Monday, May 16, 2016

Membuang Atau Dibuang, Yang Manakah Kita?

Assalamualaikum wbt...


Khamis lepas, Patung Beruang menonton Ada Apa Dengan Cinta 2? di IOI City Mall seorang diri. Sesekali merehatkan otak dari isu-isu dipejabat. Walaupun tayangan waktu siang, tapi panggung separuh penuh juga. Ramai juga rupanya peminat cerita ini..

Nak kata Patung Beruang minat sangat cerita ini, tidaklah.. Cuma, lebih kepada nak tahu, apa kesudahan kisah Cinta dan Rangga, serta menikmati puisi-puisi yang ada didalam filem tersebut.

Komen Patung Beruang mengenai filem tersebut? Hm... I reserved my comment, can I say that? hehe.. 

Setiap orang ada pendapat tersendiri mengenai filem ini. Jujurnya, Patung Beruang enjoy dengan puisi-puisi yang dilontarkan didalam filem ini. Ada adegan yang membosankan, tetapi ada juga adegan yang menyentuh hati ini.

Selepas menonton, Patung Beruang terfikir...

Betullah.. Adakalanya kita terpaksa membuang orang yang kita sayang. Bukan sebab kita benci dia atau sebab sudah pudar rasa sayang itu. Tapi... untuk kebaikkan bersama.

Tetapi...

Adakalanya, kita pula yang dibuang oleh orang yang kita sayang. Kita dibuang tanpa isyarat, dibuang tanpa ada penjelasan yang jelas. 

Ibarat membuang anak kucing. Kita tinggalkan dia di pasar, dan kita terus melangkah pergi. Walaupun anak kucing itu mengejar kita, mengiau memanggil kita, kita tetap pekakkan telinga, butakan mata dan keraskan hati untuk melangkah dan terus melangkah. Akhirnya, anak kucing itu bosan dan penat mengejar, lalu dia berhenti dan tinggallah dia di pasar itu. Takut diserang haiwan lain, bimbang tiada makanan, bimbang tiada yang mengasihi, kesunyian seorang diri, semuanya ditelan sendiri oleh anak kucing tersebut.  

Begitulah dalam kehidupan kita ini..

Insan datang silih berganti..

Adakalanya datang sebagai seorang kawan..

Adakalanya datang sebagai seorang sahabat..

Adakalanya datang sebagai seorang yang istimewa, yang berjaya menghuni hati ini..

Tetapi, perancangan Allah adalah yang terbaik..

Tidak semua yang hadir dalam hidup kita, akan sentiasa kekal bersama dengan kita..

Hari ini, kita berbicara seperti biasa.. Tetapi, esok, kita membuangnya.. atau mungkin, esok kita yang dibuangnya.. 

Tipulah jika kita dapat melupakan dia sepenuhnya dalam waktu yang singkat.. Ibarat menekan butang "delete" di keyboard laptop.. Sekali tekan, terus terpadam dari skrin hati dan fikiran.. Mengarut, bukan?

Mungkin proses "delete" tersebut memakan masa berminggu, berbulan atau mungkin bertahun.. Percayalah, kesembuhan itu akan datang seiring dengan masa.. Time will heal a broken heart..

Namun, sesekali dia hadir dalam ingatan kita. Sesekali, dia hadir dalam mimpi kita. Sesekali, dia hadir didalam doa kita. 

Jika terlintas, doakan sahaja agar dia berjaya dan bahagia dunia dan akhirat. Jika sudah tidak bernafas, hadiahkan sahaja ayat suci Al-Fatihah buat menemaninya disana..

Jangan diusir kenangan itu.. Kerana ia antara kenangan terindah dalam hidup kita.. 

Membuang atau dibuang, setiap satunya pasti ada penjelasan..

Kita mungkin berhutang penjelasan dengannya.. Atau mungkin, kita yang masih menagih penjelasan darinya.. 

Ada perkara perlu dijelaskan sebaiknya.. Tetapi, ada kalanya lebih baik saja penjelasan itu disimpan kemas di sudut hati. Meluahkannya hanya akan menambah luka yang sedia ada. Tidak membawa kebaikkan tetapi menyesakkan lagi keadaan..

Membuang atau dibuang, usah lagi menyimpan dendam.. 

Maafkan sahaja diri sendiri dan pihak disebelah sana.. 

Kini, masing-masing ada haluan dan destinasi tersendiri..  

Andai terjumpa di pertengahan jalan, sapalah.. In shaa Allah, pasti akan dijawab dengan seikhlas hati.. Tetapi, jika tidak punya kekuatan, palingkan sahaja pandangan mata. Anggaplah seperti dia tidak wujud dialam nyata.. 

Membuang atau dibuang, menghadirkan rasa kosong dalam ruang diri ini.. 

Kosong, kering dan menyeramkan.. 

Jangan dilayan rasa kosong itu.. 

Jangan dilayan hati yang kering dan menyeramkan itu..

Bukalah mata hati dengan seluasnya..

Disekeliling, masih ramai lagi yang lebih malang dari kita..

Disekeliling, masih ramai lagi yang lebih merana dari kita..

Mengapa tidak kita hulurkan tangan, pinjamkan bahu untuk bersandar, dan pinjamkan telinga untuk mendengar? 

Isi lah kekosongan itu dengan membantu insan-insan lain yang lebih memerlukan.. Nescaya, kekosongan itu akan hilang sedikit demi sedikit.. 

Atau mungkin peluang datang untuk memperbaiki diri...

Mengapa tidak direbut sahaja peluang itu?

Bukankah setiap kesedihan itu akan disusuli dengan kegembiraan? 

Kita adalah apa yang kita fikirkan.. 

Hidup ini kena ada matlamat yang jelas..  Dan matlamat kita bukan setakat bahagia dan berjaya disini tetapi jua disana.. Andai kata umur ini tidak panjang, tidak malukah kita untuk berdepan dengan Pencipta, dengan hati yang rawan?  

Membuang atau dibuang, tidak kisahlah yang mana satu.. 
Lupakan sahaja kesedihan itu.. 

Teruskan sahaja perjalanan ini.. 
Jangan menoleh lagi..

Usah gentar jika terlihat bersendirian..
Kerana hakikatnya, Kekasih abadi tidak pernah meninggalkan kita berseorangan.. 



p/s: Hari ini Hari Guru. Patung Beruang ucapkan Selamat Hari Guru pada semua yang pernah mengajar Patung Beruang, dari tadika sehinggalah ke peringkat Master. Juga pada guru-guru atau pendidik lain diluar sana. Tanpa jasa kalian, Patung Beruang tidak akan berada dimana Patung Beruang berada sekarang. Halalkan segala ilmu dan nasihat yang telah diberikan.. Setiap tahun, hanya 2 orang sahaja yang Patung Beruang wish personally melalui SMS. Kerana hanya nombor mereka sahaja yang masih ada dalam simpanan Patung Beruang. Moga mereka berjaya dan bahagia dunia akhirat, Aamiin.. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...