Sunday, May 25, 2025

Kisah 38 Hari: Klinik Lama, Kenangan Abadi

 24 May 2025


Pagi ini aku menemani ibu ke Klinik Lim & Tan. Langkah kami perlahan, menapaki jejak yang sering dilalui bersama ayah.  

Klinik ini bukan sekadar tempat berubat— ia adalah arkib rahsia waktu, tempat cinta dan setia dirawat dalam diam.

Ruangnya masih sama, kerusinya masih sunyi, cuma yang tiada…  ialah seorang lelaki yang pernah temani ibu setiap kali.


Berpuluh tahun lamanya, mereka datang berdua —  dengan tangan saling berpimpinan, dengan langkah perlahan,  dan kasih yang tak pernah disebut-sebut.


43 tahun lalu, ibu datang ke sini buat kali pertama, ketika mengandungkan aku dalam rahimnya.  

Dr. Tan ketika itu masih muda, barangkali baru tamat pengajian. 

Kini, aku pula hadir, menggenggam tangan ibu yang sama, duduk di bilik rawatan yang sama, dengan doktor yang sama—walaupun masa telah berubah wajah kami semua.


Hari ini, hanya aku dan ibu.  Tapi bayang ayah masih ada —  duduk di sebelah kerusi yang kosong,  berbisik pada angin yang perlahan,  "Jaga ibu baik-baik, ya."


Aku genggam jemari ibu yang sudah tua, dan hati aku terasa sesak —  kerana terlalu lama aku tidak di sini.  Tidak temani. Tidak peduli.  Sedang mereka… tak pernah lupa.

Maafkan aku, ayah....

 

Klinik ini terasa begitu sempit hari ini, kerana rindu yang tak muat untuk dibungkam,  dan kenangan yang mengalir perlahan antara ubat, bau antiseptik, dan  senyum doktor yang sudah sama-sama menua.


Klinik ini seperti sebuah keluarga lama. Pelanggan-pelanggannya datang sejak muda, dan kembali sebagai warga emas. Ada yang kini datang bersama anak dan cucu— satu generasi meninggalkan tempat untuk generasi seterusnya.  


Staff mengenali nama, ingat cerita, dan menyambut dengan senyuman yang bukan dibuat-buat, tetapi lahir dari kenangan bersama.


Hari ini, bila kami melangkah masuk, para staff menyambut kami dengan wajah penuh empati. Mereka tahu—ayah baru pergi sebulan lebih.  

Nada suara mereka perlahan, seakan-akan tahu luka yang masih belum sembuh.


Di bilik rawatan, doktor yang sama masih ada - Dr Tan... masih menyambut ibu dengan senyum yang serupa, masih menyebut nama ayah dengan penuh hormat, kerana di sinilah,  ayah dan ibu berulang setiap bulan —  tanpa gagal, bersama-sama.


Soalan pertama Dr. Tan kepada ibu:  

“Apa khabar, Puan Faridah sekarang?”  

Ibu menangis. Bukan kerana sakit di tubuh, tapi kerana sakit di hati yang kehilangan.  Aku hanya duduk diam, menyimpan air mata dalam dada.



Aku sempat melihat rekod lama yang terbentang diatas meja doctor —  

25 Mac 2025, lawatan terakhir ibu dan ayah ke sini. Tarikh itu bersamaan 15 hari selepas ayah disahkan mengidap kanser hati. 

Dr. Tan meluahkan betapa ayah seorang lelaki yang kuat, tidak pernah sekali pun mengadu sakit, meskipun hari itu tubuhnya sudah lemah.  

Dan ketika bercerita tentang ayah, aku nampak air mata bergenang di mata doctor tua ini. Katanya, kehilangan itu terlalu cepat. Kami hilang ayah, tapi doctor hilang sahabat. Persahabatan lebih 40 tahun. Mereka menua bersama-sama tetapi akhirnya sahabat itu pergi dahulu ke negeri Abadi.  

Ibu kata, doctor suka bercerita dengan ayah tentang kebun duriannya. Kedua-dua lelaki ini minat berkebun dan minat pada durian. Minat yang menyatukan 2 insan yang berlainan bangsa dan agama, tetapi kekal bersahabat ke hujung nyawa.  


Dr. Tan pesan:  

“Jaga ibu selalu. Pantau kesihatan. Kehilangan akan terasa dalam. Sedih itu manusiawi, tapi jangan abaikan diri sendiri.”


Aku angguk, diam.  Dalam hati aku berbisik—  Janji yang sama diulang seperti beberapa jam terakhir sebelum nafas ayah terhenti. 

"Ayah pergilah dengan tenang. Saya janji, saya akan jaga ibu, jaga adik-adik sehabis baik." .... 



Hari ini, aku temani ibu. Bukan sekadar duduk menunggu — tapi membawa sebahagian dari hatimu  yang dulu selalu mendahului segalanya.  

Dan dalam tiap nafas ibu yang aku dengar,  ada cinta yang kau tinggalkan yang masih hidup.. dalam aku... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...