Tajuk: Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-Dong
Penulis: Hwang Bo-Reum
Penterjemah: Azzah AR
Menariknya Naskah Ini:
Ini adalah naskah terkini yang baru saja Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada hari Ahad lepas. Secara amnya, Patung Beruang mengambil masa hampir 12 jam untuk menghabiskan naskah ini.
Beberapa bulan lepas, ketika Patung Beruang dan Crime Partner berkunjung ke MPH TRX, Crime Partner tertarik dengan naskah ini yang berbahasa Inggeris dan terus membelinya.
Naskah ini menjadi bualan hangat rakan-rakan bibliophiles dan jika dilihat di carta jualan, ia termasuk dalam kategori laris di peringkat antarabangsa.
Setelah Crime Partner habis membacanya, naskah ini elok terletak di rak buku dan Patung Beruang berazam untuk membacanya satu hari nanti. Namun, tidak lama kemudian Patung Beruang terbaca pengumuman dari Cik Puan Azzah yang beliau telah menterjemahkan karya ini ke Bahasa Melayu. Wah.. bestnya. Patung Beruang nekad untuk memiliki naskah Bahasa Melayu sebagai penambah koleksi.
Akhirnya, awal bulan hari tu, impian Patung Beruang untuk memiliki naskah terjemahan Bahasa Melayu ini tercapai tatkala berkunjung ke MPH DPulze. Alhamdulilah..
Baiklah, cukuplah cerita Patung Beruang.
Sekarang, mari kita selami pula kisah Kedai Buku Hyunam-dong ini dan mengapa ia jadi bualan hangat di pasaran.
Blurb:
Kedai buku kecil itu satu perhentian yang sederhana, tersembunyi di dalam lorong kecil, tersudut di sebuah kejiranan di pinggir kota Seoul. Di sebalik pintunya, Yeongju dengan senyuman yang jarang pudar menguruskan segala-galanya dengan bantuan Minjun, barista yang mahir dalam seni kopi.
Kedai Buku Hyunam-dong bukan sekadar tempat berteduh bagi tubuh, bahkan sebuah destinasi untuk berlabuh bagi jiwa-jiwa yang memiliki luka dan berasa kehilangan sebahagian daripada diri. Namun, membawa harapan dalam skala berbeza.
Disini, mereka bersama-sama menemukan semula kilauan budi, empati dan solidariti yang mendamaikan dalam sebuah persahabatan. Buku-buku yang menghubungkan mereka, menyembuhkan luka. Dan perbualan-perbualan tulus penuh makna, mengingatkan bahawa tidak pernah terlewat untuk menamatkan plot lama dan memulakan kisah baharu dari halaman pertama.
Yeongju, gadis muda yang bekerja di korporat, berkahwin dengan Changin, pekerja teknikal di syarikat yang sama. Kedua-duanya sangat serasi dan gila bekerja. Pasangan ini akhirnya memutuskan untuk berkahwin kerana yakin tiada orang yang lebih baik untuk mereka, kerana mereka saling memahami.
Yeongju dan Changin, sama-sama beriringan memburu kejayaan. Kedua-duanya workholic, lebih sering berjumpa di kantin pejabat berbanding di dapur rumah. Seluruh syarikat tahu betapa berjayanya pasangan ini dalam mengendalikan pelbagai projek syarikat.
Segala-galanya nampak sempurna sehingga pada suatu hari Yeongju mengalami simptom burnout yang sangat teruk. Yeongju bergegas mendapatkan nasihat dan rawatan dari pakar. Namun, keadaan tidak pulih sehingga Yeongju nekad untuk berhenti kerja dan ingin mengembara. Yeongju berusaha memujuk Changin untuk sama-sama bebas sebentar dari dunia korporat.
Sayangnya Changin menolak permintaan Yeongju. Penolakan itu sangat menyakitkan sehingga Yeongju terasa yang tiada guna lagi perkahwinan mereka kerana Changin tidak berusaha untuk menjadi pasangan yang terbaik dalam apa jua situasi Yeongju. Rumahtangga yang aman damai mula retak dan akhirnya pasangan ini bercerai.
Perceraian Yeongju dan Changin bukan saja menghilangkan Changin dalam hidupnya tetapi Yeongju juga dibuang ibu kandungnya sendiri kerana merasakan keputusan dan tindakan Yeongju itu salah.
Yeongju bergelut dengan kesihatan mentalnya tanpa sokongan dari keluarga terdekat.
Sedari kecil Yeongju sangat suka membaca. Baginya, perpustakaan dan kedai buku adalah dunia impiannya. Oleh itu, Yeongju nekad untuk kembali mencari dirinya dengan cara membuka kedai buku indie. Maka, lahir lah Kedai Buku Hyunam-dong, syurga baru Yeongju dalam usahanya untuk kembali bangkit dan melangkah dengan yakin dalam kehidupan baharunya.
Kedai Buku Hyunam-dong bukan sekadar kedai buku biasa. Kedai ini dipenuhi dengan pelbagai buku-buku yang bagus dan bukan semata-mata buku yang laris dipasaran. Ini kerana bagi Yeongju buku-buku terlaris tidak semestinya bagus pengisiannya.
Selain itu, pelanggan juga boleh membeli kopi, hasil tangan barista bernama Minjun, yang sangat berseni dan suka bereksperimen.
Kedai buku ini sangat menenangkan dan para pelanggan akan sentiasa rasa dialu-alukan tatkala melangkah kaki ke dalam. Muzik yang lembut dan mendamaikan, warna dan pencahayaan yang menenangkan, bau biji kopi yang semerbak dan barisan buku-buku yang tersusun kemas seolah-olah menggamit pengunjung untuk menghabiskan masa disini tanpa risau. Jika penat berdiri, ada saja ruang yang diletakkan kerusi dan meja untuk pengunjung duduk dan membaca tanpa gangguan.
Di dunia Kedai Buku Hyunam-dong, penghuninya bukan setakat Yeongju dan Minjun. Terdapat juga Mincheol, remaja lelaki yang tidak minat belajar dan tiada cita-cita tetapi dipaksa datang ke kedai ini oleh ibunya, Heeju untuk belajar mengenai kehidupan. Ternyata Heeju mengambil tindakan yang tepat apabila akhirnya Mincheol menyedari minatnya dan mula berusaha untuk mempunyai impian seperti orang lain.
Heeju, seorang suri rumah dan antara pelanggan awal Kedai Buku Hyunam-dong. Wanita ini saksi betapa kuat dan tabahnya Yeongju untuk bangkit dari luka lamanya dan seterusnya tumbuh berkembang bersama-sama dengan Kedai Buku ini.
Seungwu, seorang pengkritik bahasa dan kemudiannya menjadi penulis, juga tertarik dengan Kedai Buku tersebut ketika pertama kali menjejakkan kakinya. Yeongju meminati hasil tulisan Seungwu dan Seungwu pula meminati keperibadian Yeongju. Keserasian dan minat yang sama menyebabkan perhubungan mereka berkembang dari sekadar penulis dan penjual buku kepada persahabatan yang akrab, membibitkan rasa kasih sayang sesama mereka.
Terdapat juga Jimi, pembekal biji kopi merangkap teman baik Yeongju. Wanita ini luarannya nampak keras namun dia diuji dengan perkahwinan parasit.
Sangsu, lelaki ulat buku dan mula bekerja di Kedai Buku Hyunam-dong tatkala kedai tersebut mula mendapat sambutan hangat disebabkan pelbagai aktiviti berkaitan buku dan publisiti dari media mengenai kedai tersebut dan Yeongju sendiri.
Mengapa Patung Beruang boleh selesaikan naskah ini dalam masa kurang dari 12 jam? Gigihkan? hehehe... Kerana dari muka surat pertama lagi, naskah ini berjaya menambat hati Patung Beruang. Membacanya terasa warm, cozy, seperti kita mengenali kesemua watak yang ada dalam naskah ini.
Setiap watak ada luka dan parut yang tersendiri. Tetapi melihatkan persahabatan dan empati yang ada pada setiap orang, seperti memberi harapan bahawa tidak mengapa jika hari ini sangat teruk untuk kita. Teruskan melangkah kerana hari esok pasti lebih baik. Langkahlah walau sekecil mana pun kerana langkah yang kecil itu adalah petanda kita masih berusaha untuk bergerak ke hadapan.
Naskah ini juga mengandungi petikan dari banyak buku-buku lain, sebagai cara menunjukkan kecintaan Yeongju terhadap buku. Secara tidak langsung, ini juga petanda yang penulis asal naskah ini iaitu Hwang Bo-Reum juga adalah seoang pembaca tegar. Patung Beruang sangat tertarik dengan caranya berkongsi buku-buku yang bagus untuk pembaca sekalian.
Oh ya, ayat-ayat dalam naskah ini juga sedap. Kualiti terjemahan Cik Puan Azzah sangat terserlah sehingga kita tidak terasa yang ini adalah naskah terjemahan.
Antara ayat-ayat yang Patung Beruang suka adalah:
- Sepanjang pengembaraan dalam hidup ini, tidak mengapa jika kita menunjukkan sisi diri yang mudah terluka.
- Sebuah pekan tanpa kedai buku, bukanlah sebuah pekan. Boleh sahaja ia menggelar dirinya pekan. Namun, selagi tiada kedai buku di situ, ia sendiri tahu tiada sesiapa yang akan dapat dibodohkan.
- Apa yang dia perlukan bukanlah ayat motivasi yang berdegar-degar, sebaliknya sesuatu yang membuatkan tubuhnya berasa hidup.
- Air mata takkan berhenti. Namun, jika kita terasa mahu menangis, kita perlu menangis. Menahan air mata secara paksa hanya akan melambatkan penyembuhan luka.
- Keterpencilan memerdekakan kita, sebagaimana kesunyian memberikan hidup kita makna yang mendalam.
- Lama-kelamaan dia semakin memahami cara perempuan itu memperkaya hidup dengan berpindah-randah antara dua dunia, mengapungkan diri di awan pemikiran dan membumikan diri pada realiti.
- Penulisan adalah kerja yang saya mahu cuba lakukan. Jadi, daripada risau sama ada saya berbakat ataupun tidak, saya beritahu diri sendiri supaya mula menulis, buat sahaja. Saya mahu hidup begini sekurang-kurangnya sekali dalam hayat saya.
- Perkara yang menggerakkan hidup ke hadapan ialah keputusan. Terlintas di fikirannya, yang perlu dia lakukan bukanlah berputus asa, tetapi membuat keputusan untuk keluar dari jalan yang dilalui selama ini.
- Minju bertekad untuk menjadi seperti Seymour, tidak menyesali keputusan sendiri. Namun, hakikatnya yang dia perlukan bukanlah tekad tetapi keberanian. Keberanian supaya tidak goyah berhadapan dengan kekecewaan orang terhadap dirinya. Keberanian untuk teguh dengan kepercayaan dan pilihannya sendiri.
- Jangan kehilangan diri sendiri sama ada ketika bekerja ataupun tidak. Jika kerjaya kamu tidak menggembirakan ataupun tidak memuaskan hati, jika setiap hari kerja itu dirasakan sia-sia dan menyakitkan, maka carilah pekerjaan lain.
- Pekerjaan seperti makanan. Makanan yang kita makan setiap hari. Makanan yang mempengaruhi badan, fikiran, jiwa dan roh kita.
- Menempuh hari demi hari dengan baik, sama seperti menjalani kehidupan yang baik.
Kesimpulannya, Patung Beruang harap sangat agar ramai yang dapat membaca naskah ini. Bacalah walaupun sekali, untuk kita lebih menghargai dan menikmati jalan kehidupan kita.
Terima kasih Cik Puan Azzah atas karya terjemahan yang sangat sedap ini. Alhamdulillah...
Semoga satu hari nanti Patung Beruang akan berjumpa dengan Kedai Buku Hyunam-dong Patung Beruang sendiri, Aamiin...