Thursday, April 20, 2017

Book Review: Emak Rindu Mathanga Erissery

Tajuk : Emak Rindu Mathanga Erissery

Penulis : Khairul Hakimin Muhammad

Ceritanya Patung Beruang: 

Tuan Khairul Hakimin Muhammad adalah salah seorang penulis yang Patung Beruang follow di FB. Patung Beruang terbaca yang karya beliau ini termasuk dalam 100 buah naskah berbahasa Melayu pada zaman ini yang patut diteliti. Alhamdulillah, Patung Beruang berpeluang untuk memiliki naskah ini melalui BookCafe. 

Menariknya Naskah Ini:

Emak Rindu Mathanga Erissery adalah sebuah travelog karya penulis ketika beliau mengembara ke India bersama 3 orang sahabatnya. India adalah sebuah negara yang dekat dihati beliau. Ibunya, Puan Aini binti Abdullah, berasal dari sana. 

Penulis memulakan catatan travelog ini dengan pengalaman kesulitan yang dihadapinya ketika proses memohon visa India. Setelah berkali-kali ditimpa kesulitan, akhirnya pemergian beliau ke pejabat visa India, untuk kali ke-4, membuahkan hasil. Alhamdulillah. Allah memberi kemudahan kepada beliau untuk mengembara, melihat dunia luar, mengagumi ciptaan Allah yang Maha Esa. 

Seterusnya, penulis menceritakan bagaimana tawaran perjalanan yang dibukanya disambut oleh 4 orang sahabat. Namun, akhirnya hanya 3 orang sahabat sahaja yang ditakdirkan rezekinya untuk mengikuti pengembaraan penulis. 

Perjalanan penulis dan sahabat bermula di KLIA2 dan sampai ke Kochi, India. Dari Kochi, mereka meneruskan pengembaraan ke Kondungalor, seterusnya ke Munnar, Alleppey dan akhirnya kembali ke Kochi. 

Di sepanjang perjalanan, mereka berdepan dengan cabaran dan ujian, meninggalkan seribu kenangan dan pengalaman yang amat berharga buat semua. Kecantikan alam ciptaan Tuhan Yang Maha Agung, kebaikan budi pekerti masyarakat tempatan, cara hidup dan pemikiran yang berbeza, pembawaan diri yang berbeza, pelbagai latar belakang dan sosio ekonomi, memberi 1001 warna yang indah didalam memori para pengembara ini. 

Selain itu, para insan terpilih ini juga berpeluang untuk melawat ke Masjid Cheraman Juma, iaitu masjid yang dibina pada 629 Selepas Masihi dan diiktiraf sebagai masjid tertua di India. Masjid ini didirikan oleh Imam Malik bin Dinar, seorang alim ulama Arab yang bermusafir ke India. Dan selepas kedatangan Imam Malik ini, sinar Islam mula menebarkan sayapnya ke masyarakat tempatan di India, dan sinar itu makin bersinar dari hari ke hari sehinggalah kini. Subhanaallah... 

Disamping melawat tempat-tempat menarik dan mengenali budaya dan cara hidup tempatan, mereka juga berpeluang untuk mengikuti kelas masakan Puan Nimi Sunilkumar. Puan Nimi Sunilkumar adalah seorang blogger yang terkenal dengan blog masakan India yang bertajuk, Nimisrecipes.com. Pelawat yang hadir ke blog masakan ini bukan sahaja dari India tetapi juga dari seluruh dunia. Ini dibuktikan dengan kelas masakan yang dihadiri oleh penulis dan sahabat-sahabatnya, turut dihadiri juga oleh pelancong dari Australia. Masakan yang dipelajari pada petang itu adalah Stu Kambing, Mathanga Erissery, Apom dan sejenis manisan yang dibuat dari tepung beras dan kelapa. Sesungguhnya pengalaman menimba ilmu masakan dari Puan Nimi adalah satu peluang keemasan yang ditunggu-tunggu oleh para pencinta dunia masakan India. Dengan bayaran yang minima, mereka berpeluang menimba ilmu secara live dari guru yang tersohor, disediakan bahan masakan dan akhirnya sama-sama menjamu selera masakan yang telah dimasak, dalam suasana dan persekitaran yang harmoni, menenangkan dan mendamaikan. 



Begitulah serba sedikit kisah menarik dari naskah ini yang dapat Patung Beruang kongsikan disini. Naskah ini disusun dengan menarik dan jalan cerita yang teratur. Oleh itu, momentum pembaca seperti Patung Beruang sentiasa konsisten, jari menyelak helaian demi helaian muka surat sehingga tanpa disedari, sudah sampai ke penghujung naskah. 

Patung Beruang hanya mengambil masa kurang dari separuh hari untuk menghabiskan naskah ini. Penceritaan yang sangat lancar membuatkan Patung Beruang tekun menelitinya tanpa peduli keadaan sekeliling. Penceritaan yang sangat detail membuatkan seolah-olah Patung Beruang turut berada didalam pengembaraan mereka. Naskah ini turut disertakan dengan beberapa gambar yang menarik dan resepi-resepi yang dipelajari dari Puan Nimi. 

Terima kasih buat penulis kerana sudi berkongsi pengalaman yang berharga melalui travelog ini dan juga berkongsi resepi yang enak. Melihat resepi sahaja sudah membuatkan Patung Beruang terasa lapar dan terbayang-bayang keenakan masakannya. Sedapnya.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...