Tajuk: This Is How
Penulis: M.J. Hyland
Ceritanya Patung Beruang:
Novel ini sebenarnya Patung Beruang beli ketika berkunjung ke Big Bad Wolf tahun 2012. Dan selepas itu, novel ini hanya elok terletak di rak buku. Sehinggalah Patung Beruang ke Big Bad Wolf, 2 minggu lepas (2014), baru Patung Beruang tersedar, alamak, banyak lagi buku yang dah dibeli tapi masih belum dibaca, huhu.
Jadi, buku-buku yang dibeli ketika Big Bad Wolf tahun ini, terpaksalah Patung Beruang simpan dulu. Masa untuk membaca buku-buku yang lama, heheh.
Sinopsis:
Watak utama novel ini adalah Patrick Oxtoby. Seorang lelaki muda, dalam lingkungan umur 20-an. Bekas penuntut university, tetapi hanya bertahan selama setahun saja. Kemudian, beliau bekerja sebagai seorang mekanik. Pekerjaan yang diidam-idamkannya.
Pada suatu hari, Sarah (tunang Patrick) datang berjumpa dan menyatakan hasrat untuk memutuskan pertunangan mereka. Patrick tergamam dan menerima sahaja keputusan Sarah. Mulai saat itu, Patrick merasakan hidupnya kosong. Ditambah dengan keluarga yang kurang memahami, Patrick nekad untuk merantau ke tempat lain demi mengubati lukanya.
Patrick berpindah ke Vauxhall Street, dimana beliau menyewa di rumah Bridget, seorang janda muda. Perpindahan ke Vauxhall Street, membuka lembaran baru buat Patrick. Patrick berkenalan dengan 2 lelaki penyewa yang lain iaitu Shaun Findall and Ian Welkin. Patrick juga mendapat pekerjaan di sebuah bengkel kereta yang berdekatan. Hari-hari awal Patrick di Vauxhall Street telah membawa beliau ke sebuah cafe' dimana Patrick berkenalan dan seterusnya jatuh cinta dengan Georgia, iaitu anak kepada pemilik cafe' tersebut.
Patrick digambarkan sebagai seorang lelaki yang pendiam, penuh misteri dan adakalanya tidak matang. Sikap Findall and Welkin yang suka bergurau secara lelaki dewasa membuatkan Patrick rasa tidak selesa.
Segala-galanya nampak seperti biasa sehinggalah pada suatu hari Welkin telah menceroboh ke bilik Patrick ketika beliau tiada di rumah. Welkin masuk ke bilik tersebut dengan bantuan Bridget dan tujuannya adalah untuk mengambil jam loceng Patrick yang tidak henti-henti berbunyi hingga mengganggu tidurnya. Insiden ini telah menimbulkan kemarahan Patrick terhadap Welkin dan Bridget.
Beberapa hari selepas itu, Welkin berhasrat untuk berjumpa Bridget dan Patrick bagi menyatakan kekesalannya kerana menceroboh bilik Patrick dan mengambil jam loceng tersebut. Namun, selepas perjumpaan itu, pada malam itu, Patrick telah masuk ke bilik Welkin dan mengetuk kepalanya dengan salah satu dari peralatan mekanik beliau. Dan tanpa diduga, ia mengakibatkan kematian Welkin.
Patrick telah ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan membunuh. Kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan itu benar-benar membuatkan Patrick menyesal, ditambah dengan sikap keluarga Patrick yang terus membuangnya.
Kehidupan didalam penjara membuatkan Patrick lebih mengenal manusia disekelilingnya. Berhadapan dengan kaki buli, pegawai penjara yang baik, teman sel yang nekad untuk membunuh diri dan keadaan kesihatan Patrick yang tidak bagus, membuatkan beliau merasakan inilah pengakhiran kepada jalan kehidupannya.
Menariknya Buku Ini:
Patung Beruang hanya mengambil masa lebih kurang 3 - 4 hari saja untuk menghabiskan novel ini. Gaya bahasa yang simple tetapi menarik, watak yang sangat terhad dan gambaran kehidupan sebenar seorang anak muda yang terbuang. Novel ini juga menonjolkan sikap sebenar manusia diluar sana seperti sikap pilih kasih ibu bapa dimana hanya anak yang cemerlang didalam pelajaran saja, yang akan dilayan dengan istimewa.
Orang selalu berkata, hubungan kekeluargaan itu tidak akan putus, ibarat air yang dicincang. Tetapi, hakikatnya tidak begitu. Berapa ramai anak-anak yang dibuang oleh ibu bapa dan juga ahli keluarga yang lain hanya kerana mereka melakukan SATU kesilapan. Sedangkan anak-anak itu telah atau sedang dihukum oleh kesilapan mereka.
No comments:
Post a Comment