Saturday, May 21, 2016

Book Review: Keajaiban Firasat 63 Kisah Pengubat Jiwa



Tajuk: Keajaiban Firasat 63 Kisah Pengubat Jiwa 


Penulis: Muhadir Haji Joll

Menariknya Buku Ini:

Buku ini adalah buah tangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di MAEPS beberapa minggu lepas. 

Alhamdulillah, oleh kerana lokasi Pesta Buku sangat dekat dengan rumah Patung Beruang, jadi keinginan untuk menghadirinya sangat membuak-buak. 

Mengandungi 63 buah kisah yang sangat menarik, penulis membuka catatan buku ini dengan Kisah 1: Keadilan Tuhan. Kisah bermula apabila Nabi Musa a.s. memohon agar Allah swt menunjukkan keadilan kepadanya. Allah swt memperkenankan permohonan Nabi Musa a.s. dimana Beliau memerintahkan agar Nabi Musa a.s. pergi ke tempat yang ada mata air. Bersembunyi di tempat tersebut dan menyaksikan segala apa yang bakal berlaku. Namun, apa yang terlihat di pandangan mata Nabi Musa a.s. benar-benar menguji kesabarannya. Ini adalah kerana Nabi Musa a.s. diperlihatkan bagaimana seorang kanak-kanak telah mengambil harta kepunyaan seorang penunggang kuda, namun, seorang lelaki lain yang buta pula yang dipersalahkan dan akhirnya dibunuh oleh penunggang kuda itu. Setelah itu, Jibrail a.s. datang dan menerangkan kepada Nabi Musa a.s. apakah sebenarnya yang berlaku dan mengapa manusia-manusia itu berperlakuan sedemikian. 

Kisah 12: Roti dan Anjing membawa kita kepada kisah dermawannya seorang budak lelaki yang ditugaskan menjaga kebun kurma. Dalam sehari, kanak-kanak ini hanya memakan 3 potong roti sahaja. Namun, pada suatu hari seekor anjing telah datang dan memasuki kebun kurma tersebut. Budak lelaki ini melemparkan sepotong roti kepada anjing tersebut lalu anjing itu pun memakannya dengan lahap sekali. Melihatkan keadaan itu, budak lelaki itu melemparkan lagi potongan roti miliknya kepada anjing tersebut sehinggalah potongan yang terakhir. Peristiwa itu dilihat oleh Abdullah bin Ja'afar, keluarga Bani Hasyim yang paling akhir melihat Rasulullah s.a.w. Lantas Abdullah bin Ja'afar bertanya apakah yang akan dimakan oleh budak itu memandangkan makanannya telah habis dimakan oleh anjing tadi. Budak lelaki itu menyatakan yang dia akan berpuasa sahaja pada hari itu. Sifat dermawan budak lelaki itu benar-benar menyentuh hati Abdullah bin Ja'afar lantas beliau pun membeli kebun tersebut dengan budak lelaki itu. Dia kemudiannya memerdekakannya lalu menghadiahkan kebun tersebut kepadanya. 

Kisah yang paling menyentuh hati Patung Beruang adalah Kisah 63: Ya Rasulullah.. Kami Merinduimu... Kisah ini menceritakan detik-detik terakhir kehidupan Rasulullah s.a.w. Bermula dari peringkat awal Baginda s.a.w. sakit dan mengunjungi para syuhada Perang Uhud. Di atas kubur mereka, Rasulullah s.a.w. memberi salam dan menyatakan yang Baginda s.a.w. akan mengikuti mereka. Kemudian, diceritakan bagaimana situasi pada 3 hari sebelum kawafatan Baginda s.a.w. dimana pada masa itu, sakit Baginda s.a.w. semakin meruncing. Sehingga akhirnya Baginda dipindahkan ke rumah Sayidatina Aisyah r.a., memberi khutbah terakhir kepada umat Islam pada masa itu, kedatangan Fatimah untuk melawatnya dan sehinggalah Rasulullah s.a.w. menghembuskan nafas terakhir Baginda di dada Sayidatina Aisyah r.a. Turut diceritakan bagaimana keadaan para sahabat apabila Sayidatina Aisyah r.a. memaklumkan kewafatan Baginda s.a.w. 

Kisah terakhir ini sangat menyentuh perasaan Patung Beruang. Penulis berjaya menulis kisah ini dengan gambaran yang detail sehingga seolah-olah peristiwa itu berlaku di hadapan mata Patung Beruang. Air mata mengalir tatkala menatap kisah terakhir ini. Ya Rasulullah, benar.. kami amat merinduimu... 


Kesimpulannya, buku Keajaiban Firasat 63 Kisah Pengubat Jiwa ini sangat menarik dan padat dengan kisah-kisah yang menyentuh hati. Ada antara kisah-kisah ini pernah Patung Beruang baca dibuku-buku lain. Tetapi, ada antaranya baru pertama kali membacanya. Selain dari kisah-kisah yang menarik, buku ini turut meletakkan nota kaki di setiap kisah mengenai tokoh-tokoh atau insan-insan yang diceritakan didalam kisah tersebut. Maklumat seperti latar belakang, kelahiran dan kematian mereka, serta pencapaian dan kehebatan mereka turut diselitkan didalam nota kaki tersebut. Buku yang menarik untuk dikongsi dengan semua..  :) 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...