Beberapa hari lepas Patung Beruang berkunjung ke spa dengan niat untuk memanjakan diri. Disana, Patung Beruang dilayan dan dirawat oleh seorang gadis Melayu yang cantik dan sangat sopan.
Ketika sesi rawatan, kami berbual-bual. Rupa-rupanya si gadis baru sahaja terima keputusan SPM yang telah diumumkan baru-baru ini. Ketika ditanya apa perancangan selepas ini, beliau menjawab yang keputusan beliau tidaklah terlalu hebat. Hanya 2A sahaja. Oleh itu, beliau merancang untuk ambil kursus kemahiran kerana merasakan kursus tersebut bersesuaian dengan keputusan SPM beliau.
Alhamdulillah kerana beliau masih ada keinginan untuk sambung belajar.
Patung Beruang teringat dengan seorang staff spa yang Patung Beruang kenal ketika berkunjung ke Le Grandeur pada tahun lepas. Beliau sangat hebat dan teliti ketika menjalankan tugasnya. Setelah ditanya, tahulah Patung Beruang yang beliau adalah lulusan Institut Kemahiran Mara (IKM), dalam jurusan kecantikan. Dan yang hebatnya, cita-cita beliau adalah untuk membuka pusat kecantikan dan spa sendiri. Peluang berkerja di Le Grandeur dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempelajari selok-belok perniagaan, pengurusan spa, berdepan dengan customers disamping mengumpul modal.
Patung Beruang merasa bangga apabila mendengar cita-cita dan impian beliau. Seorang gadis Melayu, dari keluarga pertengahan, tetapi mempunyai cita-cita yang hebat. Moga Allah permudahkan segala urusan beliau untuk menggapai impiannya, Aamin... :)
Itu adalah 2 kisah insan-insan yang hebat walaupun diuji dengan keputusan SPM yang agak kurang cemerlang, tetapi masih mempunyai matlamat yang jelas untuk meneruskan hidup mereka.
Pada zaman ini, tiada lagi istilah, "Jika SPM teruk, gelaplah masa depan."
Hakikatnya, kita lah yang menentukan sama ada masa depan kita gelap atau terang. Ada insan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan otak yang bijak dan kemampuan untuk belajar setinggi yang boleh. Mengumpul sijil dari ijazah, master sehinggalah PhD dan professional. Alhamdullilah, kerana mereka berjaya menuntut ilmu setinggi yang boleh. Dan diharap, ilmu tersebut dapat mereka gunakan untuk kebaikan bersama juga sebagai saham akhirat.
Tetapi, ada juga yang diuji dengan keputusan yang kurang memberangsangkan dari sudut akademik. Maka, mereka beralih arah kepada bidang kemahiran pula. Dan mereka berusaha keras mengasah kemahiran mereka demi memastikan mereka boleh mencari rezeki dimasa hadapan. Dan akhirnya, mereka ini muncul sebagai usahawan yang bermula secara kecil-kecilan tetapi jika terus digilap, bakal menjadi ahli perniagaan yang hebat.
Lihatlah disekeliling kita, berapa ramai usahawan-usahawan yang hebat, yang pendapatan sebulan mereka mencecah 5 atau 6 angka. Mempunyai asset berjuta dan perancangan masa depan yang hebat. Tetapi apabila ditanya taraf pendidikan mereka, hanyalah biasa-biasa sahaja.
Dan ramai juga, mereka-mereka yang dulu bergelar Best Student, top scorer, performer ketika masih menuntut dahulu, but at the end, now hanya menjadi executive biasa. Bekerja makan gaji dengan gaji yang tidak seberapa.
Oleh itu jangan sekali-kali berputus asa jika keputusan akademik kita tidak sehebat orang lain. Dan jika kita pula yang dapat perfect score, janganlah kita pandang rendah pada mereka yang hanya dapat markah cukup-cukup untuk lulus sahaja.
Kita tidak tahu rezeki kita dan mereka pada masa hadapan. Mungkin hari ini, kita lah Best Student, dan dia hanyalah pelajar biasa yang tidak siapa pun peduli keputusan peperiksaannya. Tetapi, mana tahu 15 tahun akan datang, kita hanyalah seorang pekerja di sebuah syarikat swasta dimana dia menjadi pemiliknya a.k.a CEO... Tahniah, kerana pemikiran anda yang diluar KOTAK itu lah yang menyebabkan anda menjadi CEO :)