Assalamualaikum wbt..
Lamanya Patung Beruang tidak menulis disini. Maaf ye. Patung Beruang tidak sempat. Jangan kata nak update disini dengan kerap, nak baca buku pun tak mampu. Hari ini dah 25hb March, tapi sebuah buku pun Patung Beruang masih belum habiskan untuk bulan March ini. Sedihnya, huhuhu..
In shaa Allah, bulan April nanti Patung Beruang akan kembali aktif. Sabar ye.
Oklah, hari ini Patung Beruang nak berkongsi pengalaman mengenai apa yang berlaku pada 2 minggu lepas.
Hari Sabtu, 11 March 2017, Patung
Beruang telah bangun seawal 5.30 pagi. Mandi, bersiap dan selepas menunaikan
solat Subuh, Patung Beruang mula mengangkat luggage dan beg-beg, masuk ke dalam
kereta.
Buka je sliding door, seekor anak
kucing berwarna putih sudah menunggu betul-betul didepan pintu. Dengan muka
comelnya, beliau mengiau manja, minta makanan. Pasti dia hairan mengapa pagi
ini Patung Beruang buka pintu awal. Biasanya, pintu hanya dibuka selepas pukul
7.15 pagi.
Setelah siap semua beg diletakkan
didalam kereta, pintu dan pagar rumah sudah siap dikunci, tepat pukul 6.30 pagi
Patung Beruang bertolak. Suasana masih gelap, cuaca sejuk dan traffic agak
lengang.
Pemanduan diteruskan dengan lancar.
Keluar dari Seri Kembangan, kereta Patung Beruang meluncur laju di SKVE dan
seterusnya sambung di LEKAS. Jam menunjukkan pukul 6.50 pagi ketika baru
memasuki LEKAS.
Seperti kebiasaan, LEKAS memang agak
lengang terutama ketika bukan hari bekerja. Ketika melepasi RnR yang pertama,
Patung Beruang menoleh ke arah RnR tesebut. Kelihatannya lengang dan agak
menyeramkan. Otak terus teringat cerita Abang berkenaan pengalaman misteri
nusantaranya ketika berada di RnR tersebut pada awal pagi tahun lepas.
Adatlah, diatas muka bumi ini ada
pelbagai makhluk. Sama ada ternampak jelas di mata atau pun tidak. Jadi,
janganlah terperanjat tatkala berdepan dengan perkara atau peristiwa yang tidak
munasabah.
Perjalanan diteruskan dan akhirnya,
tepat pukul 7.15 pagi Patung Beruang pun sampai di plaza tol terakhir. Lepas
sahaja tol, Patung Beruang berhenti sebentar di tepi jalan untuk melihat GPS.
Signal sangat lemah, maka, GPS tidak berfungsi sepenuhnya. Faham, kiri dan
kanan kawasan hutan. Maka mata ini pun ligat melihat peta di Google Maps dan
otak pula ligat menghafal jalan. Logicnya Patung Beruang tidak mampu untuk
menghafal kesemua simpang. Cuma mampu untuk menghafal kawasan-kawasan penting
yang bakal Patung Beruang lalui, dan landmarknya.
Pukul 7.20 pagi, Patung Beruang sambung
pemanduan. Maka bermulalah pemanduan di jalan raya kawasan kampung, sempit, dan
berliku-liku seperti ular kena palu.
Pandu, pandu dan terus memandu. Sampai
di satu kawasan, pemanduannya seperti kita sedang mendaki Cameron Highland.
Memanjat bukit atau gunung, selekoh yang tajam dan sempit, disebelah kiri
gaung, di sebelah kanan pula terdapat air terjun yang sedang mengalir. Mashaallah…
Subhanaallah.. Cantiknya.. Rasa macam nak berhenti je sekejap dan bermain air..
Nasib baiklah kawasan kecil dan tidak sesuai untuk berhenti. Jadi, hanya mampu
pandang sahajalah.
Pemanduan diteruskan, naik bukit,
turun bukit, jumpa pekan, jumpa kampung, jumpa hutan, jumpa ladang dan kebun.
Dan akhirnya, pada pukul 8.30 pagi, Patung Beruang pun sampailah ke Gelanggang
Futsal, Dewan Simpang Durian. Alhamdulillah.
Sebenarnya, Patung Beruang menyertai
Event Free Market Simpang Durian 2.0 yang dijalankan pada pagi Sabtu itu.
Seperti biasa, buah tangan Patung Beruang adalah buku-buku. Untuk kanak-kanak
dan juga orang dewasa. Bacaan umum dan santai.
Alhamdulillah, event FM hari itu
berjalan dengan lancar. Saling tolong-menolong antara para contributors.
Terutama apabila ada sahabat-sahabat yang belum selesai menyusun barang-barang
yang dibawa sedangkan pengunjung sudah ramai menunggu diluar gelanggang futsal.
Penganjur juga sangat hebat dan mempunyai process kerja yang sistematik bagi
memastikan kelancaran event pada hari itu. Alhamdulillah…
Ada beberapa peristiwa yang menjentik
jiwa Patung Beruang ketika berlangsungnya event:
Kisah 1
Ketika Patung Beruang leka menyusun
buku-buku diatas tikar, beberapa orang kanak-kanak berusia antara 7 – 13 tahun,
tekun duduk berhadapan dengan Patung Beruang.
Kid 1: Buku-buku ini
semua Acik nak bagi ke?
Patung Beruang (PB): Ye,
Acik nak bagi semua. Awak suka baca buku?
Kid 1: Suka. Tapi.. Kat
rumah takde buku.
PB: Takpe. Nanti lepas
pukul 10 pagi, bila majlis dah mula, awak boleh pilih dan ambil buku yang awak
suka ye.
Kanak-kanak ini tersenyum. Cantiknya,
itu sahaja perkataan yang terluncur dari bibirnya. Sambil itu, jarinya leka
mengusap lembut kulit buku yang dipamerkan, seolah-olah seperti buku itu sangat
berharga buatnya.
Kid 2: Nanti, saya nak
buku ini boleh? Saya tidak pernah ada buku cerita.
Patung Beruang hanya mengangguk sambil
tersenyum.
Ketika event sedang berlangsung,
kanak-kanak ini datang mendapatkan Patung Beruang.
Kid 1: Terima kasih
kerana bagi saya buku. Cantik sangat buku ini. Mesti cerita dia sedap. Saya
akan jaga buku ini sebaiknya. Nanti kalau Acik datang lagi, tolong bawa buku
lagi ye.
Patung Beruang terasa sebak namun
cepat-cepat dilawan perasaan itu dengan senyuman.
Allahuakbar.. Anak kecil ini dahagakan
santapan minda. Anak kecil ini ingin meneroka dunia luar. Anak kecil ini
laparkan bahan bacaan selain dari buku sekolah. Semoga buku yang dimiliki itu
memberi manfaat padanya.
Ye, Acik janji, Acik akan datang lagi
dengan lebih banyak buku untuk awak. Semoga usaha yang kecil ini mampu
menyuburkan minat awak untuk membaca. Dan semoga apabila awak telah dewasa,
awak juga mampu melakukan apa yang Acik lakukan sekarang. Aamiin..
Kisah 2
Pakcik : Boleh pakcik
tengok buku Cerita Dari Syurga itu?
Patung Beruang hulurkan buku yang
dipinta.
Pakcik : Nampak menarik
kisah dalam ini. Boleh pakcik ambil buku ini?
PB: Boleh. Silakan
pakcik.
Sedang Patung Beruang mengemas tapak,
Pakcik yang sama datang menghampiri.
Pakcik : Buku-buku kamu
semua dah habis.
PB: Ye, pakcik.
Alhamdulillah.
Pakcik : Mereka
dahagakan ilmu. Baguslah kamu bawa buku-buku kesini. Semoga mereka dapat
manfaatnya.
PB : Aamiin. Pakcik
memang asal sini ke?
Pakcik : Pakcik orang
mendatang. Merantau di banyak tempat. Akhirnya sampai disini. Dan berpuluh
tahun pakcik tinggal disini. Berkahwin, beranak pinak dan bercucu.
Pakcik tersebut mula membuka kisah
hidupnya. Bagaimana asal mula beliau tercampak disitu. Dan membina keluarga.
Allah murahkan rezekinya dimana beliau berpeluang mempunyai keluarga yang
besar. Mempunyai isteri-isteri, anak-anak kandung dan anak-anak tiri, menantu-menantu
dan cucu-cucu.
Pakcik : Kamu dulu
belajar kat mana?
PB : Di Sintok, Kedah.
Pakcik : Rezeki kamu
dapat belajar tinggi. Bila dah berjaya, jangan lupakan mak bapak. Walau mereka
tiada pelajaran, tidak pernah sekolah, miskin, kamu jangan abaikan mereka. Jaga
mereka selagi mereka masih ada.
Pakcik : Pakcik ada
seorang anak tiri. Mak dia, isteri pakcik meninggal ketika dia kecil lagi.
Kesian kan? Kecik-kecik dah takde mak. Jadi pakcik lah yang sekolahkan dia.
Hantar masuk tadika, pi sekolah sampai akhirnya dia dapat pi menara gading.
Tapi, lepas tu dia tak penah balik. Sampai lah sekarang. Takpelah. Mungkin dia
dah lupakan pakcik. Apa yang pakcik buat selama ini, tanggungjawab pakcik.
Biarlah. Satu hari nanti mungkin dia akan sedar.
Butir-butir jernih terbit di tepi
matanya. Seorang ayah yang meniti hari-hari tua. Menanggung beban rindu pada
anak. Walau anak tiri, namun tetap dijalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin.
Patung Beruang tidak sampai hati untuk bertanya lebih lanjut tentang anak itu.
Bimbang menambahkan kesedihannya.
Pakcik : Kamu sudah
berkahwin?
PB : Belum pakcik. Saya
masih bujang.
Pakcik : Kesiannya. Tak
apalah. Allah lebih tahu tentang urusan jodoh kamu. Sabar, usaha, doa dan
tawakal. Mungkin ini peluang untuk kamu berbakti sepenuhnya pada mak bapak
kamu.
PB : Betul. Itulah
Syurga saya.
Akhirnya Pakcik tersebut memohon untuk
beransur. Kelihatannya beliau gembira melihat ada orang luar yang sudi datang
ke kampung untuk menabur bakti bersama orang disini. Patung Beruang doakan
semoga satu hari nanti anak tiri Pakcik pulang ke rumah. Walau bukan untuk
selama-lamanya, cukuplah jika sekadar menziarahi, menyambung semula ikatan yang
terputus dan melepaskan beban rindu sesama keluarga.
Kisah 3
Sedang leka berbual bersama beberapa
pengunjung, Patung Beruang terpandang gelagat seorang pengunjung lelaki yang
leka membelek sebuah handbag.
Lelaki : Ni ada beg
untuk kau.
Katanya, lantas menghulurkan handbag
tersebut pada seorang wanita di sebelahnya.
Wanita : Cantik.
Bolehlah pakai.
Reaksi wanita itu sangat teruja. Air
mukanya gembira tatkala membelek handbag tersebut.
Handbag itu sederhana sahaja saiznya.
Berwarna coklat. Tetapi… Patung Beruang terlihat yang kulitnya mula terkopek
sedikit sedikit sehingga mencacatkan rupa handbag itu. Menyebabkan handbag
nampak agak bertompok-tompok.
Namun, air muka pasangan tersebut
sangat ceria. Seolah-olah ditangan mereka adalah handbag baru berjenama
terkemuka. Wanita itu memeluk handbag itu seolah-olah ia adalah barang yang
sangat berharga.
Patung Beruang rasa sebak.
Ya Allah, betapa aku selama ini kufur
dengan nikmat-Mu. Betapa aku ini kurang bersyukur atas rezeki yang Engkau
berikan. Handbag calar sedikit je, Patung Beruang terus masukkan dalam beg
kain, dan simpan sahaja didalam bilik. No more untuk dibawa kemana-mana lagi. Rasa
bersalahnya…
Alhamdulillah, menjelang tengahari
event pun selesai. Patung Beruang dapat ramai sahabat baru. Dan berjumpa juga
dengan sahabat – sahabat yang sedia kenal. Jarak memisahkan kami, membuatkan
kami hanya dapat bersua muka tatkala ada event-event begini. Terima kasih
kepada teknologi kerana dengan aplikasi Whatsapp Group, kami masih lagi dapat
berhubung antara satu sama lain dan saling menyebarkan maklumat jika ada
event-event begini dianjurkan.
Setelah itu, Patung Beruang
mengucapkan selamat tinggal kepada penganjur dan sahabat-sahabat yang lain.
Patung Beruang pun mula memandu meninggalkan Simpang Durian. Bertolak untuk
pulang ke Melaka.
Jujurnya, Patung Beruang tidak tahu
bagaimana jalan untuk ke Melaka. Yang Patung Beruang tahu, Patung Beruang hanya
ikut papan tanda ke Kuala Pilah, Tampin. Masih lagi melalui jalan kampung,
berliku-liku, jumpa hutan, jumpa ladang, jumpa kebun, jumpa pekan, jumpa gaung,
anak sungai dan macam-macam lagi.
Tiba di Tampin, Patung Beruang
teruskan perjalanan ke Simpang Ampat dan seterusnya masuk highway Plus untuk
keluar di Ayer Keroh. Hampir pukul 2.30 petang Patung Beruang pun selamat
sampai di rumah.
Penatnya… Adoi.. Sakitnya pinggang
ini, Allah sahaja yang tahu. Lama betul Patung Beruang habiskan masa didalam
kereta pada hari tersebut. Takpelah.. Bukan selalu pun, hehe..
Selamat tinggal Simpang Durian.
Meninggalkan kenangan semanis durian. Semoga kita berjumpa lagi kemudian…
No comments:
Post a Comment