Tuesday, August 16, 2016

Kesombongan Kita

Pada suatu hari, di sebuah kawasan kejiranan yang terkenal, sebuah keluarga datang menziarahi saudara-mara mereka. Kereta dipandu diletakkan di satu parking lot yang kosong tanpa menyedari parking lot tersebut ada pemiliknya. 

Tidak berapa lama kemudian, si pemilik parking lot itu pulang. Tatkala mendapati parking lotnya diambil orang, si pemilik tadi berang dan nekad untuk parking dibelakang kenderaan pelawat tersebut. 

Kemudian, pelawat sekeluarga tadi pun hendak beransur pulang. Dan apabila sampai di parking lot, mereka mendapati kereta mereka telah dihalang dibelakang. 

Pelawat mula menekan hon berkali-kali, bagi menarik perhatian pemilik kenderaan dibelakangnya. Beberapa minit kemudian, pemilik parking lot tadi pun datang.

Lantas, pelawat meminta maaf berkali-kali atas kesilapannya mengambil parking lot tersebut. Kesilapan yang tidak disengajakan. Beliau beranggapan, dengan permohonan maaf itu, si pemilik parking lot akan lembut hati dan mengalihkan keretanya sebentar. 

Namun ternyata telahan si pelawat itu meleset. 

Si pemilik parking lot tersebut datang dan terus menghambur kata-kata yang kurang enak didengar kepada si pelawat tadi. Dengan nada suara yang terjerit-jerit dan berbahasa Inggeris, kelakuan si pemilik itu pantas mengundang perhatian orang-orang di sekeliling. 

Si pelawat pula tidak putus-putus meminta maaf, dengan nada yang merendah diri dan masih setia berbahasa Malaysia, mungkin kerana menghormati bangsa si pemilik parking lot itu. 

Drama di siang hari itu berlanjutan selama 30 minit. Sehingga akhirnya security guard dan beberapa orang awam datang ke tempat itu bagi menenangkan si pemilik parking lot tersebut.

Suatu perkara yang memalukan adalah perkelahian yang terjadi hanyalah disebelah pihak sahaja. Dan lebih memalukan adalah si pemilik parking lot adalah seorang wanita muslimah, berimej muslimah namun tutur katanya sangat menyimpang. Dan si pelawat tadi, security guard dan orang awam yang ada di tempat itu, semuanya berbangsa asing, bukan beragama Islam dan tetap menuturkan bahasa Malaysia. 



Kisah ini adalah kisah benar. Bila dan dimana, biarlah Patung Beruang rahsiakan. 

Patung Beruang bukanlah racist tapi Patung Beruang tetap merasakan gelagat dan tingkah-laku si pemilik parking lot tersebut sangatlah tidak wajar. Ye, siapa-siapa pun akan marah jika hak nya diambil. Tetapi, jika si pelaku telah meminta maaf, mengapa tidak kita maafkan sahaja dan selesaikan permasalahan tersebut secepat mungkin. Apatah lagi jika kesilapan itu tidak disengajakan. 

Kemarahan tidak pernah menyelesaikan masalah. Malah, ia menambahkan kerumitan terhadap masalah tersebut. 

Dalam kes ini, apakah kerosakan terbesar yang diterima oleh si pemilik parking lot apabila lot parkingnya diambil?  Beliau terpaksa parking dibelakang kereta orang lain, pulang ke rumahnya dan kemudian datang sekali lagi untuk mengalihkan keretanya. Adakah kerumitan ini (jika ia rumit lah) dianggap satu kerosakan yang terbesar? 

Adakah kerana kenderaan yang dipandu oleh si pemilik parking lot itu lebih gah dan lebih mahal berbanding kenderaan yang dipandu oleh si pelawat, maka si pemilik parking lot merasakan dia berhak untuk bersikap sombong dan memarahi si pelawat dengan sepuas-puas hatinya?

Patung Beruang sedih sebenarnya dengan si pemilik parking lot itu. Kerana mulutnya, beliau telah menjatuhkan imej sebagai seorang muslimah, menjatuhkan imejnya sebagai seorang yang terpelajar dan berkedudukan. Dan lebih malang, beliau dianggap sebagai manusia yang sombong. 

Betul kata orang bijak pandai, manusia ini sebenarnya sombong....

Tatkala mereka belajar tinggi sedikit, mereka merasakan orang lain tidak sepandai mereka.

Tatkala mereka mahir berbahasa Inggeris, mereka merasakan orang lain sangat kampung dan tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris sehebat dan selancar mereka. 

Tatkala mereka memandu kenderaan yang mahal dan besar sedikit, mereka merasakan merekalah raja diatas jalan. Oleh itu, semua orang kena beri jalan pada mereka.

Tatkala mereka tinggal dirumah yang mahal sedikit, mereka merasakan mereka telah cukup kaya dan orang lain tidak berhak untuk datang ke kejiranan mereka. 

Tatkala mereka makan di restoran yang mahal sedikit, mereka merasakan makanan di gerai itu tidak sesuai dengan selera mereka dan hanya menjatuhkan standard mereka sahaja. 

Tatkala mereka menyarungkan pakaian berjenama, mereka merasakan pakaian orang lain tidak setanding mereka. Oleh itu, orang lain tidak hak untuk duduk bersebelahan dengan mereka. 

Tetapi...

Jika difikir dengan lebih mendalam, siapakah kita untuk bersikap sombong?

Kerana ada ramai orang diluar sana yang lebih pandai dari kita, degree, Master, PhD berkali-kali lagi banyak dari kita. Ramai lagi orang yang mahir bertutur bermacam-macam bahasa dengan lancar. Ramai lagi orang yang memiliki kenderaan yang lagi mewah sehingga akal kita sendiri tidak terjangkau harganya. Ramai lagi orang yang mendiami kediaman mewah dan memilikinya berbiji-biji. Ramai lagi yang berbelanja sehingga ratusan ringgit hanya untuk seorang makan. Dan ramai lagi yang almari bajunya penuh dengan designer masterpiece baik dari dalam atau luar negara. 

Dan ramai insan-insan hebat ini masih lagi merendah diri, masih lagi melayan orang disekelilingnya sebagai manusia, tanpa mengira latar belakang, umur, status, bangsa dan agama. 

Jadi, kita masih lagi hendak bersikap sombong????



p/s: Sikap si pemilik parking lot itu tidak mencerminkan sikap keseluruhan umat Islam. Namun, harus diingat, oleh kerana segelintir insan yang bersikap sedemikian, ada antara mereka yang bukan Islam, memandang serong kepada kita yang beragama Islam. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...