Wednesday, February 28, 2018

February Ini Sangat Menyakitkan

Assalamualaikum wbt 

Hari ini 28hb February 2018, hari terakhir didalam bulan ke-2 ini. February kali ini amat berbeza dari tahun-tahun yang sebelumnya. 

Jika dahulu, February adalah bulan yang istimewa kerana jatuhnya tarikh lahir Ibu. Kini.. masih lagi istimewa namun perasaan itu kian bercampur-aduk. 

2hb February, Jumaat, genaplah setahun arwah Nenek pergi, mengikut perkiraan kalendar Masihi. Seperti tidak percaya, betapa cepat masa berlalu. 

Pada 17hb February, diri ini datang melawat Nenek di kediaman barunya. Semenjak hari sebelumnya lagi, hati ini meronta-ronta untuk kembali kesana. Maka, Sabtu itu, selepas Subuh, perjalanan dimulakan dari rumah.  Jarak 150km itu terasa dekat sahaja apabila hati ini terlalu kuat kemahuannya.  Sampai saja di Melaka, itulah destinasi pertama yang dituju. 

Suasana di tanah perkuburan pada pagi itu sangat mendamaikan. Tiada kenderaan lain yang berada disana melainkan Mr. 3 dan tiada insan lain melainkan diri ini.  

Telinga ini hanya menangkap bunyi burung-burung berkicau dan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. 

Rasa rindu ini terlalu berat dan sangat menyesakkan. Tatkala tiba, salam dihulur buat  Nenek dan penghuni lain disana. Setelah itu, kalimah suci dibacakan sebagai hadiah. Harapnya, walau tidak kelihatan dimata namun ia tetap sampai kepada penerimanya. 

Agak lama berada disana. Meluah rasa, bermonolog didalam hati sambil menahan tangis. Betapa kehilangan ini terlalu berat dan masih belum pulih walaupun sudah 12 purnama berlalu. 

Nenek pergi bersama dengan 1001 cerita dan ingatan. Serta turut membawa separuh dari jiwa ini. 

Terasa berat hati ingin berpisah. Di mata ini, masih lagi terbayang malam terakhir kami bersua. Tatkala Tahun Baru Cina 2017. Mata ini masih lagi terbayang segala yang berlaku pada malam itu, dari mula kaki ini melangkah masuk ke rumah sehinggalah diri ini beransur pulang. Mata ini masih lagi terbayang ketika Mr. 3 beransur keluar dari halaman dan Nenek masih setia melambai kami dari beranda rumah. Ya Allah.. betapa seksanya diri terikat dengan ingatan dan kenangan ini. 

Terdapat kajian perubatan yang menyatakan tatkala seseorang manusia itu meninggal, otaknya masih berfungsi selama beberapa puluh saat dan dikala itu, ia memainkan segala kenangan / memori yang ada seperti sebuah tayangan gambar. Dan jika ia benar, semoga salah satu memori yang dimainkan tatkala diri ini menemui Pencipta-Nya adalah peristiwa pada malam tersebut. Kenangan terakhir bersama Nenek....  




Pulang ke rumah, Ibu dan Ayah kurang sihat. Risau melihat keadaan mereka tetapi diri ini tidak mampu untuk berada dihadapan mata sepanjang masa. Aduhai.. Salah satu impian yang masih belum tertunai sehingga kini. 

Terasa yang diri ini terlalu kerdil kerana banyak berhutang masa, perhatian dan kasih sayang dengan mereka. Adakalanya terdetik keinginan untuk diri ini lari tinggalkan segala tuntutan dan tanggungjawab yang digalas walau sebentar cuma, agar dapat meluangkan lebih masa dengan mereka. Betapa diri ini sering tersepit antara kasih sayang dan material, antara kemahuan dan amanah. 

Adakah aturan hidup ini memang tidak pernah adil? 
Atau, 
Mungkin kita yang tidak mampu melihat disebaliknya? 



Dan kini, diri sendiri tewas dengan pertahanan tubuh yang makin rapuh. Sudah beberapa hari berlawan namun masih belum ada tanda-tanda untuk sembuh. Hilang nikmat kesihatan, hilang nikmat kehidupan. 

Namun, disaat diri ini hampir tersungkur, disaat diri ini terduduk kepenatan, Allah hadirkan seorang insan sebagai teguran agar diri ini tidak mudah mengalah.

Tatkala sedang menunggu hidangan di medan selera, diri ini didatangi oleh seorang saudara sebangsa dan seagama namun kurang upaya. Berusaha menjual dagangan dari meja ke meja, cup cake hasil tangan dari ahli keluarga tercinta. 

Diluar nampak simple sahaja cup cake itu. 5 biji bersaiz sederhana, berharga RM10. Namun, tatkala menjamahnya, terasa cup cake itu lembut, basah dan tidak terlalu manis. Terasa elok sahaja di tekak ini. Buat mengalas perut disaat kelaparan. Dan.. kesunyian..  

Si penjual nampak gigih bergerak dari satu meja ke satu meja menawarkan hasil dagangannya. Walau sedar diri punya kekurangan, namun tetap bangun dan berusaha untuk hidup tanpa meminta-minta. 

Dan tiba-tiba sahaja diri ini terasa menyesal pula membeli sebungkus saja. Rasanya sedap jadi boleh saja untuk membeli lagi demi berkongsi dengan rakan sepejabat pada keesokkan hari. Sayang sekali, ketika diri ini tercari-cari si penjual, beliau sudah berlalu pergi tanpa jejak. 



Begitulah hidup ini. 1001 cerita pahit manis suka dan duka. Namun, mungkin dukanya lebih banyak dari sukanya. Permasalahan hidup, tugasan, keluarga dan syarikat kerap bersilih ganti. Kadang-kala terasa sangat lelah, sehingga terdetik rasa cemburu pada Nenek. Betapa Nenek bertuah kerana akhirnya dapat berehat di kediaman yang tenang dan mendamaikan, dikelilingi oleh jiran tetangga yang ramainya sudah lama tidak bersua. 

Namun, apabila difikirkan semula, pasti ada sebab mengapa Allah belum menghantar jemputan.  

Mungkin diri ini masih terlalu banyak dosa sehingga Malaikat juga tidak sudi untuk memandang. 
Mungkin juga diri ini masih banyak amanah yang belum terlunas, sehingga perginya hanya akan sahaja menyakiti mereka yang ditinggalkan. 

Maka, teruskan sahaja hidup ini. Walau hanya separuh jiwa yang tinggal, teruskan sahaja melangkah. Kerana walau kita hanya sekecil semut, pasti ada kesannya kepada alam....

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...