Tajuk : Being A Quran Tag Girl
Penulis : Ayesha Syahira
Menariknya Naskah Ini :
Setiap kali Patung Beruang pergi Popular ataupun Borders, pasti ternampak yang buku ini diletakkan di bahagian top 10 buku terlaris jualannya untuk outlet tersebut.
Malah, buku ini juga diwar-warkan di FB seorang penulis terkenal yang pernah Patung Beruang hadir ke kelas beliau beberapa kali. Kata beliau, buku ini dibeli dan diteliti kerana beliau ingin tahu apa citarasa penulis muda masakini. Yelah, selama ini beliau terkenal dengan naskah-naskah yang berat dan hebat demi tujuan meningkatkan kualiti pembaca dan masyarakat.
Akhirnya Patung Beruang pun terjebak juga untuk memiliki dan meneliti naskah ini. Apa hebatnya naskah ini sehingga menjadi buruan ramai pembaca di luar sana.
Being A Quran Tag Girl adalah pengalaman sebenar penulis dalam memperbaiki hubungan beliau dengan Al Quran. Beliau bercerita betapa beliau penat mencari makna sebenar kehidupan di dunia ini, matlamat utama kehidupan beliau termasuklah cinta sejati. Puas mencari namun jiwa tetap masih rasa kosong.
Akhirnya Allah bukakan pintu hati beliau untuk mula mengenal Al Quran. Perkenalan yang akhirnya mengubah diri beliau, luaran dan dalaman. Jiwa mula terasa hidup sedikit demi sedikit. Kehidupan mula terasa ada hala tuju dan matlamat yang jelas.
Untuk berubah kearah lebih baik, memang sukar. Tetapi lebih sukar lagi bila kita berusaha untuk istiqamah dengan perubahan tersebut. Itulah intipati yang ada dalam naskah ini.
Proses membina hubungan dengan Al Quran tidak terjalin dalam masa sehari dua. Tetapi proses ini memakan masa berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun.
Patung Beruang tertarik dengan kesungguhan penulis dalam membina hubungan yang rapat dengan Al-Quran. Dalam kesibukan kehidupan seharian, beliau masih mampu meluangkan masa untuk mengikuti kelas mengaji, menghadiri usrah, belajar tajwid, mencatat nota-nota berkaitan ilmu yang dipelajari dan mengulangkaji bacaan Al-Quran. Masya Allah..betapa banyaknya masa yang beliau peruntukkan untuk mendekati dan mendalami Al-Quran. Semoga Allah memberkati masa beliau, Aamiin...
Naskah ini juga memberi tips dan panduan kepada pembaca bagaimana membina rutin dengan Al-Quran. Antaranya adalah kita kena wujudkan rasa suka untuk membaca Al-Quran. Mungkin dengan cara kita membeli naskah Al-Quran yang disertakan dengan terjemahannya. Atau membeli naskah Al-Quran yang cantik dan menarik pandangan dan perhatian kita untuk sentiasa membacanya.
Selain itu, cuba paksa diri untuk cari masa bagi membaca Al-Quran. Sebaik-baiknya, kita boleh bangun 1 jam awal sebelum waktu Subuh. Jadi, sejam itu boleh digunakan untuk solat sunat, membaca Al-Quran, membaca doa-doa harian dan juga melakukan senaman ringan.
Jika terlalu sibuk sekalipun, cuba gunakan 2 minutes rules. Dimana kita amik masa 2 minit untuk membaca Al-Quran. Tidak kisahlah selama 2 minit tu hanya mampu membaca 1 atau 2 ayat, atau separuh muka surat sahaja. Yang penting, kita konsisten membacanya setiap hari. Percayalah, 2 minit yang kita ambil untuk membaca Al-Quran itu, pasti Allah akan gantikan dengan berkali-kali ganda masa yang lain, dengan cara yang kita sendiri pun tidak sedar. Jadi, jangan berkira untuk spend masa dengan Al-Quran.
Honestly, bila membaca tips yang pertama diatas, Patung Beruang terasa kebenarannya. Sejak kecil, Patung Beruang selalu membaca Al-Quran yang penuh dengan tulisan arab semata-mata.
Sehinggalah pada satu hari, Patung Beruang melihat naskah Al-Quran yang Kak Ija beli di Indonesia. Naskah itu bersaiz A4, berkulit warna biru. Kulit luarannya sangat cantik. Tetapi yang membuat Patung Beruang tertarik untuk memilikinya adalah Al-Quran tersebut mempunyai terjemahannya. Setiap kali Patung Beruang habis membaca satu mukasurat, Patung Beruang akan baca terjemahan untuk ayat-ayat tersebut. Terasa excited sangat sebab kita lebih memahami apa maksud ayat-ayat tersebut.
Beberapa tahun lepas, ketika farewell offfice, Patung Beruang dihadiahkan dengan senaskah Al-Quran berserta terjemahannya. Al-Quran bersaiz A5, seperti size buku. Cantik dan siap ada kotak lagi.
Masih terngiang-ngiang di telinga ini, Nurul, ex office mate Patung Beruang beritahu yang mereka sedar Patung Beruang ini suka membaca. Mulanya mereka hendak hadiahkan buku tetapi mereka takut Patung Beruang sudah ada buku tersebut. Akhirnya mereka decide untuk hadiahkan Al-Quran kerana mereka yakin, Patung Beruang pasti akan baca Al-Quran tersebut.
Alhamdulillah...
Honestly, Al-Quran yang dihadiahkan oleh mereka itu kini menjadi Al-Quran kesayangan Patung Beruang. Size yang sama seperti size buku memudahkan Patung Beruang untuk isi dalam beg dan bawa kemana saja.
Selain itu, terjemahannya didalam Bahasa Melayu, jadi terasa lebih dekat dengan jiwa ini. Dan Patung Beruang mula berasa seronok membaca Al-Quran kerana terasa seperti Allah sedang berkata-kata atau sedang bercerita kepada kita.
Benarlah, Al-Quran itu memang mukjizat. Baca berkali-kali pun pasti tidak jemu. Terima kasih kepada rakan-rakan IAD yang sudi memberi hadiah yang sangat bermakna ini.
Meneliti naskah ini menyedarkan Patung Beruang betapa banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Eventually, matlamat hidup ini adalah kehidupan yang kekal Disana. Banyak lagi perlu dipelajari dan diamalkan dengan istiqamah. Apapun, kita buat amal ibadat semampu kita dan yang penting, konsisten. Yakinlah, yang Allah melihat usaha kita... Insya Allah..
No comments:
Post a Comment