Sunday, February 12, 2017

Book Review: Sayang Ustazah Sayang

Tajuk : Sayang Ustazah Sayang

Penulis: Salmi Manja

Menariknya Karya Ini: 

Naskah Sayang Ustazah Sayang adalah naskah lama yang diterbitkan semula oleh ITBM supaya pembaca dapat mengenali naskah ini yang ibaratnya seperti perakam peristiwa dan suasana pada masa lampau. 

Mengisahkan sekumpulan ustaz dan ustazah yang mengajar di madrasah, diketuai oleh Ustazah Nazimah sebagai guru besar. 

Setiap orang mempunyai cerita kehidupan tersendiri.

Ustazah Nazimah, adalah guru besar yang sangat bercita-cita tinggi. Beliau berhasrat untuk menambahbaik madrasah, menambahkan lagi kelas agar pengajaran lebih teratur dan lebih ramai murid dapat belajar. Oleh itu, atas persetujuan bersama, madrasah bakal melangsungkan Malam Derma dimana akan diadakan persembahan bagi tontonan awam sekaligus bagi mengutip sumbangan dari hadirin. 

Ustazah Zahirah, seorang yang cantik dan lemah-lembut namun kelembutannya menyebabkan beliau seringkali dipukul oleh suaminya. Kemuncak pergolakan rumahtangga mereka adalah apabila Ustazah Zahirah dimasukkan ke hospital kerana kecederaannya. Beliau merasakan yang suaminya sudah berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan lebih banyak menghabiskan masa dirumah madunya. Ustazah Zahirah banyak meluahkan cerita dan perasaan pada Ustazah Zamilah. Baginya, Ustazah Zamilah adalah pendengar yang setia dan boleh dipercayai. 

Selain urusan kerja di madrasah, Ustazah Naemah juga leka dengan jualan langsung sehingga rumahtangganya terabai. Anak gadisnya sudah pandai keluar berdua-duaan dengan lelaki dan tindakan ini menyebabkan buah mulut jiran tetangga. Ustazah Naemah bertukar menjadi singa, bukan sahaja anaknya diterkam, suaminya, Faizal juga turut dipersalahkan. 

Ustazah Zamilah, satu-satunya ustazah yang masih bujang di madrasah tersebut. Sering menjadi perhatian masyarakt terutama Mustaffa, lelaki yang sering minum di gerai kopi berdekatan madrasah, ketika menunggu kenderaan untuk ke tempat kerja. Namun, hati Ustazah Zamilah sudah dimiliki oleh Musdi, adik kepada jirannya. 



Naskah Sayang Ustazah Sayang ini membawa Patung Beruang ke zaman dahulu kala, mungkin dalam tahun 60-an. Meneliti kehidupan pada masa itu dimana bukan semuanya indah belaka, bukan semuanya mewah belaka. 

Ustazah Zahirah tersepit dalam pergolakkan rumahtangga disebabkan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Tiada tempat untuk dituju bagi mengadu permasalahannya kecuali pada rakan sekerja. Tiada peranan Jabatan Agama atau Unit Kaunseling. Malah, rakan sekerja seperti ustaz-ustaz lebih senang dengan memberi nasihat agar bersabar kerana beraggapan itu adalah asam garam rumahtangga. Bagi mereka, rumahtangga orang usah dicampuri. Biarlah, nak pukul bantai ke, biarkan sahaja suami isteri yang menyelesaikannya. 

Selain itu, kemiskinan masyarakat Melayu yang terpinggir dari kek ekonomi juga turut dipaparkan melalui watak Sarah, salah seorang murid di madrasah. Sarah sangat rapat dengan Ustazah Zamilah. Maka, segala masalah diceritakan. Bagaimana peritnya kehidupan anak kecil, sering menjadi mangsa pukul oleh ayahnya. Tinggal di rumah setinggan yang tidak serupa rumah, makan seadanya malah sampai suatu tahap Sarah diminta untuk berhenti sekolah agar boleh menjual kuih demi mencari sesuap nasi. Permintaan itu meruntun hati anak kecil ini sehingga dia sanggup lari dan bersembunyi didalam almari di madrasah. Tangisannya yang mendayu didengari oleh Wak Kadir lantas memanggil Ustazah Zamilah bagi menenangkan anak kecil ini. 

Gelaran ustazah tidak bermakna adab dan tutur kata seperti yang selayaknya. Sikap dan perilaku Ustazah Naemah tatkala berkomunikasi bersama suami dan anak-anak dapat dijadikan sempadan. Tiada rasa hormat sang isteri pada suami, nada yang tinggi dan kasar, kata-kata yang penuh dengan sindiran bagai menjadi mainan bibir tatkala bercakap dengan Faizal, suaminya. Tidak kisahlah sama ada ketika berdua atau dihadapan anak-anak, intonasi dan caranya sama sahaja. Dengan anak-anak, perkataan yang diguna benar-benar menyentap emosi dan psikologi kanak-kanak dan remaja. Mungkin boleh juga dikata yang Faizal gagal menjadi ketua keluarga yang baik. Dirinya sendiri curang dibelakang isteri. Dan kini anak gadisnya diusung oleh lelaki kesana kemari. Masih mahu salahkan si anak? Atau mungkin salah sendiri? 

Naskah Sayang Ustazah Sayang ini tidaklah complicated. Karya yang sangat jujur, menelitinya ibarat mengenali watak-watak didalamnya. Patung Beruang rindu untuk menatap karya-karya hebat sebegini lagi. Memang wajarlah naskah ini diterbitkan semula kerana kehadirannya ibarat mencabar kualiti dan kejujuran karya pada masa kini.

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...