Penyelenggara: Nor Azzah Momin, Khairulbahiyah Yaakub, Siti Azizah Md. Nor, Noraini Abdul Rahman
Menariknya Naskah Ini:
Seumur hidup Patung Beruang, inilah pertama kali Patung Beruang jumpa naskah berkenaan pustakawan. Disebabkan itu, bila Patung Beruang nampak naskah ini di BookPod, iaitu vendor machine yang menjual buku, bertempat di TRX, Patung Beruang terus membelinya.
Apabila disebut pustakawan, dalam minda kita biasanya tergambar seseorang yang sedang khusyuk menyusun buku-buku di rak, ataupun seseorang yang duduk di kaunter dan melayan pengunjung yang ingin meminjam atau memulangkan buku. Tetapi, adakah pustakawan tugasnya sekadar itu saja?
Antara kisah yang paling Patung Beruang suka adalah Baca Celik Hati, tulisan Puan Khairulbahiyah Yaakub. Dalam kisah ini, penulis yang merupakan pustakawan di UTM berkongsi pengalaman beliau menjalankan projek terjemahan brille di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth sejak tahun 2007.
Setiap hujung minggu, penulis akan ke Sekolah Princess Elizebeth. Disana, penulis akan duduk dan membacakan buku cerita di hadapan pelajar istimewa mengikut jadual yang ditetapkan. Pelajar ini kemudiannya akan terus menaip setiap patah perkataan yang dibacakan menggunakan mesin taip braille. Dengan cara ini, ramai pelajar kelainan upaya dapat menikmati lebih banyak bahan bacaan yang menarik dan dapat menimba ilmu selain dari buku-buku akademik.
Jika dahulu, hanya naskah braille yang ditaip secara manual saja yang dapat penulis dan rakan-rakan hasilkan. Tetapi kini, dengan adanya teknologi, telah wujud mesin embosser yang berupaya mencetak titik timbul dalam penterjemahan buku braille. Pustakawan hanya perlu menyediakan teks dalam bentuk Microsoft Word dan ia akan terus diemboss untuk penghasilan naskah braille.
Walaupun teknologi sudah canggih, naskah braille tetap diperlukan sama seperti buku-buku fizikal. Ini kerana orang celik membaca melalui fungsi mata yang kemudian ditafsir oleh otak. Manakala individu yang cacat penglihatan, Allah kurniakan nikmat membaca melalui fungsi sentuhan. Titik-titik braille yang tersentuh dek jari inilah yang akan ditafsir oleh otak dan memberi kefahaman kepada mereka. Cara ini lebih memberi impak kepada otak mereka berbanding mendengar audio. Ini adalah ilmu baharu yang Patung Beruang perolehi melalui kisah ini, Alhamdulillah...
Bagaimana caranya kita menjaga koleksi buku-buku yang dimiliki?
Untuk Patung Beruang, adalah satu kemestian untuk membalut buku-buku yang dimiliki dengan plastic pembalut. Disebabkan itu, walaupun sudah 24 tahun Patung Beruang meninggalkan alam persekolahan, Patung Beruang masih lagi membeli plastik pembalut buku dan selotape. Dua bahan ini dan gunting, Insya-Allah sentiasa ada dirumah, hehehe..
Tetapi bagaimana pula jika naskah itu sudah berusia lebih 50 tahun? atau mungkin hampir mencecah 100 tahun?
Kisah Doktor Buku karya Puan Noor Lela binti Osman membawa pembaca berkenalan dengan lebih dekat tugas dan tanggungjawab Bahagian Pemuliharaan, Perpustakaan Negara Malaysia. Bahagian Pemuliharaan mempunyai 3 unit iaitu Jilidan, Pemuliharaan Manuskrip Melayu dan Pemuliharaan Koleksi Nadir.
Pemuliharaan Koleksi Nadir biasanya melibatkan naskah terbitan sebelum tahun 1900 dan berusia melebihi 50 tahun. Naskah ini biasanya mengalami kerosakan pada tulang buku, jahitan yang putus atau reput, kandungan asid yang tinggi pada kertas, adanya fungus dan dimamah oleh haiwan perosak seperti gegat (silver fish) atau anai-anai.
Naskah yang dirawat bukan sekadar diperbuat daripada kertas, malah ada lembaran kulit binatang, kulit pokok, buluh, kayu, kain dan daun lontar. Objektif utama Unit Pemuliharaan Koleksi Nadir adalah supaya naskah yang dipulihara dan dipelihara akan kekal lama, dan bebas daripada ancaman kerosakan. Seolah-olah naskah tersebut diberi nafas baharu. Menariknya...
Perpustakaan Bergerak adalah salah satu dari memori terindah zaman kanak-kanak Patung Beruang. Masih ingat lagi, ketika zaman bersekolah rendah, Ibu dan Patung Beruang akan berjalan kaki menuju Dewan Serbaguna di taman perumahan kami. Setiap bulan, ada satu hari dimana Perpustakaan Bergerak akan datang ke Dewan Serbaguna itu.
Perpustakaan Bergerak ini hanyalah sebuah bas yang diubahsuai bahagian dalamnya untuk menempatkan koleksi buku-buku yang menarik dan pelbagai, demi memenuhi minat membaca semua lapisan masyarakat. Bas yang dipenuhi buku-buku ini ibarat syurga buat Patung Beruang. Perasaan teruja tatkala melangkah masuk kedalam bas, melihat buku-buku yang tersusun rapi dan menunggu untuk dibawa pulang, hanya Allah saja yang tahu.
Kisah Perpustakaan Untuk Semua karya Encik Muhammad Nooramin bin Mohd Hassan, seolah mengibau kenangan manis Patung Beruang dan Perpustakaan Bergerak. Penulis yang ketika itu bertugas di Perpustakaan Awam Daerah Lipis, adalah antara individu penting untuk Perpustakan Bergerak di daerah tersebut. Hari Isnin hingga Khamis, team Perpustakaan Bergerak ini akan keluar ke stesen-stesen persinggahan yang telah dijadualkan. Sebanyak 3 lokasi yang terdiri daripada sekolah dan komuniti, yang jauh dari bandar perlu dilawati dalam sehari.
Perpustakaan Bergerak nampak seperti inisiatif yang remeh namun impaknya pada masyarakat sangat besar. Perpustakaan Bergerak membantu penduduk terutama anak-anak di kawasan pinggir bandar atau terpencil untuk mempunyai akses kepada bahan bacaan dengan lebih meluas. Ini juga salah satu dari cara untuk memupuk minat membaca dikalangan generasi muda.
Selain itu, Perpustakaan Bergerak juga menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk golongan dewasa di komuniti tersebut. Contohnya jika komuniti tersebut ada ramai petani maka, buku-buku berkisar tentang pertanian, teknologi bertani dan ekonomi dalam pertanian akan berada dalam koleksi Perpustakaan.
Patung Beruang tidak pasti adakah masih wujud Perpustakaan Bergerak di taman perumahan Patung Beruang dahulu. Seingat Patung Beruang, apabila keluarga kami pindah ke taman perumahan baharu di tahun 1993/ 1994, tiada lagi pengalaman berkunjung ke Perpustakaan Bergerak. Setelah berpindah, Ibu Ayah sering membawa kami untuk membeli buku di Badan Bookstore, Komtar atau di Plaza Angsana, ataupun di Kedai Dewan Bahasa & Pustaka, di Kotaraya. Oleh itu, perpustakaan yang dikunjungi hanyalah perpustakaan sekolah ataupun perpustakaan negeri yang lokasinya tidak jauh dari tempat kerja ayah.
Naskah Memoir Pustakawan ini menyajikan 30 kisah menarik yang ditulis oleh pustakawan. Ada kisah yang menggembirakan, lucu, sedih dan teruja yang menggambarkan betapa barisan penulis ini sangat mencintai dunia kepustakawanan dan berusaha untuk menyampaikan ilmu mereka seluas yang boleh.
Cita-cita untuk menjadi pustakawan mungkin tidak glamor seperti doktor atau engineer. Namun, tugas pustakawan ini juga memberi impak yang besar kepada usaha memandaikan anak bangsa dan masyarakat kita. Mereka ini ibarat wira yang tidak didendang.
Tatkala membaca naskah ini, Patung Beruang terfikir, mengapa Patung Beruang tidak pernah terlintas untuk menjadi pustakawan? Sedangkan kerjaya yang bergelumang dengan buku-buku adalah salah satu dari syurga dunia Patung Beruang. Mungkin kerana kurangnya pendedahan mengenai laluan pendidikan dan haluan kerjaya dunia pustakawan. Andainya Patung Beruang berjumpa naskah ini 30 tahun dulu, mungkin cita-cita Patung Beruang akan bertukar, hehehe...
No comments:
Post a Comment