Monday, July 24, 2017

Kasut Kita Dan Dia Berbeza..

Setiap orang ada jalan kehidupan sendiri. Ada yang perjalanannya tampak seperti lancar dan sangat mengujakan. Namun ada juga yang perjalanannya nampak berliku, mendaki dari jurang yang curam, berdepan dengan gaung yang dalam dan mungkin terserempak dengan haiwan liar dan buas. 

Namun, apa pun perjalanan hidup kita dan orang lain, setiap darinya ada pahit manis masam masin kelat tawar yang tersendiri. 

Lumrah manusia, sering merasakan yang jalan orang lain lebih menyeronokkan.
Lumrah manusia, sering merasakan diri lebih hebat. 
Lumrah manusia, sering merasakan diri lebih layak untuk menegur dan membahan tanpa terlebih dahulu bertanya.
Lumrah manusia, sering merasakan orang lain memakai kasut yang sama size, warna dan specifikasi sepertinya. 

Tetapi kita juga sering terlupa...
Perjalanan orang lain yang terlihat menyeronokkan itu sebenarnya luaran sahaja. Dalamannya tidak dikongsikan. 

Kita kagum melihat seseorang yang berpendapatan tinggi walau umurnya masih muda. Kita melihatnya seperti itulah erti kesempurnaan. Namun, kita tidak mengerti beban tanggungjawab yang dipikulnya. Kita tidak mengerti betapa kerja kerasnya tanpa mengira waktu amat diperlukan demi memenuhi nafsu pihak atasan dan pemegang saham. Kita tidak mengerti betapa buah fikiran dan perancangan strategi dan taktikalnya amat ditagih demi kelangsungan syarikat,  demi memastikan pekerja bawahan mempunyai wang ringgit untuk dibawa pulang pada setiap hujung bulan. 

Kita terpandang kereta yang dipandu. Besarnya. Tentu mahal harganya.
Pakaian yang tersarung sehari-harian kelihatannya anggun walau masih lagi patuh syariah. Kasut dan tas tangan menjadi aksesori sepadan. Tanpa dilupa, beg berisi laptop tetap kekal disandang di belakang.

Tetapi kita mungkin terlupa..
Kehidupan yang terlihat sempurna itu hanya perhiasan untuk pandangan mata sahaja.

Tatkala kita bebas untuk meninggalkan pejabat apabila sampai waktunya, dia masih lagi bertungkus-lumus di meja, menyiapkan tugasan yang tidak berkesudahan.
Tatkala kita sedang duduk dimeja makan, mengadap hidangan bersama keluarga, dia baru sahaja melangkah untuk pulang setelah seharian dan hampir semalaman.
Tatkala kepulangan kita disambut oleh pasangan dan anak-anak, kepulangannya hanya disambut oleh kesunyian dan kesepian sebuah kediaman. Berseorangan tanpa teman.
Tatkala kita mengeluh melihat rumah yang bersepah, dia pula mengeluh melihat betapa kemas dan teraturnya kediaman…     

Kita mempertikai mengapa dia gemar menghabiskan usia di pejabat. Kita mempertikai seolahnya dia tiada kehidupan. Seolahnya kehidupannya amat membosankan. Seolah pekerjaan adalah keperluan utama dalam kehidupannya. Seolah keluarga itu tiada nilai disisinya.
Namun..
Kita terlupa sejenak.
Betapa bidang tugas kita dan dia adalah berbeza. Skop kerja berbeza. Tenaga kerja berbeza. Expectation juga berbeza. Dan akhirnya, kita terlupa yang disaat kita hanya mementingkan kelangsungan team kita yang hanya beberapa orang, dia sedang mementingkan kelangsungan syarikat yang menaungi ribuan orang. 

Kasut kita dan dia berbeza…

Kita merasakan diri kita hebat. Berpelajaran tinggi, punya kerjaya tetap, gaji besar dan keluarga yang sempurna. Lantas kita mencemuh dia yang hanya biasa-biasa sahaja. Belajar semampunya, pendapatan seadanya dan keluarga yang biasa sahaja kehidupannya. Label malas dan tidak berwawasan meniti dari bibir kita sesuka rasa.

Tetapi kita mungkin terlupa..
Disaat kita sedang leka menuntut ilmu, dia pula leka menjaga orang tua yang uzur dan rapuh kesihatannya. Disaat kita berbangga dengan duit biasiswa, dia mengikat perut demi kelangsungan hidup adik-adiknya.

Maka kini apabila kita dipuncak dunia, kita bebas menilai manusia dari kaca mata kita. Mengukur manusia mengikut ukuran kita. Membayangkan manusia mengikut acuan kita.

Walau hakikatnya kasut kita dan dia amatlah berbeza...

Kita merasakan diri kita sering teraniaya, dibuli dengan persekitaran. Kita merasa lelah dan membenci mereka dengan alasan mereka mementingkan diri. Hipokrit dan mementingkan kroni.

Tetapi kita mungkin terlupa..
Jika kita berada di tempat mereka, kita juga mungkin berperangai sama. Atau mungkin lebih hebat.
Bertuhankan nafsu semata dan bertopengkan agama.

Usah berbangga dengan mengatakan yang kita tidak akan berubah. Melaungkan yang kita teguh memegang prinsip. Sangat kelakar kerana kita masih menyarungkan kasut yang sama di kaki ini.

Tunggulah apabila kita menyarungkan kasut yang sama dengan mereka. Kala itu pasti kita akan terpesona dengan keindahan kasut baru. Kita bangga menyarungkannya walau dimana sahaja. Kalau boleh, tidak mahu tanggal. Hendak menyarungnya sepajang masa dan ketika. Sikap, pemikiran, tindakan dan percakapan kita juga mula berubah. Dan tanpa disedari kita mengulangi sejarah mereka yang terdahulu. Mengulangi kesilapan dan kecacatan mereka. Meniru perilaku dan tindakan mereka.  

Kerana pada masa itu, kita menyarungkan kasut yang sama dengan mereka…

Dalam kehidupan ini ada banyak kasut. Macam-macam...

Dan logiknya, tiada sepasang kasut pun yang sempurna. Kasut kita dan dia mungkin sama dan mungkin berbeza. Jika sama, tidak lah sehingga sepenuhnya. Namun ia boleh berbeza sepenuhnya.

Salahkah memakai kasut yang berbeza? 
Tidak salah pun..


Cuma jangan terlalu ghairah untuk meminta orang mencuba kasut kita kerana belum tentu ia padan. 
Dan jika terlihat kasut orang yang berbeza dengan milik kita, usahlah cepat membahan. 
Kita tidak tahu keperitannya menyarung kasut tersebut. 

Mungkin jika diberi peluang untuk kita menyarungnya, sehari pun kita tidak mampu bertahan…

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...