Assalamualaikum w.b.t. dan selamat pagi.. (jam di rumah Patung Beruang ini baru pukul 10.20 a.m., jadi masih pagi ye, heheh).. Hari Isnin menjelma kembali. Terima kasih ya Allah kerana masih memberi peluang kepada hamba-Mu ini untuk menghirup udara segar di bumi bertuah ini, masih lagi berpeluang mendengar kicauan burung-burung yang tinggal di pepohon di hadapan rumah ini dan masih lagi berpeluang untuk bersyukur dengan segala kurniaan dan nikmat dari-Mu. Terima kasih ya Allah..
Sejak beberapa hari ini Patung Beruang sering terlihat iklan filem Suamiku Encik Perfect 10! yang dimainkan di Astro. Filem ini adalah adaptasi dari novel karya Syamnuriezmil. So, pagi tadi, tetiba je Patung Beruang terasa nak google sinopsis filem ini.
Suamiku Encik Perfect 10! mengisahkan Aleeya Azmeen dan Zarief Danial yang berlakon sebagai pasangan suami isteri untuk berdepan dengan ibu Aleeya iaitu Puan Yazmeen. Aleeya sebenarnya mempunyai kekasih (sekarang telah menjadi bekas kekasih) yang bernama Syed Muzaffar. Aleeya dan Zarief terpaksa berlakon kerana Aleeya telah mengandung anak luar nikah. Lakonan pasangan ini membibitkan rasa cinta namun mereka sedar bahawa terdapat beberapa halangan kepada cinta mereka, seperti Syed Muzaffar yang datang untuk menagih kembali kasih Aleeya, juga Azura Hanim iaitu tunang kepada Zarief Danial.
Patung Beruang teringat beberapa hari lepas, Patung Beruang ada menonton drama di Astro Ria, bertajuk Suamiku Encik Sotong.
Dan ada adegan didalam drama ini dimana Erica Soffea yang telah berkahwin dengan Farish, tetapi telah jatuh cinta dengan Izhan. Dan perhubungan antara Erica (yang masih berstatus isteri orang) dengan Izhan telah menyebabkan Erica mengandung anak luar nikah. Sebagai suami, Farish tetap berusaha untuk menjaga Erica dan kandungannya sebaik mungkin dan juga mengaku kepada ahli keluarga yang lain, yang anak didalam kandungan Erica adalah anaknya sendiri.
Patung Beruang tidak faham, mengapa dewasa ini banyak sekali dipaparkan baik didalam novel, atau dikaca tv, atau dilayar perak, tentang perhubungan antara lelaki dan wanita, yang akhirnya menyebabkan terjadinya anak luar nikah. Dan selepas itu, pasti ada lelaki budiman (atau konon-kononnya Prince Charming) yang bertindak sebagai penyelamat dan sanggup berkorban, susah-senang dengan si wanita dan kandungannya.
Dari sudut positif, kita boleh nampak yang wanita dan lelaki tersebut sanggup buat apa sahaja asalkan bayi yang dikandung dapat dilahirkan dengan sempurna. Dalam kata lain, mereka tidak akan menggugurkan kandungan tersebut walaupun bayi itu adalah anak luar nikah. Yes, terima kasih atas sikap dan keprihatinan tersebut. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan kepada penonton bahawa anak itu tidak bersalah dan tidak wajar dicabut nyawanya. Ia patut diberi peluang untuk hidup dan bahagia seperti bayi-bayi yang lain.
Tetapi, dari sudut negatifnya, ia menunjukkan adakah sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat sekarang, lelaki dan wanita berhubungan sehingga tahap berzina dan mengandung anak luar nikah? Itukah yang mahu ditunjukkan?
Harus diingat, karya seni dan sastera seringkali menjadi cermin kepada masyarakat. Dalam kata lain, apa yang dipaparkan didalam karya seni dan sastera, itulah juga realiti yang berlaku didalam masyarakat. Cuba lihat karya novel-novel yang hebat seperti Salina dan Ranjau Sepanjang Zaman. Salina membawa pembaca kepada kehidupan masyarakat Melayu di Singapura selepas Perang Dunia ke-2. Salina yang lahir dari keluarga kaya dan baik-baik, tetapi perang telah merampas segalanya sehingga menyebabkan beliau menjadi pelacur. Hidup di kawasan setinggan, dimana anak-anak terbiar, kemiskinan yang meruncing, kawasan persekitaran yang kotor, lelaki yang tidak boleh diharap dan kaum wanita yang sanggup buat apa saja demi meneruskan kelangsungan hidup. Novel Ranjau Sepanjang Jalan yang diterbitkan pada tahun 1966 pula membawa pembaca kepada keperitan hidup keluarga petani sawah di Sik, Kedah. Keluarga Lahuma dan Jeha, dan 7 orang anak gadis mereka, terpaksa berhempas pulas mengerjakan petak-petak sawah demi mencari sesuap nasi. Malang menimpa apabila kaki Lahuma tertusuk onak nibung sehingga meragut nyawanya. Dan kedhaifan keluarga ini makin bertambah setelah kematian Lahuma.
Jika kita menonton filem Anak Halal, kita akan melihat tentang kehidupan golongan bawahan Melayu ditengah bandar Kuala Lumpur. Meniaga di Pasar Chow Kit, anak-anak terbiar, gelandangan, ada yang menjadi manusia yang berguna dengan berusaha bersungguh-sungguh seperti watak Putra dan Johanna, tetapi ada juga yang terlibat dengan gejala samseng dan pengedaran dadah. Kehidupan anak orang kaya yang dikelilingi kemewahan tetapi kurang kasih sayang dan perhatian seperti Amiera sehingga menjerumuskan beliau ke kancah dadah.
Itulah realiti yang sedang berlaku atau pernah berlaku pada masyarakat kita. Sama seperti apa yang digambarkan didalam novel-novel dan filem. Dan apabila Patung Beruang melihat trend novel, drama dan filem sekarang yang banyak mengisahkan perzinaan, Patung Beruang jadi sedih. Bukankah kita ini negara Islam? Majoriti penduduk Malaysia adalah beragama Islam. Jadi, mengapa zina itu dipaparkan sebagai kebiasaan dalam masyarakat sekarang? Sedarkah kita, secara tidak langsung, kita menghantar signal kepada generasi muda, remaja, budak-budak yang masih belum matang juga belia yang sepatutnya sudah matang, yang perbuatan zina itu TIDAK SALAH!!!. Ia adalah norma masyarakat. Jangan risau, selepas berzina, jika mengandung, cari saja pak sanggup yang sanggup untuk mempertahankan dan bertanggungjawab kepada si wanita itu. Masya-Allah.. cara hidup dan pemikiran apakah ini?
Patung Beruang pernah terbaca catatan di wall Facebook (FB) rakan-rakan Patung Beruang berkenaan FB page KHK.
Page KHK ini rasanya diwujudkan bertujuan untuk menegur kelakuan anak-anak remaja yang melampaui batas, tidak senonoh, tidak elok dan tidak sepatutnya, tetapi dengan cara yang pada pandangan Patung Beruang agak radikal.
Nak tahu betapa teruknya akhlak dan moral generasi muda kita sekarang? Rajin-rajinkan lah diri untuk masuk ke page KHK ini. Dan janganlah terperanjat dengan apa yang dipaparkan. Patung Beruang yang dah berumur 32 tahun ini pun rasa malu dan sedih bila membacanya. Ya Allah, generasi muda ini seolah-olah seperti hidup tanpa hala tuju dan hanya berkiblatkan nafsu semata-mata, tidak ada perasaan malu pada orang lain, pada diri sendiri, pada 2 malaikat - kiri dan kanan- yang sentiasa menulis segala amalan perbuatan dan perkataan kita 24 jam, 7 hari seminggu dan yang paling penting, malu pada Pencipta kita iaitu Allah S.W.T.
Walaupun page KHK ini ada yang kata seperti membuka aib para remaja ini, tetapi mungkin ini satu cara untuk mereka menegur generasi muda sekarang yang buta mata dan hati, telinganya pula pekak, dan sel-sel otaknya juga tidak mampu berhubung seperti yang sepatutnya. Ya, adakalanya, bila teguran cara lembut dan berhemah tidak berkesan, janganlah marah jika kekasaran dan ke-radikalan pula yang digunakan. Patung Beruang percaya, admin page ini juga sudah bosan, muak dan jelik dengan perangai generasi muda ini.
Terjemahan dari firman Allah S.W.T yang bermaksud "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang amat jahat." (Surah al-Israk: 32). Jika dilihat dari terjemahan ini, Allah S.W.T telah berpesan yang menghampiri zina itu juga TIDAK BOLEH. Tidak perlu menunggu untuk sehingga berzina. Apa yang dimaksudkan dengan menghampiri zina? Segala-galanya yang boleh menjerumuskan kepada aktiviti perzinaan sama ada secara direct atau indirect. Perlakuan bebas, percampuran lelaki dan wanita tanpa batasan, percintaan atau bercouple yang dibuai nafsu, berdua-duaan bersama kekasih, pengaruh dadah, minuman keras, DVD lucah, membuka aurat, hiburan yang melalaikan atas nama seni dan sastera, dan banyak lagi.
Dan lihatlah disekeliling kita, percampuran bebas itu adalah biasa. Tak perlu ke kelab malam, di shopping complex pun kita boleh nampak. Di konsert, di pesta-pesta, di karnival, atau paling tidak pun di tengah kotaraya pada malam minggu. Dan Patung Beruang tertanya-tanya, adakah ibu bapa mereka tidak pernah terfikir jika bilik tidur anak-anak kosong, maka dimanakah anak-anak mereka pada pukul 10, 11, 12 malam atau 1, 2 dan 3 pagi itu? Tidur dimanakah mereka? Balikkah mereka nanti? Dengan siapa mereka menghabiskan masa diluar sana? Apa aktiviti mereka?
Budaya bercouple? Hm.. budak sekolah rendah pun dah pandai bercouple sekarang ni. Siap panggil pasangan "Papa" dan "Mama" lagi walaupun umur baru 1 digit, dan duit belanja sekolah tiap-tiap hari pun ibu bapa yang bagi. Yang sekolah menengah pula, bila bercouple, adalah alasan paling kuat untuk tidur dirumah pasangan masing-masing. Yelah, itukan cara terbaik untuk mengenal bakal keluarga mertua (kalaulah jadi mertua)...
Minuman keras? Pergi je ke 7e yang dibuka 24 jam, tak de siapa pun akan halang kalau nak beli minuman keras. Yelah, makan dan minum itu kan hak peribadi setiap manusia. Kata orang, kubur masing-masing. Ye memang betul, kubur masing-masing. Tetapi, janganlah kita mengganggu ketenteraman jiran-jiran di kubur berdekatan dengan jeritan dan tangisan kita akibat seksaan dari Allah S.W.T. Kesian jiran-jiran kita nak berehat.
DVD lucah pula tak perlu susah-susah. Banyak je terjadi, mereka sendiri yang jadi pelakon DVD lucah tersebut. Maklumlah, nak tinggalkan kenangan manis lah katakan. At least, bila dah putus cinta nanti, bila rindu, boleh tengok balik lakonan pasangan masing-masing.
Aurat pula? Hm.. pakai tudung dan baju labuh belum tentu menutup aurat. Yang banyaknya adalah MEMBALUT aurat. Ada juga aurat yang dah ditutup, tetapi, masih lagi bangga bersentuhan dengan bukan muhrim, sama ada terang-terangan ataupun sembunyi-sembunyi. Yelah, sampai tahap boleh berpeluk dengan artis k-pop di atas pentas sambil disaksikan ramai penonton. Maklumlah peluang seumur hidup jumpa artis pujaan. Itu yang sampai terlupa diri ini sekejap.
Bila melihat generasi muda sekarang, Patung Beruang tak sanggup bayangkan apa yang bakal berlaku pada masyarakat kita lagi 10 atau 20 tahun akan datang. Adakah akan bertambah baik atau makin rosak? Adakah makin Islam cara hidupnya ataupun makin jahiliah? Bila Allah S.W.T. sudah murka, semua orang pun akan merasakannya. Musibah datang ke rumah pelaku maksiat, turut juga menimpa ke rumah tuan Imam. Tiada pengecualian. Ya Allah, ampunkan lah kami yang jahil ini. Kami ini buta mata dan hati. Bantu lah dan pimpin lah kami, ya Allah.
Bagi Patung Beruang, semua insan atas muka bumi ini boleh menjalankan kerja-kerja dakwah kepada sesama manusia. Ya, ada berbagai cara dakwah yang boleh dilakukan. Bagi penulis-penulis novel, cerpen, penulis skrip drama atau filem, kalian boleh lahirkan karya-karya yang masih berpijak dibumi nyata tetapi dalam masa yang sama menunjukkan nilai-nilai murni dan yang paling penting, berlandaskan Islam. Ingatlah, apa yang kita tulis pada hari ini, sama ada baik atau buruk, pasti akan dihitung di Padang Masyar kelak. Jangan sampai karya kita yang mendapat sambutan baik dari khalayak tetapi mendapat cemuhan Allah, para Rasul dan para malaikat-Nya di kemudian hari. Nauzubillah minzalik..