Tajuk: Aku Menyelam Untuk Hidup 2 (Darah, Keringat dan Air Mata)
Penulis: Ahmad Jamal
Menariknya Naskah Ini:
Naskah ini termasuk dalam senarai buku-buku yang patut dibeli ketika PBAKL 2024. Alhamdulillah, tercapai juga hasrat Patung Beruang untuk memilikinya.
Naskah yang berdasarkan kisah benar penulis, suka-duka beliau sebagai seorang yang sangat meminati dunia menyelam. Penulis bermula sebagai penyelam rekreasi, penyelam pasukan khas dan akhirnya penyelam professional.
Mempunyai 14 kisah, kisah pertama membawa pembaca kepada situasi genting yang dihadapi oleh penulis dan rakan-rakan di atas dek MV Masakuni pada 24 November 2013. Penulis dan 2 orang anggota kerja berbangsa Jepun bergilir-gilir memberikan bantuan kecemasan CPR kepada pesakit yang sedang terbaring di tengah-tengah dek kapal. Ini bukanlah latihan kecemasan yang seringkali diadakan diatas kapal, tetapi ini adalah situasi genting sebenar apabila pesakit yang merupakan salah seorang penyelam, tidak sedarkan diri.
Selepas beberapa minit melakukan CPR dan pesakit sudah mula sedar di atas pengusung, mereka segera mengangkat pengusung tersebut dibawa ke bot kru yang telah sedia di barge MV Masukuni ini. Bot kru terus menuju ke jeti West Coast dimana pasukan paramedik dan ambulan telah sedia menunggu. Pesakit dipindahkan ke ambulan dan kenderaan tersebut meluncur laju menuju hospital. Setiap saat sangat berharga kerana nyawa pesakit menjadi taruhan.
Kisah penulis dan MV Masakuni bermula ketika penulis berkhidmat di Trim System Pte Ltd (Trim System) iaitu sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan menjual dan menyewakan peralatan menyelam bagi industri berat kepada mana-mana kontraktor menyelam yang berminat. Syarikat ini juga membekalkan tenaga kerja kepada mana-mana syarikat yang memerlukan.
Nippon Salvage telah mendapat kontrak untuk melakukan kerja-kerja dibawah air untuk satu project besar di Singapura. Oleh itu, hyperbaric chamber sangat diperlukan. Maka, Nippon Salvage melantik Trim System untuk menyewakan hyperbaric chamber bersama pengendalinya sekali kepada Nippon Salvage.
7 January 2013, bermulalah perjalanan penulis ke Singapura bagi memenuhi kontrak Trim System dan Nippon Salvage.
Sebagai pengendali chamber atau Chamber Operator, antara tugas dan tanggungjawab penulis adalah:
- Menyiapkan dan menjaga beberapa peralatan yang diperlukan bagi operasi asas Deck Compression Chamber (DCC).
- Menyediakan jadual selaman untuk rawatan dan carta aliran tindakan (process flow) semasa kecemasan menyelam.
- Memastikan peralatan perubatan siap sedia di DCC.
Antara kesulitan yang boleh terjadi pada penyelam adalah sindrom tersedut air masin (salt water aspiration syndrome). Keadaan ini berlaku akibat penyelam tersedut kabus air masin sewaktu menyelam. Ia biasa berlaku kepada penyelam yang tidak berpengalaman seperti semasa melakukan latihan kenaikan bebas dan semasa melakukan latihan bernafas berganti-ganti dengan rakan yang menggunakan satu alat pernafasan (buddy breathing), atau juga jika regulator second stage rosak atau bocor. Antara simptom-simptom yang akan dihadapi pesakit adalah: loya, muntah, sesak nafas, demam dan rasa letih, denyutan nadi yang laju, dan keliru.
Setelah beberapa bulan bekerja dengan orang Jepun, penulis berkongsi pendapat beliau tentang bangsa tersebut antaranya:
- Rajin dan kuat bekerja serta sangat mementingkan kesempurnaan.
- Mereka terlalu mengagungkan bangsa Barat sehingga mewujudkan rasa rendah diri yang ketara tatkala berhadapan dengan bangsa Barat.
- Namun, mereka juga memandang rendah keupayaan dan pendapat bangsa lain melainkan terbukti yang individu tersebut memang lebih hebat & lebih cekap dari mereka.
- Reputasi dan maruah lebih utama daripada nyawa.
- Menggemari peralatan atau cara lama, sangat old school.
Sepanjang penulis bertugas di MV Makuni, penulis diuji dengan kematian rakan sekerja yang dipanggil Wak Lan. Punca kematian Wak Lan bukanlah akibat penyakit penyelam atau tersalah rawatan hiperbarik, tetapi kerana berkaitan dengan sejarah penyakit jantungnya. Sudden Cardiac Arrest dicatat sebagai sebab kematian berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh pihak hospital.
Berdasarkan Journal of Emergency Medical Services, sudden cardiac arrest bermaksud jantung terhenti mendadak iaitu kehilangan fungsi jantung, pernafasan dan kesedaran secara tiba-tiba.
Kejadian mengejut ini disebabkan oleh gangguan elektrik di dalam hati yang menggangu tindakannya mengepam. Lantas menghentikan aliran darah ke seluruh tubuh.
Sudden cardiac arrest ini berbeza dengan serangan jantung (heart attack), kerana heart attack berlaku apabila aliran darah ke bahagian jantung disekat. Namun, heart attack adakalanya boleh mencetuskan gangguan elektrik yang membawa kepada masalah jantung terhenti mendadak.
Simptom-simptom sudden cardiac arrest adalah serta-merta dan drastik seperti tiba-tiba jatuh, tiada nadi, tidak bernafas dan tidak sedarkan diri.
Setelah penulis tamat berkhidmat bersama Nippon Salvage selama 15 bulan, penulis bertukar lokasi tugasan di Kuala Lumpur pula, dimana penulis terlibat dalam projek kerja-kerja penggalian terowong bawah tanah untuk sistem pengangkutan awam di Lembah Klang iaitu Klang Valley Mass Rapid Transit (KVMRT).
Di project KVMRT ini, penulis bertugas sebagai anggota pasukan perubatan dan sebagai penyelia hyperbaric chamber. Dalam project ini, terdapat 2 jenis chamber yang digunakan iaitu:
- Satu chamber digunakan sebagai tempat pekerja bawah tanah melakukan kerja dalam persekitaran bertekanan tinggi dan chamber ini terletak di bawah tanah.
- Satu chamber lagi digunakan untuk merawat pekerja bawah tanah yang menghadapi masalah kesihatan selepas mereka bekerja di bawah tanah dalam suasana persekitaran yang bertekanan tinggi dan dalam jangkamasa yang panjang. Chamber ini terletak di permukaan tanah.
Antara ilmu baru yang Patung Beruang perolehi dari naskah ini adalah penyakit tekanan tinggi adalah sama dengan penyakit yang menimpa penyelam. Penyakit tersebut dipanggil "bends". Asalnya chamber digunakan untuk merawat penyakit tekanan tinggi bagi pekerja bawah tanah. Lama-kelamaan, didapati yang penyakit penyelam menpunyai ciri-ciri yang sama seperti penyakit yang menimpa pekerja-pekerja bawah tanah. Oleh itu, chamber mula digunakan untuk merawat penyelam pula.
Seperti kebiasaan, naskah yang berdasarkan pengalaman sebenar ini mempunyai magis yang tersendiri. Naskah ini juga tidak terkecuali. Bukan semua orang berpeluang untuk menceburi bidang yang diceburi penulis ini, namun dengan naskah ini, pembaca boleh membayangkan segala suka duka, pahit manis yang ditempuh didalam bidang ini.
Naskah ini bukan sekadar kisah seorang penyelam atau operator / penyelia hyperbaric chamber, tetapi juga kisah kegigihan dan ketabahan seorang suami, seorang ayah, seorang anak, seorang lelaki yang tetap melangkah ke hadapan, sentiasa berkorban demi keluarga tersayang. Kisah seorang hamba Allah yang berjuang sepenuh hati demi agama dan Tuhan yang satu...
No comments:
Post a Comment