Assalamualaikum Nenek..
Nenek apa khabar? Maaf andainya warkah ini menggangu ketenangan Nenek.
Hari Jumaat, 24 February 2017, kali pertama Kakak menjejakkan kaki ke rumah Nenek selepas 3 minggu Nenek pergi.
Jujurnya, Kakak takut untuk datang ke rumah itu. Kakak tak dapat bayangkan bagaimana keadaan rumah tersebut tanpa Nenek.
Kakak dan Ibu sampai pada pukul 5.15 petang. Rumah kosong, Atuk tiada. Mujur Ibu ada simpan satu set kunci pendua rumah Nenek.
Ibu terus ambil penyapu dan mula penyapu beranda, tempat dimana kita selalu minum petang bersama. Kakak teragak-agak untuk melangkah masuk. Ibu seperti faham dan minta Kakak untuk tolong siramkan pokok-pokok bunga di sekeliling rumah.
Nenek tahu tak?
Pokok-pokok bunga Nenek elok terjaga. Bunga-bunga berkembang mekar pelbagai warna. Alhamdulillah.
Sedang leka menyiram pokok, Atuk pun pulang. Air muka Atuk nampak sangat gembira apabila melihat Kakak dan Ibu ada dirumah.
Selesai tugasan, Kakak dan Ibu menyediakan minum petang untuk Atuk. Tiada yang istimewa pun. Hanya air teh kosong, beberapa biji pau daging serta sekeping tosei. Kami bertiga minum di beranda, seperti kebiasaannya.
Cuma kali ini situasinya agak berbeza. Atuk duduk ditempat yang biasa Nenek duduk. Maka kerusi yang biasanya dikhaskan untuk Atuk, kosong. Ibu pula duduk mengadap Atuk. Kakak terkedu. Ah.. Rasa janggal apabila melihat Atuk bertukar tempat duduk di beranda itu.
Kami minum petang sambil berbual. Suasana yang agak berbeza dengan sitting arrangement yang juga berbeza. Atuk nampak tenang.
Usai minum petang, Kakak mengemas piring dan cawan. Basuh dan simpan di rak seperti sedia kala. Sebelum Maghrib, kami minta izin untuk beransur pulang. Atuk menahan agar kami tunggu sehingga waktu Isyak.
Nenek..
Kakak rasa bersalah. Sebenarnya, malam itu Kakak sudah berjanji pada Ibu, Ayah dan Abang. Kami ada aktiviti keluarga. Dengan berat hati, Kakak dan Ibu terpaksa menolak pelawaan Atuk. Atuk hanya menggangguk dan air mukanya tetap tenang seperti biasa. Allahuakbar.. Betapa Kakak rasa amat bersalah kerana tidak mampu menunaikan permintaan semudah itu.
Hari Sabtu, 25 February 2017, Kakak dan Ibu tiba di rumah Nenek selepas Isyak. Ketika tiba disana, Atuk sedang memanaskan lauk untuk dinner.
Selama 34 tahun Kakak hidup, inilah pertama kali Kakak melihat Atuk mengendalikan dapur masak. Perasaan Kakak sebak. Kakak meminta Atuk duduk sahaja di meja makan dan biar Kakak yang menyiapkan hidangan.
Usai makan malam, Atuk dan Ibu duduk diruang tamu dan berbual. Kakak mengemaskan dapur agar bersih dan teratur seperti kebiasaannya, Nenek. Kakak sedar, Atuk berusaha untuk menjaga rumah tersebut sama seperti keadaan ketika Nenek ada. Sentiasa bersih dan kemas.
Di ruang tamu, Atuk duduk dikerusi kegemarannya. Begitu juga Ibu dan Kakak. Tetapi ada sesuatu yang kurang...
Nenek..
Sofa kegemaran Nenek kosong. Tatkala Ibu dan Atuk sedang rancak berbual, Kakak berulang-kali menoleh kearah sofa tersebut. Selama ini ia tidak pernah kosong. Tetapi mengapa sekarang ia kosong?
Nenek..
Kakak terbayang suasana pada 28 January 2017, malam terakhir Kakak berbual dengan Nenek. Mengapa malam itu Nenek tidak beritahu yang Nenek hendak pergi jauh? Andai Kakak tahu itu lah kali terakhir kita berbual, pasti Kakak akan minta untuk bermalam di rumah Nenek. Agar kita boleh berbual dan berbual sehingga Subuh. Nenek pasti sedar kan, sudah 15 tahun keluarga Kakak pindah Melaka. Dan ini bermakna sudah 15 tahun juga Kakak tidak lagi bermalam di rumah Nenek. Oh..andai Kakak mampu kembali ke masa lepas..
Kakak dan Ibu beransur pulang tatkala jam pukul 10.30 malam. Atuk masih berjaga walaupun dalam keadaan biasa, beliau sepatutnya sudah masuk tidur.
Nenek ingat tak?
Kami biasa pulang lewat kan? Yelah, kita rancak dan leka berbual sehingga tidak perasan waktu berlalu pantas. Dan Atuk pula biasanya akan masuk tidur sebelum pukul 10 malam.
Malam itu, untuk pertama kalinya, hanya Atuk seorang yang menghantar kami pulang. Hanya Atuk seorang yang berdiri di beranda sehingga kereta Kakak hilang dari pandangan.
Nenek..
Atuk sangat tabah. Atuk sangat tenang. Mungkin beliau tidak mahu kami susah hati. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan dan isi hatinya.
Namun entah dimana silapnya, Kakak, Ibu dan Ucu banyak menangis selepas Nenek pergi. Maafkan kami Nenek. Kami bukan menangisi pemergian Nenek namun kami menangisi ketabahan Atuk. Kami faham, perkongsian kehidupan selama 60 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Namun, Allah lebih tahu buat apa yang terbaik buat kami semua.
Nenek..
Ibu dan Ucu mula sakit-sakit. Beban emosi dan fizikal mereka sangat menguji. Kakak hanya mampu membantu dan memberi semangat. Ibu berusaha mengejar Syurga, dari Ayah dan Atuk. Ucu berusaha menggalas tanggungjawab, demi anak-anak dan Atuk.
Nenek..
Doakan moga kami tabah ye. Semoga kami tetap tabah dan tenang seperti Atuk. Menyimpan segalanya dari pandangan mata insan. Meluah segalanya hanya pada Tuhan.
Selamat berehat Nenak. Rehatlah sehingga dibangkitkan nanti. Rehatlah sehingga kita berjumpa lagi...