Penulis: A. Samad Ismail
Menariknya Naskah Ini:
Naskah ini Patung Beruang beli ketika jualan gudang Dewan Bahasa & Pustaka yang berlangsung pada tahun lepas. Tertarik dengan hasil penulisan Sasterawan Negara yang diterbitkan semula, dan berkulit keras pula tu, maka Patung Beruang terus membeli naskah yang belum Patung Beruang miliki.
Sungai Mengalir Lesu adalah naskah ke-9 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada tahun ini, Alhamdulillah.
Naskah ini membawa pembaca ke era zaman Jepun, di sebuah kampung di Singapura, terletak berdekatan dengan sungai dan juga gudang simpanan makanan tentera Jepun.
Zaman perang, makanan dicatu, penduduk kampung yang terdiri dari pelbagai bangsa iaitu, Melayu, Cina, dan India sentiasa hidup dalam ketakutan. Tatkala dengar saja bunyi squadron B24 atau B29, peduduk akan lari bertempiaran menuju ke shelter untuk berlindung. Tak lama selepas itu, akan terdengarlah bunyi dentuman bom silih berganti yang jatuh dari B24 atau B29 itu.
Sungai disini digambarkan jijik, dengan air yang hitam, penuh sampah-sarap termasuk tin-tin kosong, batang-batang balak, sayur-sayur busuk, bangkai haiwan seperti tikus dan katak, dan kadangkala mayat manusia.
Namun sungai yang jijik itu jugalah menjadi nadi kehidupan penduduk disitu. Tempat mencuci, tempat mandi dan bermain kanak-kanak, tempat mencari saki baki makanan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Dalim, seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang tinggal berdua saja dengan kakaknya, Tuminah, si janda muda. Dalim keluar bermain di sungai, bersama-sama rakan sekampung seperti Sukon, Sakinah, Menon, Sai Yong.
Bagi kanak-kanak ini, perang dihadapan mata bukan penghalang untuk mereka mencari pengalaman hidup. Kesusahan akibat peperangan menjadikan mereka kanak-kanak yang berani dan mempunyai keazaman yang kuat demi kelangsungan hidup.
Di sungai tersebut, terdapat jambatan hijau. Jambatan yang fungsinya untuk memudahkan pergerakan penduduk setempat. Tetapi ketika zaman perang, jambatan itu sering kali dijadikan tempat untuk mengambil nyawa. Pernah seorang Cina muda, menggantung dirinya di jambatan hijau itu. Kata orang, si mati putus cinta. Ada juga yang kata, si mati sangat sedih kerana ayah dan ibunya telah diangkut oleh askar Jepun dan tidak pulang-pulang. Ada juga seorang India tua menjerat lehernya di jambatan tersebut. India tua itu lengkap dengan kain dan baju kot kuningnya. Peperangan membunuh jiwa-jiwa insan yang tidak bersalah sehingga mereka putus asa untuk hidup.
Kebiasaannya, penduduk setempat akan turunkan mayat yang tergantung dijambatan itu, dan dibaringkan di tepi jalan sebelum ditutup dengan kertas dan kain buruk. Jika selepas beberapa jam tiada orang yang mengambil mayat tersebut, akan ada kereta sorong yang datang memungutnya dan hantar ke kubur. Tetapi kubur dimana? Tiada siapa yang tahu.
Selain dari 3 kaum majoriti, terdapat juga orang Jawa yang datang menumpang hidup di kawasan kampung itu. Irwan dan Mulyadi, sama-sama datang ke Singapura dengan niat mencari rezeki demi masa depan yang lebih cerah untuk keluarga yang ditinggalkan di Semarang. Malangnya mereka terperangkap dalam kancah peperangan, menyebabkan kehilangan pekerjaan, menghadapi kebuluran dan menderita sakit malaria. Mereka menghabiskan sisa-sisa hidup di tanah perkuburan ditepi masjid. Tiada apa yang hendak ditakutkan apabila tidur dikubur kerana mereka sendiri pun tiada ubah seperti mayat hidup.
Naskah ini sangat sedap.. Susun atur ayat dan pemilihan pekertaan sangat sedap. Tidak hairanlah ia menjadi karya malar segar.
Apabila membacanya, terasa seperti Patung Beruang berada di kampung tersebut, rasa ketakutan setiap kali terdengar deruman enjin B24 atau B29. Terasa seperti jantung terhenti apabila bom jatuh satu persatu tanpa mengenal mangsa. Terasa sakitnya apabila makanan dicatu sehingga terpaksa makan apa saja yang ada dihadapan mata tanpa mengira bersih atau kotor, halal atau haram.
Sepanjang pembacaan, dada rasa sesak dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh masyarkat kampung itu. Rasa benci membuak-buak pada tentera Jepun yang melakukan sewenang-wenangnya atas alasan peperangan.
Jika ingin lari sebentar dari realiti kehidupan di kota metropolitan yang menyesakkan, ambil lah beberapa jam, duduk dan teliti lah karya ini dengan sepenuh hati. Insya-Allah, kita akan terasa seperti masuk ke dunia lain, yang tidak pernah kita rasai sendiri dialam nyata, namun ia memang benar-benar berlaku, ketika 70 atau 80 tahun lampau.
Cuma ending naskah ini sedih.
Ada watak-watak yang terkorban akibat sakit, mati disebabkan bom yang dijatuhkan oleh B24 atau B29, atau ada juga yang mati ditempak oleh askar Jepun ketika dalam misi mencari bekalan makanan...
Kehidupan yang penuh dengan penderitaan..
Selamat kembali ke realiti.....
No comments:
Post a Comment