Penulis: Rosie Dastgir
Menariknya Novel Ini:
Novel A Small Fortune ini adalah buah tangan dari Big Bad Wolf tahun lepas. Tapi seperti biasa lah, bila buku yang dibeli banyak sangat, jadi kenalah tunggu giliran untuk dibaca.
A Small Fortune mengisahkan Harris Anwar, keturunan Pakistan tetapi sekarang menetap di Yorkshire, Britain. Seorang bapa tunggal dan mempunyai anak gadis yang sedang meningkat remaja, Alia.
Harris adalah seorang engineer. Namun, setelah bersara, beliau membuka kedai runcit di kawasan penempatannya dan bercadang untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya disana.
Alia pula adalah seorang pelajar perubatan di London. Seperti ibu bapa yang lain, Harris mengharapkan agar Alia dapat menamatkan pelajarannya dan bergelar doctor. Namun, hakikat sebenarnya, Alia tidak berminat dengan bidang tersebut dan akhirnya berhenti belajar dan bekerja bagi menyara hidupnya.
Dalam masa yang sama, Harris seringkali diminta membantu saudara-maranya dari segi kewangan samaada Nawaz sekeluarga yang menetap berdekatannya, juga Khalid Ali yang menetap di Lahore ataupun Rashid, anak lelaki sulung Khalid Ali yang berada di London.
Rashid seorang graduan universiti, bekerja sebagai agen hartanah. Malangnya, pendapatan yang diperolehi tidak mencukup bagi membantu keluarganya di Lahore terutama apabila adiknya mengidap leukemia.
Dalam masa yang sama, Rashid merasakan hidupnya semakin jauh dari Islam. Tanpa mempedulikan nasihat Harris, Rashid akhirnya nekad untuk berhenti kerja dan menumpukan semua usahanya kepada gerakan agama yang diketuai oleh Mohsin Begg.
Walaupun Alia adalah satu-satunya anak Harris, namun hubungan ayah dan anak ini tidak berjalan dengan lancar. Bimbang apabila melihat Alia tidak menjalani hidup sebagai seorang Muslim, Harris telah menyuruh Rashid untuk memperhatikan tindak-tanduk Alia. Keadaan ini melebarkan lagi jurang perhubungan dua beranak ini.
Dalam masa yang sama, Omar, seorang ahli perniagaan yang berjaya dan juga kawan lama Harris, telah memperkenalkan Harris dengan Doktor Farrah. Doktor Farrah, seorang pensyarah yang kematian suami. Bibit cinta antara Harris dan Doktor Farrah tidak berjaya membawa mereka ke fasa seterusnya kerana pertentangan cara hidup antara mereka. Akhirnya, mereka nekad untuk kekal sebagai sahabat saja.
Musibah mula melanda apabila Harris diserang sakit jantung.
Dalam masa yang sama, keadaan kesihatan adik perempuan Rashid semakin kritikal, menyebabkan ibunya, Nasreen terpaksa membawa adik perempuan Rashid ke London untuk urusan perubatan. Masalahnya, keadaan kewangan mereka semakin menghimpit.
Adakah keadaan kesihatan Harris akan semakin kritikal?
Adakah keadaan ini boleh memperbaiki hubungan Harris dan Alia?
Bagaimana pula Rashid hendak membantu ibu dan adiknya sedangkan dirinya sendiri tidak terurus?
Dan apa sebenarnya motif Mohsin Begg apabila menubuhkan gerakan agama yang disertai oleh Rashid?
A Small Fortune memberi gambaran bagaimana mereka yang berketurunan Pakistan menetap di Britain demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Ada yang menjadi individu yang sangat berjaya dari segi materialnya namun telah jauh dari cara hidup Islam dan juga budaya Pakistan.
Ada yang tersepit di persimpangan antara kehidupan dunia dan akhirat.
Ada yang terlalu ghairah mencari akhirat sehingga tidak sedar yang dirinya telah jauh terpesong dari landasan Islam yang sebenar.
Ada juga yang menjadikan Islam itu sebagai alasan untuk mereka membuat kehancuran tanpa menyedari erti sebenar ajaran Islam dan kesan dari perbuatan mereka.
Meneliti novel ini seperti mengenali watak-watak didalamnya kerana Rosie Dastgar berjaya menceritakan karakter setiap mereka dengan terperinci. Novel yang sangat menarik untuk dibaca..
No comments:
Post a Comment