Sunday, November 3, 2019

Book Review: Karma

Tajuk : Karma

Penulis : Muharikah

Menariknya Naskah Ini:

Nampaknya Muharikah sudah masuk satu team dengan Teme. Sebabnya, Patung Beruang tidak boleh tahan melihat naskah Muharikah ini elok je di rak buku, tanpa cepat-cepat membacanya.

Beruntunglah kedua-dua penulis ini sebab naskah mereka boleh potong que, hehe.. 

Jujurnya, ada banyak lagi buku-buku di rak itu yang masih belum Patung Beruang baca. Malah, ada beberapa naskah yang plastik dari kedai buku pun Patung Beruang tidak tanggalkan lagi. Tempoh menunggu mereka pula ada yang sudah mencecah lebih dari setahun tau. Ish ish ish...

Naskah Karma ini Patung Beruang habiskan semalam, dalam masa 2 jam 30 minit sahaja. Satu jam ketika dalam perjalanan pergi, satu jam pula ketika perjalanan pulang dan baki 30 minit adalah ketika Patung Beruang sedang berehat di rumah melepaskan penat. 

Karma adalah sekuel kepada Stigma. Book reviewnya Patung Beruang pernah kongsikan disini. Karma membawa pembaca kepada kehidupan selepas perkahwinan Dr Iman dan Dr Faris. Perkahwinan yang memeranjatkan rakan dan keluarga terdekat kerana mereka tidak pernah menghidu sebarang hubungan istimewa antara kedua-dua doctor ini.

Perkahwinan mereka tidak berjalan lancar dan Iman merasakan ada rahsia terpendam yang disimpan oleh Faris. Dalam masa yang sama, Faris rasa sangat bersalah kerana tidak mampu memberi kegembiraan dan kebahagiaan  kepada Iman. Dirinya dihantui dosa-dosa silamnya dan tekanan semakin memuncak tatkala melihat kebaikan Iman terhadapnya.

Prestasi kerja Faris di Medical Ward jatuh merundum dan dia sering dimarah Iman walaupun di hadapan Medical Officer ("MO") yang lain. Barangkali Iman terlupa walaupun dia adalah ketua kepada Faris ketika di hospital, namun Faris tetap suaminya dan dia kena menjaga aib suaminya ini walau dimana sahaja mereka berada. 

Menyedari kekhilafannya, Iman memohon untuk bertukar jabatan dan jabatan yang dipilih adalah Onkologi. Disini, Iman banyak berdepan dengan pesakit-pesakit kanser yang kebanyakkan dari mereka sedang menunggu detik-detik untuk pergi buat selamanya. 

Di Onkologi, Iman berusaha untuk memberi rawatan sehabis baik buat pesakitnya. Rawatan untuk kesakitan fizikal serta rohani dan jiwa mereka. Bagi Iman, seboleh-bolehnya dia ingin pesakit pulang berjumpa dengan Penciptanya sebagai muslim yang terbaik. 

Pertemuannya dengan Puan Laily, pekerja Uncle Lee benar-benar menyentuh hati Iman. Rupa paras dan penampilan Puan Laily seperti seorang Muslim. Tetapi kad pengenalannya tercatat agama lain. Menyedari yang Puan Laily adalah warga dari negara seberang, Iman terfikir kebarangkalian yang kad pengenalan tersebut adalah palsu dan maklumat yang tercatat diatasnya adalah tidak sahih. 

Uncle Lee sebagai majikan juga tidak mampu memberi kepastian berkenaan status agama Puan Laily. Kesukaran untuk menghubungi ahli keluarga Puan Laily merumitkan lagi keadaan. Dapatkah Iman merungkai misteri agama yang dianuti Puan Laily sebelum pesakit ini pergi untuk selamanya? 

Bekerja di berlainan wad dengan Faris menyebabkan hubungan pasangan suami isteri ini kurang tegang. Namun, Iman mula menyedari perubahan fizikal Faris dari hari ke sehari. Faris semakin kurang makan dan berat badannya mula menyusut. Selain itu, Faris juga sering sakit tanpa sebab. Sering lesu, mudah penat dan pucat. Suatu kedaan yang pelik kerana Faris adalah seorang yang mementingkan kesihatan diri semenjak bujang lagi. 

Ketika pulang dari kerja, Iman terlihat Faris pengsan di dalam rumah. Lantas menghantar suaminya ke Hospital An-Nur. Di sana, Faris dimasukkan ke ICU dan dirawat oleh Dr Johan, pensyarahnya ketika Iman sedang belajar untuk menjadi seorang doktor pakar. 

Di Hospital An-Nur, sedikit demi sedikit rahsia yang dipendam Faris, akhirnya terbongkar dan diketahui oleh Iman. Segala permasalahan dari mula mereka berkahwin mula terungkai sedikit demi sedikit. Iman terduduk dengan kenyataan yang berada di depan matanya. 

Iman mula tertanya-tanya, 
Mengapa Tuhan menguji dia sebegini hebat?
Adakah ini karma atas segala dosa-dosa silamnya yang tidak pernah hendak dia ceritakan kepada Faris? 
Apa sebenarnya yang ingin Tuhan tunjukkan padanya?

Aleph atau Alifah mula hadir kembali didalam hidup Iman. Seorang doctor pakar jantung yang hebat namun masih belum bersuami. 
Adakah kehadiran Aleph akan membantu Iman keluar dari kekusutannya? 
Atau hanya akan menambahkan lagi satu jalan untuk Allah murka padanya?



Naskah Muharikah kali ini pattern nya sama seperti naskah Stigma. Mengambil latar belakang doctor dan hospital sebagai jalan cerita utama, penulis masih dapat menyelitkan mesej yang kehidupan dan kematian kita ini adalah bukti kita ini adalah hamba. Hamba kepada Sang Pencipta. 

Oleh itu, sebagai hamba kita tidak dapat lari dari meletakkan sepenuh pergantungan kita kepada-Nya. Kita merancang dan berusaha sehabis baik, namun hasilnya Allah yang tentukan. Adakah hasilnya akan cemerlang atau tersasar, Allah saja yang tahu. Yang pasti, apapun hasilnya, baik atau buruk, pasti ada hikmah disebaliknya. 

Spoiler alert, ending naskah Karma ini logik dan sangat berpijak di bumi nyata tetapi sedih. 

Apa ending nya? Patung Beruang tak nak kongsikan disini...

Cuma selepas habis membaca naskah ini, Patung Beruang terfikir, memang benarlah kita manusia ini sangat fragile. Setiap hari kita diuji, kanan dan kiri, atas dan bawah, depan dan belakang.

Tetapi adakah kita mengambil iktibar diatas ujian tersebut. Atau kita tidak pernah menyangka ia adalah ujian. Maka, kita hanya melihatnya dengan pandangan mata dan hati yang kosong... Wallahualam...

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...