Tuesday, December 23, 2014

Book Review: Lorong

Tajuk : Lorong

Penulis: Othman Hj. Zainudin

Cerita Patung Beruang:
Novel terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) ini Patung Beruang beli ketika menghadiri Pesta Buku di KLCC pada bulan November lepas. 

Niat asal ke Booth DBP adalah untuk mencari majalah Dewan Masyarakat. Dan, sambil tu, Patung Beruang membelek beberapa buah novel yang ada di rak pameran. Seorang petugas DBP telah mencadangkan novel ini kepada Patung Beruang dengan alasan ini adalah novel terbaru dari cetakan DBP. Baru beberapa hari dicetak. Ibarat baru keluar dari oven dan masih panas lagi, heheh..


Sinopsis Novel Ini: 
Novel Lorong ini mengisahkan Zakir atau nama sebenarnya Zakaria, seorang pemuda berumur 20-an yang membesar di lorong belakang di sebuah kota metropolitan. Zakir tiada pengenalan diri, seorang yang buta huruf kerana tidak pernah bersekolah dan boleh diibaratkan sebatang kara. Zakir sering mengatakan beliau telah berada lorong tersebut semenjak berumur 5 atau 6 tahun lagi. Hidupnya hanya dengan bersiar-siar, berkawan bersama anak-anak lorong yang terbiar, berebut makanan dengan anjing-anjing liar demi meneruskan kelangsungan hidup, dan berteduh didalam rumah/pondok yang hanya diperbuat dari kadbod. 

Pertemuan dengan Fatimah, seorang peniaga gerai yang menjual makanan telah membibitkan rasa sayang dalam diri Zakir. Fatimah yang sering dipanggil Mak oleh para pelanggannya, melayan Zakir seperti anak sendiri. Zakir mula berubah menjadi pemuda yang lebih bertanggungjawab apabila mula bekerja tetap di gerai Fatimah. Dalam masa yang sama, Zakir mula belajar agama dari Pak Syeikh di sebuah masjid tinggal berdekatan lorong tersebut. 

Perubahan Zakir dari seorang pemuda gelandangan kepada seorang pemuda yang mula pandai berfikir, petah berkata-kata dengan penampilan yang bersih dan terjaga, mula membibitkan rasa cinta kepada Fatimah. Fatimah mula merasakan jiwanya hidup kembali setelah berpuluh tahun ditinggalkan dan diceraikan oleh Idrus yang pergi ke Mesir dengan alasan untuk belajar agama. Malah, kehadiran Musa, seorang lelaki kasanova hanya memburukkan keadaan. Fatimah dipaksa oleh Musa untuk menyerahkan satu-satunya anaknya bersama Idrus kepada sepasang suami isteri dengan alasan anak itu hanya akan membuatkan Fatimah tidak mampu untuk memberi perhatian 100% kepada Musa. 

Dalam masa yang sama, Idrus, seorang lelaki yang lahir dari keluarga yang alim dan bakal menjadi pendakwah, berasa terlalu kecewa apabila mengetahui pemergiannya ke Mesir hanyalah sebagai alasan untuk keluarganya memisahkan Idrus dan Fatimah. Lantas, Idrus nekad untuk menjadi anak wayang dan meninggalkan pengajian agamanya. 

Kepulangan Idrus ke Malaysia adalah untuk mencari Fatimah dan anaknya. Namun, pencarian itu terlalu sukar kerana Fatimah hilang tanpa khabar berita, apatah lagi Fatimah juga turut dibuang oleh keluarganya sendiri. Usia Idrus yang kian meningkat ibarat bom jangka yang hanya akan menunggu untuk meletup.

Dapatkan Idrus bersatu semula dengan Fatimah dan anaknya? Sedangkan masa sangat mencemburui mereka. Bagaimana pula dengan percintaan Fatimah dan Zakir? Adakah akan berakhir ke alam perkahwinan ataupun sebaliknya?

Menariknya Novel Ini:
Othman Hj. Zainudin adalah seorang penulis, pelukis, pengarah dan penerbit yang tersohor. Banyak karya-karya beliau yang mendapat perhatian masyarakat. Novel Lorong ini boleh diibaratkan sebagai suatu sindiran dan gambaran kepada apa yang berlaku pada masyarkat sekarang. 

Watak Fatimah, digambarkan sebagai seorang gadis dari keluarga ternama, tetapi telah dibuang keluarga hanya kerana ingin berkahwin dengan Idrus, seorang lelaki biasa. Setelah itu, Fatimah sanggup pula berpisah dengan satu-satunya anak mereka, demi mengikut Musa, seorang lelaki yang dirasakan boleh membahagiakannya dan menjadi tempat untuk dia berpaut. 

Watak ayah Idrus pula digambarkan sebagai seorang alim, sangat dihormati di kampung dek kerana ilmu agama yang dimilikinya. Beliau mengamalkan poligami, dengan alasan untuk mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi beliau gagal untuk memberi kebahagiaan kepada semua isteri-isterinya. Malah, beliau juga gagal untuk mendidik anak sendiri sehingga berlakunya sumbang mahram didalam keluarga tersebut. Dalam masa yang sama, beliau juga sangat membenci Fatimah, menantunya sendiri sehingga tergamak menyeksa Fatimah yang sedang mengandung. 

Watak Zakir sebagai anak gelandangan sangat dekat dengan apa yang berlaku pada sekarang. Pergilah ke belakang-belakang lorong di KL itu. Lihatlah gelagat anak-anak suci dan tidak berdosa itu tetapi menjadi mangsa kerakusan ibu bapa mereka. Percayalah bahawa di zaman serba moden ini (seperti yang sering dilaung-laungkan oleh kita), masih ada lagi anak-anak yang tercicir dan kabur masa depannya. Bagaimana keadaan mereka lagi 10, 20 atau 30 tahun akan datang? Adakah mereka akan jadi manusia yang berguna ataupun bakal mengikut jejak langkah ibu bapa mereka? Fikir-fikirkan lah...

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...