Tuesday, January 27, 2015

Book Review: What Will Survive

Tajuk: What Will Survive

Penulis: Mark Gartside

Sinopsis Novel Ini:
Adakah percintaan remaja akan berkekalan ke akhir hayat? Dan, jika kita berjaya berpasangan dan melayari kehidupan dengan kekasih pertama kita, adakah kita akan bahagia untuk selama-lamanya? Kejamkah takdir jika kekasih pertama kita dibawa pergi tanpa isyarat?

What Will Survive (WWS) mengisahkan tentang suka duka seorang bapa tunggal, Graham Melton yang membesarkan anak lelakinya Michael, setelah kematian Charlotte. 

Mengambil latar belakang suasana di Britain pada tahun 1985, Graham yang dilahirkan didalam sebuah keluarga kelas pertengahan telah jatuh cinta pandang pertama dengan Charlotte Marshall, seorang gadis dari golongan elit. Percintaan sepasang remaja yang berlainan latar belakang pendidikan dan keluarga ini mendapat restu dari kedua-dua buah keluarga. 

Tamat persekolahan, Charlotte menyambung pelajaran di universiti dan Graham pula bekerja menguruskan akaun di sebuah syarikat swasta. Atas dedikasi yang ditunjukkan terhadap kerja-kerja dipejabat, majikan Graham telah membiayai kos professional perakaunan bagi memastikan Graham menjadi seorang Professional Accountant. Setelah tamat pengajian, kehidupan Graham dan Charlotte menjadi semakin sempurna dan mewah. Dan ia diserikan lagi dengan kelahiran Michael. 

Namun, pada ulang tahun Michael yang pertama, tragedi menimpa mereka dimana Charlotte tiba-tiba mengalami pendarahan otak dan meninggal dunia. Kematian Charlotte sukar diterima oleh Graham. Graham bertukar menjadi seorang pemabuk yang kronik. Perubahan Graham menyebabkan Michael dijaga oleh pasangan Melton dan pasangan Marshall secara bergilir-gilir. 

Kini, pada tahun 2009, Michael akhirnya membesar menjadi seorang remaja yang zahirnya nampak sempurna, lahir dari keluarga kaya, mempunyai ayah yang bekerjaya profesional, tetapi kurang sentuhan dan kasih sayang seorang ibu. 

Michael jatuh cinta dengan Carly, seorang gadis yang tinggal di kawasan golongan rendah. Percintaan Michael dan Carly tidak seindah yang disangka kerana Michael telah diserang oleh bekas teman lelaki Carly sehingga menyebabkan Michael koma. Adakah Michael akan sedar dari koma atau akan mengikut jejak langkah Charlotte, ibu yang sangat dirinduinya selama ini? 

Dalam masa yang sama, Pippa, seorang doktor berumur 30-an pula jatuh cinta dengan Graham. Adakah Graham akan menerima Pippa untuk mengisi kekosongan hatinya? Atau mungkinkah cinta Graham selama-lamanya hanya untuk Charlotte seorang? 

Catatan Patung Beruang:
Bila Patung Beruang membaca sinopsis yang ada di belakang novel ini, Patung Beruang membayangkan novel Man and Boy, karya Tony Parsons. Jadi, persepsi pertama Patung Beruang, WWS mestilah sehebat karya Parsons. 

Sehelai demi sehelai, dan bab demi bab, Patung Beruang mula merasakan yang gaya penulisan Gartside berbeza sama sekali dengan Parsons. Jika membaca karya-karya Parsons, biasanya dalam bab yang pertama atau kedua, Patung Beruang dah mula rasa teruja. Tetapi utk WWS ini, perasaan excited itu agak lambat sikit datangnya.

Ya, setiap penulis ada gaya penulisan masing-masing. Justeru, adalah tiada adil sebenarnya untuk Patung Beruang membandingkan Gartside dengan Parsons. Ibarat seperti membandingkan suami yang baru dinikahi beberapa hari lepas dengan kekasih hati yang dikenali sejak zaman universiti. Seorang yang memang totally orang baru, dan seorang lagi pula orang yang memang ada good chemistry. 

Apapun, WWS tetap novel yang menarik. Gartside berjaya membuatkan Patung Beruang merasa keperitan emosi yang dialami oleh Graham terutama selepas kematian Charlotte, detik-detik kematian ayahnya, Mr. Melton dan melihat bagaimana Mrs. Melton berjuang untuk melawan penyakit nyanyuknya. Juga bagaimana berbezanya remaja di zamannya dan zaman Michael sehingga seringkali protective actions nya disalah anggap oleh Michael. 

Bab didalam WWS ini disusun berselang seli iaitu, 1 bab untuk cerita sekarang (i.e. tahun 2009 & 2010 dimana Michael telah menjadi remaja) dan 1 bab lagi untuk flashback (i.e. tahun 1985 dan seterusnya memperihalkan perhubungan Graham dan Charlotte). Jujurnya, Patung Beruang merasakan yang cara susunan sebegini boleh mematikan mood pembaca. Bayangkanlah, sedang Patung Beruang seronok menghayati kerenah Graham dan Charlotte ketika mereka muda dan bersekolah, tiba-tiba ia tamat dan digantikan pula dengan kisah Michael yang sibuk hendak bercinta dan tak sabar menjadi orang dewasa. Hm.. sabar je lah.. 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...