Sunday, March 25, 2018

Book Review: Anak Mat Lela Gila

Tajuk : Anak Mat Lela Gila

Penulis : Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)

Menariknya Naskah Ini : 

Anak Mat Lela Gila adalah karya klasik buah tangan Pak Sako, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1960. 

Naskah ini membariskan 2 watak utama iaitu Mat Lela Gila dan anak angkatnya, Bulat. Mat Lela digelar Mat Lela Gila adalah seorang pemuda kampung yang tinggal bersendirian. Penduduk kampung mengatakan yang beliau adalah seorang yang tidak waras. 

Satu tabiat Mat Lela adalah beliau suka membersihkan kawasan masjid walaupun tidak pernah sekalipun beliau menjengah ke dalamnya. 

Pada suatu hari, tatkala pulang dari kebun, beliau melihat terdapat seorang bayi didalam pondoknya. Bayi itu ditinggalkan bersama dengan sekeping surat dan beberapa barang lain. Mat Lela hairan memikirkan siapakah insan yang telah meninggalkan bayi ini didalam pondoknya? Malah, dia juga terfikir adalah insan tersebut yakin yang bayi itu akan berada didalam jagaan yang baik sedangkan seluruh orang kampung mengatakan yang Mat Lela ini adalah tidak waras. 

Mat Lela menamakan bayi tersebut sebagai Bulat. Dan bermulalah episod kehidupan Mat Lela bersama Bulat. Menariknya tentang Bulat adalah dia tidak pernah menangis. Jika tidak, pasti orang kampung akan merasa pelik bagaimana terdapat seorang bayi yang dijaga oleh lelaki yang kurang waras. 

Setelah beberapa lama menjaga Bulat, pada suatu hari ketika Mat Lela pulang ke pondoknya, beliau mendapati Bulat telah hilang. Mat Lela menjadi tidak keruan, mencarinya keserata kampung. Namun, tetap tidak ketemu. Kesedihan akibat kehilangan Bulat begitu berat buat Mat Lela dan ditanggung sehingga ke akhir hayatnya.

Sedangkan Bulat pula sebenarnya telah diambil oleh pasangan Johari dan isterinya, Permai. Pasangan suami isteri ini tidak mempunyai anak. Puaslah mereka berubat dan berdoa namun tetap tidak berhasil. Sehinggalah pada suatu hari, mereka berjalan-jalan dan terdengar suara bayi. Suara itu membawa mereka kepada pondok Mat Lela. Tatkala melihatkan Bulat, mereka berasa jatuh hati dan membuat keputusan untuk membawa Bulat pulang ke rumah. 

Bulat dijaga dengan sepenuh kasih sayang dan perhatian oleh pasangan Johari dan Permai. Malah, Bulat juga membawa tuah kepada mereka dimana hasil tanaman mereka meningkat berkali ganda dan memberikan keuntungan yang lumayan kepada pasangan ini. 

Tidak berapa lama selepas itu, Permai mengandung dan melahirkan seorang bayi perempuan. Johari rasa curiga mengenai status anak tersebut dan menyimpan syak wasangka yang Permai curang dibelakangnya. 

Maka, Johari mengambil keputusan untuk pergi merantau dengan membawa Bulat bersamanya. Alasan yang diberikan kepada Permai adalah beliau ingin belajar ilmu agama. Perjalanan dua beranak ini akhirnya sampailah di sebuah madrasah di Kelantan.

Johari dan  Bulat menetap di madrasah tersebut dan akhirnya Johari terpikat pada seorang janda muda, yang berasal dari Negeri Sembilan. Johari berkahwin untuk kali ke-2 dan meninggalkan Bulat seorang diri kerana isteri barunya tidak sudi berkongsi kehidupan bersama anak tiri. Tinggallah Bulat seorang diri meneruskan kehidupannya. 



Pada Patung Beruang, walaupun naskah ini ditulis hampir 60 tahun dahulu, namun ia tetap sarat dengan sindiran dan kritikan sosial kepada masyarakat Melayu. 

Tentang kegagalan pasangan untuk mempunyai zuriat dan beban kesalahan diletakkan sepenuhnya kepada si isteri. Si suami berkali-kali meminta untuk berkahwin lagi dengan alasan isterinya tidak mampu mengandung. Sedangkan hakikatnya, kegagalan untuk mengandung adalah kerana belum masanya yang sesuai untuk Allah memberikan zuriat kepada pasangan itu. 

Begitu juga dengan sikap segelintir masyarakat Islam yang waras akal fikirannya, mengunjungi rumah Allah untuk beribadah namun tidak pandai untuk menjaga kebersihan dan adab didalam ruang yang suci itu. Tetapi lelaki yang dianggap tidak waras oleh orang sekeliling pula yang mengambil tanggungjawab tersebut. 

Juga disentuh tentang sikap orang Melayu yang gemar menggunakan agama sebagai alasan untuk menutup kecurangan atau kekhilafan diri mereka. Menunggang agama demi kepentingan diri sendiri, sehingga mengkhianati amanah yang digalas. 

Kesimpulannya, naskah ini sangat menarik untuk diteliti kerana sikap dan perilaku yang ditonjolkan didalam naskah ini masih lagi dapat kita temui dizaman sekarang. Adakah Melayu memang tidak akan pernah sedar dan mahu berubah? Tepuk dada tanyalah diri...

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...