Penulis: Dr. Andreas Kurniawan
Penterjemah: Ain Ahmad Lutfi
Menariknya Naskah Ini:
Alhamdulillah, akhirnya Patung Beruang berjaya mencapai sasaran membaca 15 buah buku pada tahun ini. Masih ada berbaki 2 bulan lebih sebelum tahun 2026 melabuhkan tirainya. Jika ada rezeki, mungkin Patung Beruang sempat selesaikan pembacaan untuk 1 ke 2 buah buku lagi, Aamiin.
Naskah Seorang Lelaki Yang Melalui Kedukaan Dengan Mencuci Pinggan ini Patung Beruang beli di PBAKL 2026. Oleh sebab naskah ini menerima banyak good review, maka Patung Beruang benarkan ia memotong giliran untuk dibaca. Dan ternyata, keputusan Patung Beruang memang tepat, hehehe..
Blurb:
"Ketika menyambut pesakit yang sedang berduka, seorang pakar psikiatri akan menggali ilmu yang dimilikinya. Dia akan menyelidiki segala teori yang pernah dipelajarinya semasa kuliah dulu dan mengingati pengalaman pesakit-pesakit sebelumnya. Kemudian, dia akan menyintesiskan semua itu demi membantu pesakit yang sedang berduka di hadapannya.
Akan tetapi, ketika Andreas - seorang pakar psikiatri - kehilangan anaknya, dia melakukan hal yang berbeza. Dia melemparkan semua teori tersebut ke luar tingkap dan memutuskan untuk mencari makna tentang mengapa semua ini terjadi. Dalam pengalamannya, dia menemukan bahawa kedukaan boleh diharungi dengan mencuci pinggan kotor yang bertimbun di dapur.
Buku ini adalah proses Andreas memaknai kehilangan besar dalam hidupnya. Diceritakan dengan santai serta tambahan rencah humor gelap, buku ini memuatkan panduan bermanfaat yang boleh terus diaplikasikan dalam hidup, seperti "Tutorial Mencuci Pinggan," "Tutorial Menyusun Puzzle," dan sudah tentulah "Tutorial Menerima Kematian Seorang Anak."
"Hampir semua orang bertanya, apakah kaitan kedukaan dengan mencuci pinggan? Jawapan saya adalah kedukaan itu seperti mencuci pinggan. Tidak ada orang yang mahu melakukannya tetapi pada akhirnya, seseorang tetap perlu melakukannya.""
Kematian bukanlah satu peristiwa yang menyeronokkan. Apatah lagi apabila kita terpaksa berdepan dengan kematian insan yang kita sayangi. Be it our parents, siblings, spouse, children, best friends, or anyone that we feel emotionally attached to.
Seperti yang pernah Patung Beruang nukilkan disini, tiada satu manual untuk melalui episod kesedihan akibat kematian, yang sesuai dengan semua orang. Setiap orang, melalui kedukaan ini dengan cara yang berbeza-beza.
Yang penting adalah jangan sekali-kali membandingkan kedukaan seseorang dengan orang yang lain. Juga, jangan pernah mengajar orang lain cara untuk berduka. Ini kerana, tiada manusia yang diprogramkan dengan cara yang sama, 100%.
Hiro, anak tunggal Dr Andreas dilahirkan pada June 2020. Ternyata Tuhan lebih menyayanginya apabila bayi comel ini bebas dari kesakitan di dunia tepat pada 10 December 2021.
Hiro dilahirkan dengan keadaan tidak mampu menangis, tidak boleh menelan, dan otot pernafasan yang lemah. Selain itu, ekspresi wajahnya juga tiada kerana terdapat gangguan pada saraf kranialnya.
Dari segi fizikal pula, tangan kiri Hiro berbeza dengan tangan kanannya. Tangan kirinya memiliji jari-jari yang comel, sedangkan tangan kanannya tidak memiliki sebarang jari, hanya membulat sepenuhnya. Seperti tangan Doraemon.
Dalam naskah ini, Dr Andreas membawa pembaca menyulusuri apa yang berlaku selepas kematian Hiro antaranya seperti berikut:
- Apa yang berlaku pada seseorang yang sedang berduka dalam 24 jamnya yang pertama? Kebiasaannya, orang pasti akan menganggap yang kita akan rasa sedih. Hakikatnya, tidak. Emosi yang muncul ketika itu sebenarnya lebih kompleks. Kebanyakkan kita akan merasa bingung pada waktu itu. Kita akan rasa seperti apa yang berlaku ini adalah tidak masuk akal. Yelah, semalam kita melihat seseorang itu masih hidup. Mungkin juga masih boleh berinteraksi dengan kita. Hari ini, tiba-tiba dia sudah tidak bernyawa. Hanya jasad yang terbujur kaku.
- Konsep dialectical behavioral dimana boleh saja wujud dua perasaan yang berlawanan dalam satu masa yang sama. Selepas kematian Hiro, Dr Andreas sedih kerana anak tunggalnya telah pergi buat selama-lamanya. Namun, dia juga rasa lega kerana Hiro sudah tidak sakit dan tidak perlu berdepan dengan dunia luar yang sangat mencabar ini.
- Kedukaan adalah rasa sakit emotional yang tidak dapat dihindari. Kita boleh mengelak daripada melihat benda yang mengingatkan kita kepada kedukaan tersebut, namun kita tidak akan pernah mampu menghindari perasaan duka tersebut.
- Kedukaan itu seperti mencuci pinggan. Tidak ada orang yang mahu melakukannya. Akan tetapi pada akhirnya, kita tetap perlu melakukannya. Dalam kata lain, suka atau tidak, kita perlu berdepan dengan kedukaan tersebut. Kerana tiada orang yang boleh melaluinya bagi pihak kita.
- Ketika sedang berduka, akan ada sisa-sisa perasaan, kenangan atau harapan. Kita harus sedar bahawa sisa-sisa itu adalah milik masa lalu. Maka, kita harus membersihkannya dengan cara biarkan saja ia berada di masa lalu. Bagaimana caranya? Dengan menerima bahawa kematian itu sememangnya berlaku.
- Sampai bila kita harus berduka? Sebenarnya tiada satu jawapan khusus untuk soalan ini. Perasaan duka itu lahir dari perasaan cinta. Yes, kita berduka kerana kehilangan insan yang kita cintai / sayangi. Makanya, selagi insan tersebut masih ada dalam hati ini, selagi masih ada cinta dan sayang pada insan yang telah pergi itu, selagi itu kita akan masih berduka. Cuma tahap kedukaan itu yang berbeza. Mungkin ketika di awal kehilangan, kita sering menangis. Tetapi apabila masa kian berlalu, kita mungkin menangis apabila hati kita tersentuh. Mungkin sebulan sekali, mungkin setahun sekali, atau mungkin apabila kenangan itu muncul secara tiba-tiba.
- Salah satu perasaan dominan yang terjadi ketika berduka ialah rasa bersalah. Rasa bersalah timbul kerana pertama, kita melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya kita lakukan. Kedua, kerana kita tidak melakukan sesuatu yang sepatutnya kita lakukan.
- Konsep anhedonia dalam dunia psikiatri dimana ia bermaksud seseorang yang sudah tidak tahu cara untuk gembira lagi, atau tidak mampu menemukan kegembiraan, setelah mengalami episod kedukaan.
Oleh kerana naskah ini ditulis berdasarkan pengalaman sendiri, ada antara tulisan disini terasa sampai ke hati:
- Ternyata, semakin kecil kerandanya, semakin berat untuk diangkat. Kerana yang berada di dalam keranda tersebut bukanlah seorang anak dengan berat 10kg semata-mata, melainkan berat seluruh duniaku.
- Orang yang berduka ialah orang yang paling bingung untuk memproses apa yang sudah berlaku.
- Menerima kesedihan sebagai sesuatu yang wajar dalam hidup adalah cara untuk kita melangkah ke hadapan.
- Rasa sakit dan penderitaan itu bukanlah untuk dibandingkan mana satu yang lebih besar. Ini kerana pasti ada konteks di sebalik setiap rasa sakit dan penderitaan itu, yang hanya dirasakan oleh mereka yang mengalaminya.
- Rasa sakit yang kita alami bukanlah untuk ditandingkan, melainkan supaya kita mampu cuba untuk memahami rasa sakit orang lain.
- Manusia boleh mengalami rasa sakit selagi mereka mampu mencari hikmah di sebalik kesakitan tersebut.
- Keberanian itu bukanlah tiada rasa takut, melainkan berasa takut, namun tetap melakukannya kerana tahu perkara itu adalah sesuatu yang bermakna untuk dilakukan.


No comments:
Post a Comment