Ia bukan sekadar manisan yang tersimpan dalam peti sejuk - tapi ia adalah sisa kecil sebuah kenangan besar...
Yang tersimpan didalam jiwa, tidak pernah benar-benar cair.
Aku masih ingat hari aku membelinya.
Di peti sejuk kedai, dua jenama disusun bersebelahan.
Aku berdiri lama di hadapannya.
Mata meneliti label, tangan memegang harapan .... kerana aku mahu pastikan satu perkara:
"Yang aku bawa pulang bukan sekadar aiskrim potong, tetapi kasih yang menjaga."
Doktor sudah berkali pesan, "Kanser hati ini menjadikan paras gulanya tidak stabil. Pantau ye. "
Tapi doktor juga izinkan satu ruang kecil untuk bahagia -
"Asalkan tak terlalu tinggi, biarlah dia nikmati apa jua makanan yang dia mahu."
Jadi, aku pilih yang terbaik.
Kacang merah - kegemaran ayah.
Sekotak penuh doa, aku simpan dalam peti sejuk di rumah, seperti simpanan rasa yang tak terucap.
Dan dari situ, bermulalah kisah kecil antara kami... yang kini hanya tinggal kenangan dalam aiskrim beku terakhir itu.
Ada hari ayah hanya mampu menjamah sedikit, dan selebihnya cair sendiri dalam cawan. Tapi aku tahu.. walau hanya sedikit, itu sudah cukup untuk buat matanya bersinar.
Malam terakhir ayah makan aiskrim potong kacang merah - seminggu sebelum dia pergi....
Malam sudah lewat. Rumah sunyi. Ayah terbaring di katil, lemah, hampir tiada suara. Aku dekati dan tanya, "Ayah nak makan apa-apa?"
Dan perlahan dia jawab ..
"Aiskrim kacang merah."
Aku ke dapur.
Ambil sebatang didalam kotak. Buka bungkusan dengan tangan yang bergetar. Aku suap perlahan.
Dan malam itu... ayah habiskan satu batang aiskrim potong kacang merah.
Bila habis, aku senyum dan bergurau kecil, "Wah, habis ayah makan sebatang. Takpelah ayah, makanlah.. jangan risau pasal gula ayah."
Ayah pandang aku... dan senyum.
Senyum yang paling aku rindu hari ini.
Senyum yang seolah-olah berkata,
"Terima kasih ...kerana tak pernah berkira."
Lepas itu, dia tidur. Lena...
Dan aku, duduk di tepi katil.. diam.... memandangnya seolah-olah mahu simpan wajah yang tenang itu dalam hati ini selamanya.
Pagi esoknya, bacaan gula ayah naik sedikit.
Tapi aku tak kisah.
Kerana aku tahu - malam tadi, dia kenyang. Bukan pada perut semata ... tapi pada jiwa yang merasa.
Dan bagi aku, tiada apa yang lebih bermakna daripada melihat sinar mata ayah yang gembira ... walau untuk terakhir kali.
Dan hari ini....
Aku makan aiskrim potong kacang merah.
Yang terakhir.
Dengan tangan yang sama, tapi rasa yang berbeza.
Yang mencair bukan aiskrim ini... tapi hati aku sendiri.
Kalau rindu itu boleh dibekukan, aku mahu simpan batang aiskrim ini selamanya.
Tapi kini, ia hanya tinggal dalam satu ruang - di hati seorang anak perempuan yang tidak sempat mengucapkan:
"Terima kasih kerana hidup kuat selama ini. Terima kasih kerana jadi pelindung saya selama ini. Terima kasih kerana jadi dahan untuk kami berpaut selama ini. Terima kasih...."
No comments:
Post a Comment