Tuesday, September 29, 2020

Pelarian Sebentar

 Assalamualaikum wbt...

Lamanya Patung Beruang tidak berkongsi cerita di sini. Book Review pun lama bercuti. Cuma weekend baru ni je Patung Beruang sempat update 2 buah buku. Walaupun buku yang pending book review masih banyak lagi, hehehe.. Sabar je lah.. 

Beberapa minggu ini macam-macam perkara berlaku. Tidak kiralah urusan kerja atau urusan peribadi. Urusan dunia ataupun urusan akhirat. Bila Patung Beruang rasa terlalu sesak, lemas, emosi tank semakin kering, itu tandanya Patung Beruang kena lari sebentar. Lari sebentar dari situasi yang berserabut, lari sebentar dari hiruk pikuk yang membingitkan. 

Maka, pada 12 September hari itu, bermulalah perjalanan Patung Beruang untuk lari sebentar dari kebisingan. Menuju ke suatu destinasi yang Patung Beruang sendiri pun belum pernah sampai. Reservations sudah dibuat beberapa minggu sebelum itu. Juga sudah dibayar sepenuhnya. 


Berada di tempat asing, dikelilingi hutan tebal, cuaca yang nyaman sambil ditemani bunyi unggas, sangat menenangkan. Tidak nampak kelibat manusia, tidak terdengar hiruk pikuk kenderaan. Allahuakbar.. 

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kami, yang kamu hendak dustakan?  (Surah Ar-Rahman)


Apa aktiviti Patung Beruang disini? 

Most of the time, Patung Beruang habiskan masa dengan membaca. Duduk bersimpuh di balcony, sambil peluk Bibi, menghadam setiap patah perkataan yang tertulis di naskah yang dibawa. 

Bila sampai waktu solat, bersolatlah dengan tenang, menghargai setiap detik kita berbicara dengan Yang Maha Pencipta. 

Antara benda yang paling Patung Beruang suka ketika berada di sini adalah Patung Beruang berpeluang untuk membaca Al-Quran setiap kali selepas solat. 

Alhamdulillah...

Nikmat yang hanya diperolehi ketika zaman MCO saja dulu. Habis saja solat, belek saja Al-Quran online, pilih saja apa-apa Surah dan bacalah ia sehingga habis. Selepas itu, belek lah pula terjemahannya. Rasa puas sangat dapat melepaskan rindu pada Al-Quran. 


Dalam kediaman ini ada disediakan TV dengan channel yang banyak. Siaran pula 24 jam. 

Tetapi, seperti biasa Patung Beruang memang tidak teruja dengan TV. 

Ketika malam pertama di sini, TV memainkan movie Joker. Movie yang menarik tetapi tidak cukup untuk menarik perhatian Patung Beruang untuk menatapnya. 

Bagai diduga, buku juga yang menjadi pilihan. TV dipasang hanya untuk mengeluarkan bunyi saja. Tiadalah rasa sunyi sepi kediaman itu. 


Rutin harian ketika pagi dan petang adalah sama. Seawal 7.15 am Patung Beruang sudah turun untuk bersarapan. Usai bersarapan, Patung Beruang akan berjalan di kawasan sekitar, duduk di bangku di taman, menikmati hawa pagi sambil melihat matahari yang mula munculkan diri. 


Selepas itu, singgah sebentar di kolam ikan, melihat ikan koi berenang dengan riang gembira. 

Sedang leka meneliti telatah sekawan ikan, datang pula sepasang angsa menghampiri ke tepi tembok, seolah-olah mengucapkan selamat pagi. 

Angsa ini kelihatannya jinak tetapi Patung Beruang tidak berani untuk menyentuhnya, huhu. 


Di waktu petang pula, biasanya dalam pukul 6 petang Patung Beruang akan keluar, beli secawan kopi dan duduk di bangku taman, sambung membaca sambil menghirup kopi dan menunggu matahari pulang ke sarang. 

Again, bilangan manusia yang sangat terhad, tiada langsung bunyi dan asap kenderaan, benar-benar membuatkan Patung Beruang rasa bahagia sangat. How I wish I can stay here forever, huhuhu.... 


Percutian singkat ini ibarat pelarian sebentar untuk diri yang kepenatan. Penat mental, fizikal dan emosi. Penat luaran dan dalaman. 

Patung Beruang adalah manusia biasa yang mempunyai rasa lelah dengan rutin harian yang padat, kerenah manusia disekeliling, permasalahan di pejabat, isu kehidupan dunia dan akhirat. Dan lelah itu tidak mampu untuk dihilangkan hanya dengan tidur beberapa jam atau meneguk kopi beberapa cawan. 

Benar, dunia ini tempat untuk kita berpenat lelah. Kita hanya boleh berehat apabila sudah berada di alam baqa'. 

Tetapi, untuk sebentar cuma, izinkanlah diri ini bersembunyi di suatu tempat yang asing. Untuk mengecas kembali tenaga yang kian tersisa, agar dapat kembali menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik.


Kini, kehidupan kembali seperti asal. Energy masih lagi di puncak, seronok dan bersemangat mengharungi hari-hari yang mendatang. Benarlah kata-kata seorang penulis itu, 

"Terkadang, tidak semua orang berasa bahagia itu pada perkara yang sama. Ada orang, bahagianya itu bukan pada manusia. Bahagianya itu mungkin pada kesempatannya untuk bersendirian walau sebentar cuma." 

Sunday, September 27, 2020

Book Review : Dilema

Tajuk : Dilema

Penulis : Muharikah 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah Dilema ini adalah sekuel kepada naskah Stigma dan Karma, buah tangan dari Muharikah. 

Untuk Dilema, pembaca dapat menyelami kesukaran Dr Iman Syahirah untuk bangkit dan meneruskan kehidupan beliau selepas kematian suaminya, Dr Faris. 

Selama beberapa bulan, Iman berkurung dan memutuskan hubungan dengan dunia luar termasuklah rakan baiknya, Dr Alifah atau Aleph. Mujur ibu bapa Iman sentiasa ada disampingnya untuk memberi semangat. Begitu juga dengan Dr Zarith, rakan baik Iman sejak zaman belajar lagi. Melalui Zarith, Aleph banyak memperolehi perkembangan terkini Iman. 

Iman yang berbadan dua merasakan dirinya perlu kuat kerana ini lah tali pengikat kasih sayangnya dan Faris. Demi anak dalam kandungan, Iman nekad untuk keluar dari persembunyiannya dan kembali bekerja di hospital. 

Kini Iman ditugaskan untuk menjaga wad Lavender, di Jabatan Perubatan. Wad Lavender adalah wad kelas pertama di Hospital Puncak Alam. Namun, keadaan menjadi rumit buat Iman apabila Aleph yang baru menyertai Hospital Puncak Alam menjadi wad consultant untuk Wad Lavender. Ini bermakna Iman akan bertugas di bawah Aleph. 

Hari pertama Iman kembali bertugas adalah detik hitam dalam hidup Iman. Dirinya dimalukan Aleph dihadapan petugas kesihatan yang lain. Kemuncaknya apabila Iman terjatuh di wad ketika sedang mengambil file pesakit sehingga dirinya pengsan dan kandungannya gugur. 

Keguguran yang dialami Iman memberi tamparan hebat kepada dirinya dan juga Aleph. Malah, Iman menjadi sangat marah terhadap sahabat baik merangkap orang atasannya itu. 

Aleph pula merasa sangat menyesal kerana terlalu mengikut perasaan ketika hari pertama Iman melapor diri di Wad Lavender. Dia sedar punca kemarahannya kepada Iman adalah kerana Iman berdegil menolak semua pertolongan Aleph selepas kematian Faris. Aleph seakan terlupa yang Iman sedang bergelut dengan emosinya sendiri sehingga dia menutup semua ruang peribadinya dari dicerobohi oleh orang luar, walaupun sahabat sendiri.  

Iman mula menghadiri sesi terapi bersama Puan Julia, seorang psikologis. Sesi terapi yang diharapkan dapat membantu Iman untuk memulihkan luka akibat kehilangan Faris dan anak dalam kandungannya. 

Hari demi hari Iman mula bangkit untuk mencari dirinya semula. Kehilangan Faris dan anak mereka sangat memilukan namun Iman sedar Allah menguji seseorang hamba-Nya sesuai dengan kemampuannya. Iman dan Aleph sama-sama berusaha untuk mendekatkan diri mereka dengan Sang Pencipta.

Dalam satu program kerohanian yang dihadiri oleh kedua orang sahabat ini, Iman dipertemukan semula dengan Shahrizal, sepupunya yang sudah lama terputus hubungan. Iman dan Shahrizal membesar bersama-sama. Ketika kecil, mereka saling mengunjungi satu sama lain. Namun, pada suatu hari, Shahrizal hampir menjadikan Iman sebagai mangsa pemuas nafsunya. Dan sejak itu, Iman sangat membenci Shahrizal sehingga tidak lagi berkunjung ke rumah itu.

Pertemuan yang tidak diduga dalam program kerohanian ini membangkitkan semula kenangan silam yang pahit buat Iman. Iman berpura-pura tidak mengenali Shahrizal. 

Takdir menemukan mereka semula di hospital apabila Ilana, satu-satunya anak Shahrizal, dikejarkan ke hospital atas cubaan membunuh diri. Iman ditugaskan untuk merawat Ilana dan berasa simpati dengan gadis itu yang menjadi mangsa pergolakan rumahtangga ibu bapanya. 

Shahrizal menyedari kekhilafannya terhadap Iman ketika zaman mereka membesar. Malah, Shahrizal yang kini sudah jauh berubah. Malah dia sangat menghormati dan mengagumi kecekalan Iman dalam mengharungi hidup yang penuh dengan ujian. 

Iman dan Aleph merancang untuk membuka rumah orang-orang tua swasta yang berkonsepkan kesihatan dan Islamic. Sebagai doktor pakar, kepakaran 2 orang sahabat ini tertumpu kepada aspek kesihatan semata-mata. Mereka sedar yang mereka memerlukan seorang partner yang hebat dan cekap dalam urusan perniagaan  untuk memastikan kejayaan project ini. Dan insan yang dilihat tepat untuk menyertai mereka adalah Shahrizal.... 


Patung Beruang berharap agar ini adalah penutup kepada kisah Dr Iman Syahirah. Ia bukan cerita dongeng Walt Disney yang akhirnya watak utama akan live happily ever after. Tetapi ini adalah kisah yang berpijak di realiti, dimana dalam kehidupan ini tidak semuanya akan berakhir dengan indah. Selagi seseorang manusia itu hidup, selagi itu dia akan diuji. Kerana ujian itu tanda kasih Allah kepada hamba-Nya. 

Honestly, Patung Beruang rasa puas selepas menutup naskah ini. Kisah Iman Syahirah bukanlah kisah yang pelik. Diuji dengan ingatan terhadap dosa-dosa silam. Kita bertaubat dan berusaha untuk berubah menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Dalam kepayahan kita untuk istiqamah dengan usaha perbaiki diri ini, Allah datangkan pula kesedihan yang bertalu-talu. Seolahnya seperti hukuman itu masih belum habis. Seolahnya seperti dosa yang terpikul masih terlalu banyak. Sehingga adakalanya menggoyahkan keyakinan kita. 

Namun, sokongan keluarga dan rakan terdekat sentiasa ada. Malah, tidak salah untuk kita meminta bantuan orang luar yang pakar. Bukan untuk menyelesaikan masalah kita, tetapi lebih kepada untuk menyusun semula pemikiran dan perasaan kita. 

Kita bangkit sedikit demi sedikit mencari kekuatan diri. Hanya pada Allah kita meminta bantuan dan ketenangan. Tenangkan hati, tenangkan perasaan, tenangkan perbuatan dan tenangkan percakapan. Hanya pada Allah kita serahkan urusan perjalanan kita. Kerana sesungguhnya, Dialah Yang Maha Perancang.... 

Saturday, September 26, 2020

Book Review : The Next Person You Meet in Heaven

Tajuk : The Next Person You Meet in Heaven 

Penulis : Mitch Albom 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini adalah sambungan dari naskah karya Mitch yang bertajuk The Five People You Meet in Heaven. 

The Next Person You Meet in Heaven ini membawa pembaca kepada kisah Annie. Siapa pula Annie ini? 

Ingat tak, dalam naskah sebelum ini iaitu The Five People You Meet in Heaven, watak utamanya adalah Eddie. Eddie meninggal dunia kerana kemalangan di taman tema Ruby Pier dan kematiannya berpunca dari tindakannya yang berusaha untuk melindungi nyawa seoarang kanak-kanak perempuan bernama Annie, dari ditimpa oleh bebanan besi yang jatuh ketika itu. 

Dan Annie inilah yang menjadi watak utama dalam naskah The Next Person You Meet in Heaven

Annie adalah anak tunggal dalam sebuah keluarga yang berantakan. Ayahnya seorang kaki mabuk dan kaki pukul, sering menjadikan ibu Annie, Lorraine sebagai mangsanya. Pada suatu hari, disebabkan kerana merasa terganggu dengan pertanyaan Annie yang masih kecil, beliau dipukul oleh ayahnya. Insiden itu menyebabkan Lorraine menyedari yang mereka perlu keluar dan meninggalkan lelaki tersebut secepat mungkin. 

Setelah bercerai, Lorraine mula mencari kasih sayang dari lelaki-lelaki di luar sana. Kebahagiaan palsu yang dicari akhirnya memakan dirinya sendiri. Ketika kejadian di kemalangan di Ruby Pier, Annie yang ketika itu berumur 8 tahun, keseorangan mundar-mandir mencari ibunya sedangkan wanita itu leka berkasih dengan teman lelakinya. 

Sejurus selepas kemalangan, Annie telah dikejarkan ke hospital tanpa Lorraine. Lorraine hanya menyedari bahawa anak kecilnya itu ditimpa kemalangan apabila kelibat Annie tidak lagi kelihatan di Ruby Pier. 

Kehidupan 2 beranak ini berubah dengan mendadak selepas kemalangan tersebut. Sejurus keluar dari hospital, mereka berpindah ke bandar lain kerana tidak tahan diganggu oleh wartawan dan orang awam yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kemalangan tersebut. 

Mereka berdua tinggal di dalam caravan. Hubungan ibu dan anak ini juga semakin keruh. Mereka jarang bercakap dan apabila bercakap, ia akan kerap berakhir dengan pertengkaran. Menyedari yang Annie kebosanan apabila ditinggal bersendirian, Lorraine menghadiahkan seekor anak anjing yang diberi nama Cleo kepada Annie. Cleo adalah seekor anak anjing yang cedera akibat ditembak oleh manusia. Annie dan Cleo saling memahami antara satu sama lain. Sayangnya, usia Cleo pula tidak panjang. Kematian Cleo menambahkan lagi kepiluan dalam hidup Annie. 

Kehidupan Annie tidak seperti remaja seusianya. Disekolah Annie sering dibuli oleh rakan sekelasnya kerana keadaan fizikalnya. Annie tiada kawan kecuali Paulo, seorang budak lelaki yang memahami dirinya. Sayangnya, tidak berapa lama kemudian, keluarga Paulo berpindah ke Italy. 

Annie membesar dalam keadaan yang tertekan. Beliau merasakan kebahagiaan itu bukan miliknya. Selepas tamat persekolahan, Annie keluar meninggalkan Lorraine dan menetap bersama teman lelakinya. Kehidupan dua orang remaja ini akhirnya menyebabkan Annie hamil. Sayangnya, bayi tersebut hanya mampu bertahan beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir. 

Kini, Annie sudah dewasa dan bekerja sebagai seorang nurse. Beliau merasakan pekerjaannya itu sangat bermakna dan merasa terhutang budi dengan pakciknya, Uncle Dennis, yang juga seorang pakar bedah di hospital yang sama. Uncle Dennis lah yang berusaha untuk mengembalikan kehidupan dan keyakinan diri Annie kerana menyedari hanya Lorraine dan Annie sahaja ahli keluarganya yang masih hidup di dunia ini. 

Pada suatu hari, ketika sedang menuju ke tempat kerja, Annie bertembung dengan Paulo, sahabat lelaki ketika zaman persekolahan. Pertemuan kedua insan ini menyambung semula persahabatan mereka dan akhirnya mereka pun berkahwin. 

Di usia yang menginjak 31 tahun, Annie merasakan beliaulah wanita paling bahagia ketika itu. Malangnya, malam pertama mereka sebagai pasangan suami isteri berakhir dengan tragedi apabila mereka berdua terlibat dalam kemalangan belon panas. Pasangan pengantin baharu ini dihantar ke hospital dan petugas kesihatan termasuklah Uncle Dennis berusaha untuk menyelamatkan pasangan sejoli ini. 

Adakah ini pengakhiran kehidupan dan kebahagiaan Annie? 


Seperti biasa buah tangan Mitch Albom sarat dengan emosi. Naskah ini juga tidak terkecuali. 

Patung Beruang berjaya menghabiskan naskah ini dalam masa 36 jam. Ya Allah... jujurnya Patung Beruang penat menangis tatkala membaca naskah ini. Duduk di tepi sudut living area, sambil ditemani Bibi, air mata tidak berhenti-henti mengalir tatkala menatap helaian demi helaian. 

Kenapalah cerita ini terlalu sedih?

Watak Annie seperti sering dirundung malang. Disaat kita merasakan Annie sudah berjumpa cinta hati dan kebahagiaannya, malang pula menimpa. 

Namun, kemalangan belon panas yang menimpa Annie dan Paulo bukanlah pengakhiran, sebaliknya ia adalah permulaan kepada kisah Annie. Permulaan kepada pengembaraan Annie bagi mencari makna sebenar disebalik kehidupannya selama ini. Terlalu banyak rahsia yang terbongkar sehingga akhirnya Annie sedar perjalanan kehidupannya tidaklah sepilu yang difikirkannya. 

Ada beberapa petikan yang Patung Beruang suka sangat seperti: 

  • No story sits by itself. Our lives connect like threads on a loom, interwoven in ways we never realise. 
  • Loneliness, Annie. That's what I am here to explain. You suffered it. You tortured yourself over it. But you never understood it. 
  • Do you think, if you hadn't felt so lonely, you would have chosen me at the shelter? Or taken off my collar to let me eat that first morning? Your loneliness gave me a home. And happiness. 

All endings are also beginnings.... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...