Monday, April 20, 2026

Cerita Syawal 2026

Syawal sudah melabuhkan tirainya, Alhamdulillah…

Jika masih diberi umur dan rezeki, mungkin akan bersua lagi di tahun hadapan. Jika tidak, semoga setiap amal yang kita lakukan sepanjang Ramadan dan Syawal yang lalu diterima oleh-Nya, menjadi bekal yang tidak pernah sia-sia.

 

Syawal 2026 hadir dengan pelbagai warna – ada manis, ada pilu, ada yang menyentuh jauh ke dasar jiwa.

Syawal pertama tanpa Ayah… janggal rasanya.

Pada awalnya, hati ini dipenuhi gusar – bagaimana agaknya suasana Syawal nanti?

Adakah rumah Ayah ini masih akan dikunjungi  tetamu, walaupun telah kehilangan sosok yang selama ini menjadi tunjangnya?

Mampukah diri ini menyambung peranan Ayah, menyantuni setiap tetamu yang hadir dengan penuh adab dan kasih - datang membawa keberkatan, pulang membawa kenangan?

 

Rupanya, kebimbangan itu ternyata tidak berasas.

1 dan 2 Syawal, rumah Ayah dipenuhi tetamu, baik dari kalangan keluarga terdekat, saudara-mara sebelah Ayah dan juga sebelah Ibu. Ada yang baru pertama kali Patung Beruang kenal, ada yang pertama kali menjejakkan kaki ke rumah Ayah.

Duduk berbual, bertanya khabar – nikmat yang terasa sederhana, tetapi sebenarnya tidak terhitung nilainya. Alhamdulillah…

 

2 Syawal, menu utama kami adalah Laksa Johor. Hidangan kegemaran Ayah.

Kuahnya ditempah dari café di ofis Imran. Kami cuma perlu rebus spaghetti dan siapkan ulam-ulaman.

Rasanya Laksa Johor itu… seakan membawa kembali kenangan.

Berkali-kali Patung Beruang pesan pada Imran;

“Please send my appreciation to the Chef. He or she is a savior to our Raya.”

 

Sekurang-kurangnya, dalam kehilangan, masih ada sesuatu yang mampu menghidupkan rasa “Raya” itu kembali.

Selepas ini, Patung Beruang sudah tahu untuk cari dimana jika tekak ini tiba-tiba nak makan Laksa Johor.

 

3 Syawal, 23 March – Isnin. Rutin Patung Beruang kembali seperti biasa. Sudah pulang ke KL dan seharian berkurung dirumah, menyelesaikan tugasan pejabat. Bersiap untuk BAC meeting yang bakal menjelang di 6 Syawal.


7 Syawal, 27 March - Jumaat. Logiknya, diri terasa tenang sedikit kerana BAC sudah selesai pada hari sebelumnya. Tapi entah mengapa, hati ini terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

4.15 petang, ketika Patung Beruang sedang go through slides dengan Boss dalam bilik meeting, ada panggilan masuk di handphone. Nama Kak La tertera di skrin.

Perasaan tidak enak dalam hati ini makin kuat.

Terdengar suara Kak La di hujung talian:

“Yana, Mama dah takda. Baru sekejap ini. Di rumah Seksyen 3. Datang ye, Kak La tunggu awak.”

 

Akhirnya, misteri rasa itu terjawab.

Satu-satunya kakak Ayah, kakak yang paling Ayah sayang, akhirnya menyusul pergi selepas 344 hari Ayah mendahului.

 

Perjalanan dari pejabat di Jalan Tun Razak ke Seksyen 3 Shah Alam pada petang itu terasa panjang.. sunyi.. dan berat.  

Traffic agak lengang mungkin kerana ramai lagi yang masih dalam mood Raya.

 

Dari petang sehingga ke malam, ramai yang datang berziarah. Alhamdulillah..

Akhirnya, urusan pengebumian selesai pada hari Sabtu, 8 Syawal di waktu pagi.

 

2 tahun berturut-turut, di bulan Syawal, Patung Beruang kehilangan ahli keluarga terdekat. Sakit tidak terungkap dengan kata.

 

Hari-hari selepas itu dilalui seadanya.

Adakalanya terasa seperti mimpi – seakan sukar untuk percaya semua ini benar-benar berlaku.

Namun hati ini belajar untuk menerima – bahawa setiap jalan yang Allah aturkan, pasti ada hikmah yang belum kita fahami.

Surah Ali-Imran, Ayat 185:

“Every soul will taste death. And you will only receive your full reward on the Day of Judgement. Whoever is spared from the Fire and is admitted into Paradise will indeed triumph, whereas the life of this world is no more than the delusion of enjoyment. / Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

  

23 Syawal, 12 April – Ahad. Rumah pertama yang Patung Beruang kunjungi untuk Hari Raya tahun ini. Maafkan saya kerana di penghujung Syawal baru berpeluang untuk bertanya khabar. Menyantuni bonda dan kakak sepupu, yang turut kehilangan ketua keluarga pada tahun 2025. Bezanya, arwah Pak Long meninggal dunia pada January 2025 dan Ayah pula menyusul satu-satunya abang yang dimilikinya, ketika April 2025.

 

Dan semalam, 1 Zulkaedah, 19 April – Ahad.

Happy Birthday Ayah….

Jika Ayah masih ada, semalam genap lah umur Ayah 77 tahun.

Allah lebih sayangkan Ayah.

Mungkin di Sana, Ayah sudah bertemu kembali Kakak yang disayangi dan dirindui.

Mungkin rindu yang tertangguh itu kini telah terubat.

Insya-Allah, kalian berdua bahagia di Sana.

Dan di sini, selagi masih bernafas, kami akan terus mengirimkan doa … tanda kasih yang tidak pernah putus.  

 

Di waktu petang, Patung Beruang berziarah ke rumah Seksyen 3, Shah Alam. Kediaman yang sama, tetapi penghuninya sudah berkurang. Tatkala kaki melangkah masuk ke ruang tamu, mata tertangkap katil hospital kosong. Janggal rasanya melihat katil itu kosong setelah beberapa tahun dihuni.

Jika dikenang semula, pertama kali Patung Beruang ada perasaan janggal melihat katil hospital kosong di ruang tengah rumah adalah pada 19 April 2025, setelah pulang dari pengebumian Ayah. Walaupun Ayah hanya mendiami katil tersebut tidak sampai 2 minggu, perasaan aneh itu tetap ada.

Dan kini, perasaan janggal yang sama  - cuma yang berbeza adalah tarikh, katil, kediaman dan bekas penghuninya.

 



Setiap episod kehilangan yang dihadapi, pasti ada kekesalan atau ralat yang terbit di hati. 

Patung Beruang juga begitu.

Cuma kekesalan kali ini terlalu peribadi untuk diluahkan disini. Bimbang ada yang terguris hati.

Cukuplah sekadar Allah, diri ini dan juga seseorang yang jauh merentasi benua, tahu apa yang Patung Beruang kesalkan untuk kali ini.  

 

25 Syawal, 14 April – Selasa. Untuk seseorang yang jauh merentasi benua - terima kasih kerana bertanya khabar dan mengambil berat dalam diam. Kehadiran kamu di saat diri melalui fasa yang sukar, sangat dihargai.  

Setiap kata-kata yang baik, nasihat yang diberikan, perkongsian pengalaman hidup kamu - semuanya memberi makna yang tersendiri. 

Semoga segala kebaikan yang kamu hulurkan itu, Allah balas dengan sebaik-baik ganjaran, berlipat kali ganda tanpa henti, Aamiin...


Syawal 2026 telah pergi.

Tetapi segala yang ditinggalkannya tidak pernah benar-benar hilang.

Ia tinggal dalam doa yang kita kirimkan, dalam kenangan yang kita simpan, dan dalam kekuatan yang perlahan-lahan kita bina dari setiap kehilangan.

 

Hidup ini akan terus berjalan – walau hati pernah retak, walau langkah kadang terhenti.  

Selagi masih bernafas, kita akan terus melangkah.. membawa amanah, menyambung kasih yang telah pergi, dan percaya bahawa setiap perpisahan di dunia ini, hanyalah janji untuk pertemuan yang lebih abadi di Sana.

 

Al-Fatihah untuk semua yang telah mendahului…. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...