Monday, July 24, 2017

Book Review: Bencana Akhir Zaman

Tajuk : Bencana Akhir Zaman

Penulis : Fahrur Muis

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini sebenarnya telah selesai dibaca oleh Patung Beruang beberapa minggu lepas. Tetapi disebabkan kesibukan yang amat, tugasan untuk menulis Book Review disini tergendala dari hari ke hari. 

Maafkan Patung Beruang ye.. 

Naskah Bencana Akhir Zaman ini merungkai persoalan mengenai hari kiamat, hari dimana pembalasan berlaku untuk semua makhluk Allah swt. Naskah ini ditulis dengan menggunakan kaedah dan disiplin ilmu Islam yang tinggi agar selamat daripada pendapat-pendapat dan cerita rekaan yang tidak sahih. 

Secara amnya naskah ini dibahagikan kepada 5 Bab iaitu:

Bab 1: Mengenali Kiamat
Bab 2: Bencana Yang Akan Terjadi Pada Akhir Zaman
Bab 3: Tanda-Tanda Kecil
Bab 4: Tanda-Tanda Besar
Bab 5: Berlakunya Kiamat 

Bab 1: Mengenali Kiamat membawa pembaca kepada keterangan daripada Al-Quran dan hadis yang menjelaskan keadaan hari akhirat seperti: 
  • Semua yang ada di bumi akan binasa
  • Manusia akan mati dan kembali kepada Allah swt
  • Manusia akan dihidupkan semua sesudah mati
  • Dunia akan hancur apabila kiamat tiba 
  • Allah menjelaskan tanda-tanda kiamat
  • Allah menceritakan dahsyatnya hari kiamat
  • Allah menjelaskan kejadian sesudah kiamat
  • Hadis berkenaan tanda-tanda kiamat
  • Hadis berkenaan peristiwa sesudah terjadinya kiamat 
  • Hadis berkenaan manusia akan diminta bertanggungjawab di akhirat
Yang bagusnya, setiap keadaan ini diperincikan oleh penulis dimana penulis menyatakan secara jelas ayat dan surah yang dipetik dari Al-Quran, serta sumber rekod hadis. 

Kita sering tertanya,
 "Mengapa Allah menyembunyikan waktu terjadinya kiamat?"

Sebenarnya, hikmah disebalik mengapa waktu atau tarikh kiamat itu begitu rahsia adalah agar mendorong kita, makhluk Allah yang banyak berdosa ini untuk sentiasa bertaubat, taat kepada perintah Allah dan mencegah diri dari larangan-Nya. Maka, kita akan berusaha agar sentiasa bersedia pada bila-bila masa seandainya berlaku hari kiamat serta berusaha agar tidak tergolong didalam kelompok orang-orang yang lalai. 

Antara hikmah lain adalah ia membantu kita yang mengaku umat Islam ini untuk lebih menyakini perkara-perkara ghaib yang diluar batas pemikiran dan ilmu manusia. Bukankah beriman kepada perkara ghaib adalah salah satu Rukun Iman?

Didalam Bab 3: Tanda-Tanda Kecil, penulis memperincikan 46 tanda-tanda kecil yang dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti berikut:

A: Tanda - Tanda Yang Sudah Berlaku (10 tanda), antaranya; 
  • Diutus Nabi Muhammad saw., dan kematian Rasulullah saw.
  • Terbelahnya bulan
  • Munculnya orang-orang yang mengaku nabi 
  • Terjadinya peperangan dengan Turki

B: Tanda-Tanda Yang Sudah Terjadi dan Mungkin Berulang (5 tanda), antaranya;
  • Berlakunya pelbagai macam fitnah
  • Mengucapkan salam hanya kepada orang yang dikenali 
  • Putusnya silaturrahim

C: Tanda-Tanda Yang Sudah Dialami dan Akan Terjadi Pada Zaman Ini (16 tanda), antaranya;
  • Amanat dipersia-siakan
  • Riba bermaharajalela
  • Meluasnya perbuatan seks luar nikah 
  • Berlumba-lumba meninggikan bangunan
  • Manusia bermegah-megah membangunkan masjid
  • Orang tua menyerupai orang muda
  • Banyak berlaku kematian mendadak

D: Tanda-Tanda Yang Terjadi Pada Masa Akan Datang (15 tanda), antaranya;
  • Semenanjung Arab dipenuhi kebun dan sungai
  • Manusia saling menolak menjadi imam sembahyang
  • Menggunakan ilmu bagi mencari harta
  • Munculnya pemimpin-pemimpin bodoh
  • Seksaan yang berat daripada pemerintah yang zalim

Setiap tanda-tanda yang dikongsikan disini disertakan dengan ayat Al-Quran dan hadis yang berkenaan. Malah, turut diulas dengan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca. 



Secara umumnya naskah ini kelihatannya berat tetapi sebenarnya apabila Patung Beruang mula membaca naskah ini, ia tidaklah terlalu berat dan yang penting, ia tidak membosankan. 

Patung Beruang suka dengan gaya penulisan yang dipaparkan kerana walau ia ditulis secara santai tetapi masih lengkap faktanya dan jelas maksudnya. Dan oleh kerana itu, momentum pembacaan naskah ini sangat laju menyebabkan Patung Beruang seronok mengikuti pengembaraan naskah sehingga ke penghujung. 

Yang pasti, banyak ilmu baru yang Patung Beruang perolehi dari naskah ini dan yang paling penting, ia sangat sedap. Insya Allah, Patung Beruang akan beli lagi naskah ini untuk dijadikan hadiah sama ada kepada ahli keluarga, sahabat atau dibawa ke Free Market. 

Ikutkan hati banyak je lagi point-point yang hendak Patung Beruang kongsikan disini. Namun, tidak adil pula untuk penulis kan? Jadi, jika ada yang berminat untuk meneliti naskah ini dengan lebih mendalam, cepat-cepatlah beli ye, di kedai buku atau beli secara online di Bookcafe PTS.

Terima kasih kepada penulis kerana berjaya menghasilkan naskah yang bagus dan sangat sesuai untuk dikongsi dengan pembaca diluar sana...Alhamdulillah.. :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bear namely Bibi...