Sunday, September 27, 2020

Book Review : Dilema

Tajuk : Dilema

Penulis : Muharikah 

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah Dilema ini adalah sekuel kepada naskah Stigma dan Karma, buah tangan dari Muharikah. 

Untuk Dilema, pembaca dapat menyelami kesukaran Dr Iman Syahirah untuk bangkit dan meneruskan kehidupan beliau selepas kematian suaminya, Dr Faris. 

Selama beberapa bulan, Iman berkurung dan memutuskan hubungan dengan dunia luar termasuklah rakan baiknya, Dr Alifah atau Aleph. Mujur ibu bapa Iman sentiasa ada disampingnya untuk memberi semangat. Begitu juga dengan Dr Zarith, rakan baik Iman sejak zaman belajar lagi. Melalui Zarith, Aleph banyak memperolehi perkembangan terkini Iman. 

Iman yang berbadan dua merasakan dirinya perlu kuat kerana ini lah tali pengikat kasih sayangnya dan Faris. Demi anak dalam kandungan, Iman nekad untuk keluar dari persembunyiannya dan kembali bekerja di hospital. 

Kini Iman ditugaskan untuk menjaga wad Lavender, di Jabatan Perubatan. Wad Lavender adalah wad kelas pertama di Hospital Puncak Alam. Namun, keadaan menjadi rumit buat Iman apabila Aleph yang baru menyertai Hospital Puncak Alam menjadi wad consultant untuk Wad Lavender. Ini bermakna Iman akan bertugas di bawah Aleph. 

Hari pertama Iman kembali bertugas adalah detik hitam dalam hidup Iman. Dirinya dimalukan Aleph dihadapan petugas kesihatan yang lain. Kemuncaknya apabila Iman terjatuh di wad ketika sedang mengambil file pesakit sehingga dirinya pengsan dan kandungannya gugur. 

Keguguran yang dialami Iman memberi tamparan hebat kepada dirinya dan juga Aleph. Malah, Iman menjadi sangat marah terhadap sahabat baik merangkap orang atasannya itu. 

Aleph pula merasa sangat menyesal kerana terlalu mengikut perasaan ketika hari pertama Iman melapor diri di Wad Lavender. Dia sedar punca kemarahannya kepada Iman adalah kerana Iman berdegil menolak semua pertolongan Aleph selepas kematian Faris. Aleph seakan terlupa yang Iman sedang bergelut dengan emosinya sendiri sehingga dia menutup semua ruang peribadinya dari dicerobohi oleh orang luar, walaupun sahabat sendiri.  

Iman mula menghadiri sesi terapi bersama Puan Julia, seorang psikologis. Sesi terapi yang diharapkan dapat membantu Iman untuk memulihkan luka akibat kehilangan Faris dan anak dalam kandungannya. 

Hari demi hari Iman mula bangkit untuk mencari dirinya semula. Kehilangan Faris dan anak mereka sangat memilukan namun Iman sedar Allah menguji seseorang hamba-Nya sesuai dengan kemampuannya. Iman dan Aleph sama-sama berusaha untuk mendekatkan diri mereka dengan Sang Pencipta.

Dalam satu program kerohanian yang dihadiri oleh kedua orang sahabat ini, Iman dipertemukan semula dengan Shahrizal, sepupunya yang sudah lama terputus hubungan. Iman dan Shahrizal membesar bersama-sama. Ketika kecil, mereka saling mengunjungi satu sama lain. Namun, pada suatu hari, Shahrizal hampir menjadikan Iman sebagai mangsa pemuas nafsunya. Dan sejak itu, Iman sangat membenci Shahrizal sehingga tidak lagi berkunjung ke rumah itu.

Pertemuan yang tidak diduga dalam program kerohanian ini membangkitkan semula kenangan silam yang pahit buat Iman. Iman berpura-pura tidak mengenali Shahrizal. 

Takdir menemukan mereka semula di hospital apabila Ilana, satu-satunya anak Shahrizal, dikejarkan ke hospital atas cubaan membunuh diri. Iman ditugaskan untuk merawat Ilana dan berasa simpati dengan gadis itu yang menjadi mangsa pergolakan rumahtangga ibu bapanya. 

Shahrizal menyedari kekhilafannya terhadap Iman ketika zaman mereka membesar. Malah, Shahrizal yang kini sudah jauh berubah. Malah dia sangat menghormati dan mengagumi kecekalan Iman dalam mengharungi hidup yang penuh dengan ujian. 

Iman dan Aleph merancang untuk membuka rumah orang-orang tua swasta yang berkonsepkan kesihatan dan Islamic. Sebagai doktor pakar, kepakaran 2 orang sahabat ini tertumpu kepada aspek kesihatan semata-mata. Mereka sedar yang mereka memerlukan seorang partner yang hebat dan cekap dalam urusan perniagaan  untuk memastikan kejayaan project ini. Dan insan yang dilihat tepat untuk menyertai mereka adalah Shahrizal.... 


Patung Beruang berharap agar ini adalah penutup kepada kisah Dr Iman Syahirah. Ia bukan cerita dongeng Walt Disney yang akhirnya watak utama akan live happily ever after. Tetapi ini adalah kisah yang berpijak di realiti, dimana dalam kehidupan ini tidak semuanya akan berakhir dengan indah. Selagi seseorang manusia itu hidup, selagi itu dia akan diuji. Kerana ujian itu tanda kasih Allah kepada hamba-Nya. 

Honestly, Patung Beruang rasa puas selepas menutup naskah ini. Kisah Iman Syahirah bukanlah kisah yang pelik. Diuji dengan ingatan terhadap dosa-dosa silam. Kita bertaubat dan berusaha untuk berubah menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Dalam kepayahan kita untuk istiqamah dengan usaha perbaiki diri ini, Allah datangkan pula kesedihan yang bertalu-talu. Seolahnya seperti hukuman itu masih belum habis. Seolahnya seperti dosa yang terpikul masih terlalu banyak. Sehingga adakalanya menggoyahkan keyakinan kita. 

Namun, sokongan keluarga dan rakan terdekat sentiasa ada. Malah, tidak salah untuk kita meminta bantuan orang luar yang pakar. Bukan untuk menyelesaikan masalah kita, tetapi lebih kepada untuk menyusun semula pemikiran dan perasaan kita. 

Kita bangkit sedikit demi sedikit mencari kekuatan diri. Hanya pada Allah kita meminta bantuan dan ketenangan. Tenangkan hati, tenangkan perasaan, tenangkan perbuatan dan tenangkan percakapan. Hanya pada Allah kita serahkan urusan perjalanan kita. Kerana sesungguhnya, Dialah Yang Maha Perancang.... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...