Saturday, December 16, 2017

Book review: A Prisoner of Birth

Tajuk : A Prisoner of Birth

Penulis : Jeffrey Archer 

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah karya Archer yang baru sahaja Patung Beruang sudahkan pembacaannya beberapa hari lepas. 

Naskah kali ini agak tebal dan benar-benar menguji kesabaran Patung Beruang kerana ada banyak plot twist dan kejutan sehingga Patung Beruang terfikir dimana sebenarnya klimaks untuk naskah ini. 

A Prisoner of Birth mengisahkan Danny Cartwright yang baru sahaja bertunang dengan Beth Wilson. Pada satu malam, pasangan ini keluar minum bersama-sama Bernie Wilson, sahabat baik Danny dari kecil serta abang kepada Beth Wilson. Namun, tanpa disangka, perjumpaan malam itu berakhir dengan kekecohan dan menyebabkan Bernie mati ditikam dibelakang pub tersebut. 

Kekecohan yang berlaku pada malam tersebut turut melibatkan Spencer Craig (seorang peguam), Gerald Payne (seorang land management consultant) dan Lawrence Davenport (seorang pelakon). 

Oleh kerana Craig, Payne dan Davenport sepakat mengatakan yang Danny adalah lelaki yang bertanggungjawab menikam Bernie Wilson, maka hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 22 tahun kepada Danny. 

Beth Wilson dan Alex Redmayne (peguam bela Danny) merasakan yang Danny tidak bersalah namun mereka ketiadaan bukti kukuh untuk menyokong kes ini. 

Di penjara, Danny ditempatkan didalam sel bersama dengan Sir Nicholas Moncrieff dan Big Al. Kedua-dua mereka adalah bekas tentera dan dipenjarakan kerana kesilapan yang berlaku dilapangan perang di luar negara. 

Maka, bermulalah episod perubahan diri Danny kearah yang lebih baik. Danny mula belajar dan menduduki peperiksaan A Level atas tunjuk ajar Moncrieff. Malah, Moncrieff dan Big Al juga merasakan Danny adalah mangsa yang tersepit dan dipenjarakan akibat dari perbuatan orang lain. Oleh itu, Danny dan rakan-rakan mula mengumpul bukti bagi membuktikan kejadian sebenar yang berlaku pada malam tersebut. 

Dari segi luaran, fizikal dan rupa paras Danny dan Moncrieff tidak jauh berbeza. Malah, mereka berdua sering disalah anggap sebagai adik - beradik. Moncrieff adalah seorang aristokrat yang bijak dan sangat teliti. Beliau menulis diari bagi mencatat setiap peristiwa yang berlaku secara terperinci. Dalam masa yang sama, Moncrieff turut terjebak dalam konflik perebutan harta keluarga antara beliau dan pakciknya, Sir Hugo. 

Disebabkan fizikal yang seakan-akan sama, pada suatu petang, Moncrieff telah dibunuh ketika sedang berada di bilik mandi, sedangkan tujuan utama si pembunuh adalah untuk pembunuh Danny. Dengan bantuan Big Al, Danny menukar identiti dirinya kepada Moncrieff yang bakal dibebaskan dari penjara lagi 2 minggu. 

Selepas dibebaskan, Danny berjumpa dengan Munro, peguam yang menguruskan harta keluarga Moncrieff sejak turun-temurun. Munro yang menyedari niat jahat Sir Hugo untuk merampas harta Moncrieff mula bertindak sebagai penasihat kepada Danny bagi melindungi anak muda ini. Dalam masa yang sama, Danny mempergiatkan usahanya bagi membersihkan namanya atas tuduhan membunuh Bernie dan membawa pembunuh sebenar kemuka pengadilan. 



Naskah A Prisoner of Birth ini boleh dikatakan antara naskah Archer yang terbaik yang pernah Patung Beruang baca. Ada banyak kejutan didalam naskah ini antaranya adalah, sebelum Moncrieff dibunuh, beliau telah mewasiatkan sebahagian hartanya kepada Danny. Ini adalah kerana Moncrieff tidak mempunyai saudara mara lain serta merasakan Danny adalah manusia yang teraniaya akibat komplot keji Craig dan rakan-rakannya. Maka, Moncrieff merasakan yang harta yang diwasiatkan itu dapat digunakan oleh Danny untuk kehidupannya selepas dibebaskan serta dalam masa yang sama mengupah peguam untuk membuka semula kes tersebut bagi membersihkan namanya dari pertuduhan yang dikenakan. 

Danny digambarkan sebagai seorang lelaki yang baik dan sangat setia pada persabatan. Dan kebaikannya itu dibalas apabila Danny dikelilingi oleh individu-individu yang baik hati dan sentiasa berusaha untuk melindunginya sehabis baik seperti Moncrieff, Big Al, Alex dan Munro. Malah, ketika penyamaran Danny sebagai Moncrieff dibongkarkan oleh Craig, mahkamah tidak boleh mengenakan hukuman kepada Danny atas tuduhan menyalahgunakan harta Moncrieff kerana hakikatnya Moncrieff memang ada meninggalkan sebahagian hartanya kepada Danny serta Danny juga berjaya meningkatkan nilai kekayaan Moncrieff berkali ganda melalui kemahirannya didalam pelaburan. 

Kejutan yang paling menarik bagi Patung Berung adalah apabila Craig tanpa sengaja telah terbuka tembelangnya mengenai siapa pembunuh sebenar Bernie Wilson ketika perbicaraan mahkamah dijalankan atas tuduhan penyamaran Danny sebagai Moncrieff. Dan ia adalah hanya kerana parut dikaki Danny. 

Mungkin.. inilah klimaks untuk A Prisoner of Birth... cukup untuk membuatkan Patung Beruang menutup naskah ini sambil tersenyum, hehehe.. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...