Sunday, March 25, 2018

Book Review: Tuhan Lebih Saintifik

Tajuk : Tuhan Lebih Saintifik


Penulis : Dr. Farhan Hadi


Menariknya Naskah Ini:

Naskah Tuhan Lebih Saintifik membawa kita kepada suasana di sebuah universiti perubatan tempatan. Watak utamanya adalah Dr Donald, seorang pensyarah perubatan yang mengamalkan dan memperjuangkan fahaman tidak percayakan Tuhan, Ustaz Hanafi, seorang fanatik agama yang terlalu taksub dengan aliran tradisional serta Dr. Ahmad Zabidi, seorang pensyarah sambilan yang baru sahaja menyertai warga kerja universiti tersebut. 


Dr. Donald lahir didalam keluarga yang menganut agama Kristian. Semakin dewasa, Dr Donald mula untuk memahami dengan lebih mendalam berkenaan ajaran Kristian terutama sekali konsep ketuhanan. Namun, pencariannya menemui kebuntuan apabila sering ditegur agar tidak mempertikaikan sebarang konsep didalam ajaran agama yang dianutinya. 

Tatkala menuntut di luar negara, Dr Donald berkenalan dengan Profesor Clinton Richards Dawkins, seorang ateis yang tegar. Perkenalan itu akhirnya membuatkan Dr Donald bertindak untuk keluar dari Kristian dan mendalami pegangan ateis. Padanya, ilmu Sains yang ada pada hari ini mampu menjawab 1001 persoalan kehidupan, penciptaan alam serta makhluknya. Oleh itu, manusia tidak memerlukan Tuhan kerana Sains mengandungi segala jawapan terhadap persoalan yang diutarakan. 

Kini, apabila bergelar pensyarah, Dr Donald bebas untuk menyebarkan fahamannya kepada para pelajar dengan harapan mereka meninggalkan agama masing-masing dan hanya bergantung kepada Sains semata-mata. 

Dr. Ahmad Zabidi adalah seorang pakar bedah dan pensyarah sambilan di sebuah universiti perubatan. Kedatangan beliau ke universiti tersebut sangat dinantikan oleh para pelajar perubatan Muslim disana kerana merasakan yang jiwa mereka semakin kosong akibat sering dimomokkan oleh Ustaz Hanafi yang ilmu perubatan itu adalah ilmu Yahudi serta dalam masa yang sama, mereka tidak mampu untuk menangkis segala hujah dari Dr Donald mengenai konsep ketuhanan dan agama pegangan mereka.

Kehadiran Dr Ahmad Zabidi tidak disukai oleh Ustaz Hanafi kerana beranggapan popularitinya akan merundum disebabkan oleh kehebatan Dr Ahmad Zabidi dari sudut bidang agama serta perubatan. Namun, berbeza dengan Dr Donald. Baginya, kehadiran Dr Ahmad Zabidi adalah peluang besar untuknya bagi menarik lebih ramai pengikut untuk menjadi ateis sepertinya. Dr Donald menyasarkan jika beliau berjaya menarik Dr Ahmad Zabidi menjadi pengikutnya, ini bermakna laluannya untuk mempengaruhi pelajar beragama Islam adalah lebih cerah.



Secara keseluruhannya Patung Beruang sangat menyukai naskah ini, kerana..
Pertama, ia membawa pembaca kepada konsep perdebatan antara golongan ateis dan golongan yang beragama. Oleh kerana 2 watak utamanya iaitu Dr Donald dan Dr Ahmad Zabidi adalah golongan cendiakawan, maka, hujah-hujah yang mereka gunakan ketika berdebat bukanlah hujah kosong. Ia adalah fakta yang terhasil dari kajian terdahulu. Sangat menarik untuk kita pembaca meneliti setiap satu hujah yang dikemukakan.

Kedua, latar belakang yang ditonjolkan didalam naskah ini adalah mencerminkan keadaan sebenar diluar sana. Kita mempunyai golongan professional namun hatinya masih kukuh pada tali Ilahi, golongan professional yang menolak agama dengan alasan ia hanya menyusahkan kehidupan mereka, golongan agama yang menolak kemajuan dan pembaharuan dengan alasan ia bercirikan atau berkiblatkan Yahudi, golongan agama yang menjalankan tugas mereka dengan Tabayyun dan tidak mudah menghukum sesuka hati, golongan muda yang tersepit di tengah, duniawi ingin dicari namun akhirat juga ingin digapai. Zahirnya berisi namun jiwanya kosong dan tandus, menanti siraman ilmu dari para pendidik.

Ketiga, momentum naskah ini sangat pantas. Tiada adegan yang diwujudkan dengan saja-saja tanpa hala tuju. Oleh kerana itu, tangan ini ralit menyelak dari satu mukasurat ke mukasurat yang lain tanpa menyedari yang ceritanya hampir ke penghujung. Rasanya Patung Beruang mengambil masa kurang dari 24 jam untuk menghabiskan naskah ini. Alhamdulillah..


Patung Beruang tidak pasti adakah ini karya pertama Dr Farhan Hadi, namun yang pasti karya ini sangat menarik untuk dibaca. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...