadis kecil ini dibebaskan dari tahanan.....
Buku ini sangat detail, penuh dengan emosi tetapi sangat menarik. Gaya penceritaan yang dipersembahkan menyebabkan Patung Beruang sukar untuk berhenti membaca. Sentiasa ingin tahu apa kesudahan naskah ini walaupun logiknya kita boleh mengagak apakah kesudahan kisah keluarga Mr Frank.
Honestly, Patung Beruang tidak pernah membaca naskah Anne Frank: A Diary of Young Girl. Patung Beruang hanya baca sinopsis sahaja. Tetapi selepas membaca buku tulisan Miep ini, Patung Beruang kena cepat-cepat miliki Anne Frank's Diary untuk mengetahui apa pula luahan hati gadis kecil itu... Baiklah, kena masukkan buku ini dalam list Big Bad Wolf untuk tahun ini...
No comments:
Post a Comment