Monday, May 2, 2016

Book Review: Lukanya Merah

Tajuk: Lukanya Merah

Penulis: Rohani Deraman

Menariknya Novel Ini:

Novel Lukanya Merah ini Patung Beruang beli ketika hadir ke Pesta Buku lepas yang diadakan di PWTC.

Seperti biasa, jika hadir ke Pesta Buku, booth Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah booth yang wajib Patung Beruang lawati. Pastinya untuk melihat jika ada novel-novel baru yang menarik hati untuk dibeli.

Lukanya Merah membawa kisah perjuangan umat Islam yang tinggal di Kampung Chanae, salah sebuah kampung di selatan Thailand. Umum mengetahui bahawa wilayah selatan Thailand sering bergolak dimana konflik tercetus antara askar kerajaan dan juga penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam. 

Mek Romah, seorang wanita tua yang cekal dan tabah. Beliau dilahirkan di Kelantan, namun berpindah ke Kampung Chanae setelah berkahwin dengan suaminya, Haji Mat Daud. Haji Mat Daud adalah imam yang disegani dikampungnya dan kampung sekitar. 

Dikurniakan tiga orang anak yang kesemuanya lelaki iaitu Seman, Dolah dan Mat Husin, amat membahagian pasangan ini. Seman dan Dolah aktif mengembangkan ajaran Islam dan juga memperjuangkan kemerdekaan wilayah selatan Thailand. Bagi masyarakat Islam ini, mereka hanya inginkan kerajaan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai masyarakat asal di wilayah ini dan memberi kebebasan kepada mereka untuk mentadbir wilayah ini.

Malang mula menimpa keluarga Mek Romah apabila Seman mati ditembak ketika pulang dari menoreh getah bersama-sama ayahnya. Tidak berapa lama kemudian, Dolah pula mengikut jejak langkah abangnya. Mayat Dolah ditemui oleh Mek Romah dan Haji Mat Daud tidak jauh dari kebun mereka, dicelah-celah rumpun buluh. Bagai menambah luka yang sedia pedih, Haji Mat Daud turut ditembak mati oleh askar-askar kerajaan, tatkala beliau membuka pintu rumahnya, sesudah solat Subuh. 

Melihatkan seorang demi seorang ahli keluarganya dibunuh, Mat Husin nekad untuk berhijrah ke Singapura. Walau dipujuk oleh Mek Romah, Mat Husin nekad untuk bekerja disana dan meninggalkan Mek Romah, isterinya Siti Aishah dan anak-anaknya. 

Naluri seorang menantu yang amat dahagakan kasih sayang seorang ibu, membuatkan Siti Aishah tidak sanggup meninggalkan Mek Romah keseorangan di kampung. 

Walaupun sudah berumur, namun Mek Romah nekad untuk menyambung perjuangan suami dan anak-anaknya. Kini, sekumpulan anak muda di Kampung Chanae semakin aktif menyusun strategi bagi melawan askar-askar kerajaan. 

Banyak harta benda telah Mek Romah sumbangkan kepada kumpulan anak muda ini bagi membantu mereka membeli peralatan atau senjata. Selain itu, beliau juga beberapa kali keluar dari Kampung Chanae semata-mata untuk meninjau keadaan umat Islam ditempat lain. 

Namun, pada suatu hari, Mek Romah ditemukan dengan seorang gadis muda bernama Fatmah. Dan pada hari yang sama juga, Fatmah dan Mek Romah ditangkap oleh askar kerajaan, serta dipenjarakan.

Siapakah Fatmah sebenarnya?

Adakah perjuangan Mek Romah telah dihidu oleh askar kerajaan? 

Adakah Mek Romah akan dibunuh sama seperti suami dan anak-anaknya?

Apakah kesudahan perjuangan Mek Romah dan juga umat Islam disana?


Lukanya Merah ternyata novel yang unik. Penulis mengangkat kisah perjuangan umat Islam di wilayah selatan Thailand sebagai tema utama novel ini. Membaca novel ini membawa kita mengerti punca sebenar perjuangan mereka, jerih perih mereka mempertahankan tanahair mereka, layanan tidak adil yang diterima dari pemerintah serta bagaimana peranan media dalam manipulasi kisah sebenar sehingga orang luar mempunyai persepsi negatif terhadap masyarakat Islam disana. 

Susunan cerita sangat teliti dan teratur. Pembaca dibawa mengenali ahli keluarga Mek Romah dan juga kehidupan mereka. Sedikit demi sedikit, mula ditunjukkan hala tuju perjuangan mereka dan pahit getir yang mereka hadapi dalam menghadapi kehidupan seharian. Kesimpulannya, Lukanya Merah adalah antara novel terbaik yang Patung Beruang pernah baca. 


p/s: Antara sebab kenapa Patung Beruang sangat menggemari novel-novel terbitan DBP adalah selain dari gaya bahasa yang cantik (membantu Patung Beruang memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu), juga kerana tema yang diketengahkan oleh penulis-penulis mereka adalah pelbagai. Kisah sebenar kehidupan masyarakat diluar sana. Ada suka, duka, lara dan nestapa. Realiti kehidupan dengan 1001 cerita. Bukan semata-mata kisah cinta murahan yang tidak berpijak dibumi nyata, seperti yang banyak ditonjolkan oleh novel-novel popular masa kini. 

Maaf lah ye. Bagi Patung Beruang, kisah cinta yang indah-indah belaka dan happy ending hanya berlaku didalam cerita Hindustan. Hakikatnya, banyak je kisah cinta yang tidak kesampaian, yang penamatnya sangat menyedihkan dan memberi kesan kepada insan yang terlibat, walau ia telah lama berlalu. Jadi, mengapa kita masih ingin menipu diri sendiri membaca kisah-kisah cinta yang penuh khayalan itu??? 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...