Tajuk : Gadis Oren (Appelsinpiken)
Penulis : Jostein Gaarder
Penterjemah : Zaitul Azma Zainon Hamzah
Menariknya Naskah Ini :
Gadis Oren atau tajuk asalnya Appelsinpiken adalah karya yang diterjemahkan dari sebuah naskah hebat kelahiran Norway.
Ia mengisahkan seorang remaja lelaki bernama Georg Roed, yang kematian ayah ketika usianya 4 tahun. Ayah Georg adalah seorang doctor perubatan dan meninggal dunia kerana sakit.
Tatkala usianya 15 tahun, pada suatu hari atuk dan nenek Georg datang ke rumah mereka di Hemleveien, Oslo dengan membawa sepucuk sampul surat. Rupa-rupanya, itu adalah surat yang ditulis oleh ayah Georg sebelum beliau meninggal dunia. Surat tersebut disorok di dalam sebuah kereta sorong merah, dimana sebelum meninggal, ayah Georg telah berwasiat agar jangan ada sesiapa pun yang menjual atau membuang kereta sorong itu setelah kematiannya.
Kehadiran surat itu benar-benar mengejutkan keluarga mereka. Georg, atuk, nenek, ibu Georg dan Jorgen, ayah tiri Georg, lelaki yang ibunya kahwini setelah beberapa tahun ayah Georg meninggal dunia. Yang tidak peduli mungkin cuma Miriam seorang, iaitu adik tiri Georg. Anak kepada ibunya dan Jorgen. Itu pun kerana Miriam masih kecil dan masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku kepada keluarga mereka.
Georg mengambil sampul surat itu dan membawanya kebilik. Georg ingin bersendirian sambil menelaah surat tersebut, tanpa ada gangguan dari sesiapa pun.
Ayah memulakan suratnya dengan kalimat berikut;
"Sudahkah kamu duduk dengan selesa, Georg? Elok sekiranya kamu tenang-tenangkan diri sambil duduk dengan selesa kerana ayah ingin menceritakan sebuah kisah yang menarik.."
Ayah Georg memulakan kisah ketika zaman remajanya. Zaman dimana beliau sedang bertungkus lumus menuntut ilmu di sebuah sekolah perubatan. Dimana pada suatu hari, tatkala pulang, beliau menaiki tren dan terserempak dengan seorang gadis. Gadis yang berada didalam tren itu sedang memegang sebuah beg kertas yang mengandungi oren. Banyak sungguh buah oren didalam beg kertas tersebut. Entah mengapa ayah Georg terasa seperti beliau jatuh cinta pandang pertama pada gadis itu. Dan mulai saat itu, ayah Georg menggelarkannya Gadis Oren.
Mereka tidak bertegur sapa, hanya sekadar membalas pandangan. Pada suatu saat, entah mengapa ayah Georg merasakan yang beg kertas yang mengandungi buah oren itu pasti akan terlepas dari pegangan si gadis. Ayah Georg cuba untuk menyelamatkannya namun terlambat. Beg kertas tersebut koyak dan buah-buah oren berselerakan diatas lantai didalam tren. Suatu detik yang sangat memalukan buat ayah Georg.
Mulai hari itu, ayah Georg mula mencari Gadis Oren. Berharap agar dapat ketemu semula. Namun, ia tidak mudah kerana ayah Georg tidak mengetahui siapakah namanya, dimanakah tempat tinggalnya, atau apakah pekerjaannya?
Pencarian ayah Georg tidak pernah terhenti sehinggalah pada suatu hari, tatkala beliau melangkah ke dalam Cafe kegemarannya, terlihat Gadis Oren sedang duduk membaca buku disuatu sudut Cafe tersebut. Seolah seperti doanya didengari Tuhan, ayah Georg melangkah dan duduk dikerusi berhadapan Gadis Oren. Gadis Oren tidak bersuara. Hanya menyentuh tangan ayah Georg dan air mata si gadis tumpah seketika. Tanpa bicara, Gadis Oren bingkas dari tempat duduknya dan melangkah keluar dari Cafe bersama dengan beg kertas yang berisi buah-buah oren.
Amat sukar untuk mencari seseorang tanpa ada petunjuk. Namun, kekuatan semangat ayah Georg amat dikagumi. Akhirnya, pada petang Christmas, mereka bertemu semula didalam gereja. Pertemuan kali ini sangat bermakna kerana akhirnya mereka mula berbicara antara satu sama lain.
Gadis Oren meletakkan syarat, jika ayah Georg ingin memilikinya, beliau mestilah bersabar kerana Gadis Oren harus pergi dari tempat itu. Ayah Georg diminta untuk menunggunya selama 6 bulan, kerana selepas itu, mereka boleh bertemu setiap hari.
Satu syarat yang aneh namun tetap dipersetujui oleh ayah Georg walau dengan berat hati.
Siapa sebenarnya Gadis Oren ini?
Dan mengapa mereka harus berpisah selama 6 bulan sebelum boleh bertemu semula?
Dan adakah Gadis Oren benar-benar wujud atau mungkinkah dia hanyalah khayalan ayah Georg sahaja?
Pada pandangan Patung Beruang, naskah Gadis Oren ini adalah suatu naskah yang bijak. Latar belakang aktif cerita ini hanya digambarkan dalam tempoh satu malam sahaja. Bermaksud, masa yang digambarkan adalah masa Georg meneliti surat dari ayahnya hanyalah mengambil masa 1 malam sahaja. Namun, didalam surat itu, penulis flashback apa yang berlaku pada ayah Georg, kenangan beliau bersama Gadis Oren, sehingga akhirnya ayah Georg berkahwin, lahirnya Georg ke dunia dan bagaimana keadaan ketika Georg membesar serta saat-saat akhir sebelum ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir.
Selain Gadis Oren, ayah Georg turut menyentuh tentang Teleskop Angkasa Hubble dan keupayaannya menyelongkar rahsia alam semesta. Rupa-rupanya, selain berkhidmat sebagai doctor perubatan, ayah Georg juga meminati bidang astronomi dan minat itu juga mengalir didalam diri Georg. Maka, tidak hairanlah mengapa Georg sangat mengagumi Teleskop Angkasa Hubble sehingga menjadikannya sebagai bahan kajian semester akhir sekolahnya. Tulisan Georg tentang Teleskop Angkasa Hubble sangat terperinci dan menarik sehingga mendapat pujian dari gurunya. Minat yang telah wujud semenjak Georg masih kecil lagi.
Gadis Oren sebenarnya adalah ibarat perbualan seorang ayah dan anak lelakinya. Satu-satunya anak tunggalnya, sebelum beliau menutup mata. Perbualan yang menceritakan kenangan silam, segala suka duka yang berlaku didalam kehidupan si ayah dan si anak. Si anak masih terlalu kecil untuk mengingati kenangan tersebut. Maka, dengan surat ini, si ayah menceritakan semula peristiwa-peristiwa penting yang berlaku didalam hidup mereka. Dan yang paling penting, Gadis Oren adalah cinta hati yang pertama dan terakhir si ayah. Si ayah menunjukkan kepada si anak bagaimana utuhnya cinta seorang lelaki kepada seorang wanita itu dan cinta itu dijaga sehingga ke akhir hayat, menjadi kenangan manis pasangan ini serta anak mereka, iaitu Georg.
Seperti biasa, naskah ITBM tidak pernah mengecewakan Patung Beruang. Dan begitu juga dengan Gadis Oren. Menelitinya seolah-olah seperti Patung Beruang menonton documentary kehidupan ayah Georg, percintaan dan perkahwinannya bersama Gadis Oren, zaman kanak-kanak Georg dan bagaimana peritnya kehilangan seseorang yang dikasihi didalam hidup ini tatkala ayahnya pergi buat selama-lamanya. Kisah sepasang kekasih dan kisah seorang ayah dan anak lelakinya.... penuh suka duka, senyum dan tangis sebuah kehidupan...
No comments:
Post a Comment