Monday, August 29, 2016

Book Review: Kuda-Kuda Lembah Patagonia

Tajuk: Kuda-Kuda Lembah Patagonia

Penulis: Mohd Hafezin Khadiri

Menariknya Buku Ini: 

Kuda-Kuda Lembah Patagonia adalah himpunan 10 buah cerpen yang mengangkat tema sukan sebagai tema utama. 

Penulis membuka cerita dengan membawa pembaca mengenali Samatha, seorang gadis yang sangat meminati sukan bola sepak. Dan impian Samantha hanyalah satu, beliau ingin menjadi pemain bola sepak profesional dan bermain di English Premier League (EPL). Terasa aneh kedengarannya kerana EPL masih lagi tidak disertai oleh pasukan bola sepak wanita. Dan impian Samantha mula kelihatan realiti apabila beliau terpilih menyertai latihan pasukan Liverpool. Cerpen 1: Gadis-Gadis Merseyside. 

Cerpen 2: Cape Town Menerima Sesiapa membawa kita mengenali Caled,  seorang remaja Islam yang bekerja sebagai penjaga tiket kereta kabel Table Mountain. Dalam masa yang sama, Caled juga bermain didalam pasukan ragbi di  wilayah Cape Town. Caled merupakan calon pemain pasukan remaja kebangsaan untuk Afrika Selatan. Namun, jurulatihnya agak skeptikal kerana Caled tidak seperti pemain ragbi yang lain. Statusnya sebagai muslim menyebabkan Caled sangat berhati-hati dalam menjamah makanan dan minuman. Disaat rakan-rakan pasukan meraikan kemenangan mereka dengan arak, Caled hanya meraikannya dengan segelas Coke ditangan. Disaat rakan pasukan enak menikmati bacon, Caled berusaha mencari makanan halal untuk dinikmati. Dan perkara yang paling merunsingkan jurulatihnya adalah jika Caled tidak mampu berlatih dengan sepenuh tenaga ketika di bulan Ramadhan, hanya kerana Caled sedang berpuasa. Namun, Caled bukanlah seorang yang mudah patah semangat. Menjadi muslim dikalangan bukan muslim menjadikan beliau lebih cekal dan bersemangat tinggi bagi membuktikan kemampuan dirinya. Dan akhirnya Caled berjaya menjadi pemain pertama dari Cape Town yang diserapkan kedalam skuad Remaja Afrika.   

Almhult, di Smaland selatan Sweden, adalah bandar bersejarah yang cantik, terletak 408 kilometer dari barat ibu kota Stockholm. Hanya memiliki 9,000 penduduk, Almhult adalah tempat lahirnya jaringan kedai perabot Ikea, yang diasaskan oleh Ingvar Kamprad.  Dan tanpa disedari, Almhult bukan sahaja menjadi saksi kepada kehebatan Ikea, malah turut menjadi saksi kepada kehebatan dan kegigihan Jacobsen Otto, seorang pelajar sekolah tinggi yang sangat berminat dengan sukan renang. Disaat orang lain gila dengan hoki ais, Jacobsen pula sering berlatih dikolam renang berhaba, yang terletak di ibu pejabat Ikea. Suhu yang rendah sedingin 1 darjah Celcius tidak betah menjauhkan Jacobsen dengan kolam renang. Dan kesungguhan Jacobsen disedari oleh Encik Olhsen yang pantas menawarkan diri menjadi jurulatih kepada anak muda ini. Encik Olhsen bukanlah orang biasa, beliau adalah jurutera Ikea yang baru bersara dan juga bekas perenang. Encik Olhsen adalah juara gaya bebas dari Denmark yang pernah menjuarai acara sukan Scandinavia ketika tahun 90-an. Dibawah bimbingan Encik Olhsen, Jacobsen semakin menyerlah dan mula menjuarai pertandingan demi pertandingan. Namun, pada suatu tahap, Encik Olhsen mula bimbang kerana beliau tidak mampu mencari penaja bagi membawa Jacobsen berlatih di Copenhagen, demi memastikan anak muda ini mendapat pendedahan yang lebih bagus. Dan tanpa diduga, berita ketiadaan penaja itu sampai ke CEO Ikea dan syarikat terkemuka ini bersetuju untuk menaja latihan Jacobsen atas dasar pekerja Ikea adalah keluarga Ikea walaupun mereka telah bersara. Cerpen 7: Kocak Almhult


Perkara menarik berkenaan naskah ini adalah penulis membawa pembaca mengembara ke serata dunia melalui cerpen-cerpen yang ditulisnya. Penulis memulakan pengembaraan di Merseyside, sebuah kawasan pelabuhan terbesar di barat England. Seterusnya, menyaksikan kegigihan pemain ragbi di Cape Town, Afrika Selatan. Di New York dan Toronto, menyaksikan pelari yang memecut tatkala tembakan dilepaskan dan juga pertembungan gangster dengan pihak berkuasa. Rali padang pasir membawa kita kepada gurun di Dubai. Dilema pemain golf remaja di St Andrew yang terlalu mendambakan kejuaraan Remaja Scotland tetapi tersepit antara naluri menjalani kehidupan remaja yang normal dan cita-cita keluarga. Konflik dalaman gimnas dari teluk-teluk Sydney tatkala semakin hampir dengan Sukan Australia. Anak jati Perak yang tercampak di Gangnam, Korea semata-mata ingin menimba ilmu dan pengalaman didalam sukan memanah. Dan banyak lagi tempat-tempat menarik lain. 

Pada pendapat Patung Beruang, meneliti naskah ini bukan sahaja membawa kita kepada kisah-kisah sukan, tetapi jua budaya, geografi, cara kehidupan dan keindahan tempat-tempat lain di negara-negara lain. Lain dari lain dan sangat menarik.


Kisahnya Patung Beruang:

Penulis naskah ini, Hafezin adalah sahabat lama Patung Beruang. Kami berkenalan beberapa tahun dulu, berpunca dari satu kejadian salah faham. Segan rasanya untuk Patung Beruang kongsikan disini peristiwa yang berlaku. Sebab salah faham itu menyebabkan ada orang lain menjadi mangsa kemarahan Patung Beruang, huhu.  Masa tu, Patung Beruang masih lagi bertugas di Internal Audit, TNB. Ia berlaku beberapa minggu sebelum beliau berangkat ke UK bagi menyambung pengajian Master. 

Beberapa tahun selepas itu, setelah selesai pengajian di UK dan pulang ke Malaysia, kami sempat berjumpa beberapa kali. Dan pertemuan terakhir kami adalah di Central Market, beberapa hari sebelum beliau berangkat ke Rusia, untuk bertugas disana. Oleh kerana masa itu ofis Patung Beruang di Dayabumi, jadi Central Market adalah tempat yang paling senang untuk kami jumpa dan hi-tea selepas waktu bekerja. Seingat Patung Beruang, ketika pertemuan tersebut, Patung Beruang sempat hadiahkan sebuah buku berkenaan Muslim Profesional sebagai tanda kenang-kenangan. 

Kini dah beberapa tahun kami terputus hubungan. Patung Beruang pun tidak pasti adakah sekarang ini beliau masih di Rusia atau sudah pulang ke Malaysia. 

Tatkala terbaca yang karya beliau  Kuda-Kuda Lembah Patagonia  ini memenangi hadiah saguhati untuk Sayembara Penulisan, anjuran ITBM, PENA dan BH, Patung Beruang nekad untuk mencari dan memiliki naskah ini. Alhamdulillah, ia boleh dibeli dari Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Bersahabat dengan Hafezin membuatkan Patung Beruang banyak belajar tentang sastera dan politik Malaysia. Beliau tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan pendapat mengenai perkembangan sastera dan politik tempatan. 

Malah dari beliau juga, Patung Beruang berkenalan dengan karya-karya tempatan yang bermutu tinggi dan cantik nilai sasteranya. Jauh beza dengan karya-karya picisan yang banyak dilambakkan di pasaran. Secara tidak langsung, meneliti karya-karya ini membuatkan otak Patung Beruang divert sekejap setelah puas dan penat meneliti perkembangan ekonomi, dunia korporat, strategic management, kewangan dan sebagainya (masa tu Patung Beruang baru habis Master, so masih lagi menjadi pembaca tetap Malaysia Business, Forbes, The Economist etc.)

Oklah.. Untuk Hafezin, tahniah atas kemenangan naskah ini. Naskah ini memang sedap dan memberi pengalaman yang baru kepada pembaca. Maaflah. Setelah 3 tahun diterbitkan, baru kini Patung Beruang dapat memiliki dan menelitinya. Walau dimana pun anda berada, tidak kisah lah di Malaysia ke, di luar negara ke, Patung Beruang doakan semoga anda berjaya dunia akhirat dan terus menghasilkan karya-karya yang bagus dan boleh dibanggakan. Aamiin.. :)

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...