Tajuk : Perempuan Politikus Melayu
Penulis : Faisal Tehrani
Menariknya Naskah Ini:
Jujurnya Patung Beruang beli buku ini kerana cover dia berwarna pink, hehe... Yes, tertarik hati dengan cover.
Catatan di kulit belakang lebih kepada ulasan mengapa karya ini dianggap lain dari lain. Tiada sinopsis pun. Jadi, atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, Patung Beruang beli sahaja novel ini. Dengan harapan agar ia tidak mengecewakan.
Perempuan Politikus Melayu mempunyai beberapa watak utama iaitu Jenny Lim, seorang penyanyi dan juga wanita simpanan ahli politik bernama Datuk Zuri, Irfan, seorang anak yatim piatu dan kini bergelar wartawan terkemuka, Chai Yin seorang tutor di universiti dan juga peminat sastera serta Datuk Zuri, ahli politik yang korup dan mempunyai tempat istimewa di kalangan pemerintah.
Irfan membesar di rumah anak-anak yatim dan menumpang kasih dengan Pak Chenon dan Mak Milah yang tinggal di kampung Jentayu. Pak Chenon dan Mak Milah kematian anak tunggal mereka, Fitri kerana dipatuk ular. Maka, mereka mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada Irfan dan menganggap kehadiran Irfan sebagai pengganti Fitri.
Kini Irfan adalah seorang wartawan yang hebat. Wartawan yang mempunyai prinsip dan paling penting wartawan yang memperjuangkan isu-isu masyarakat. Irfan berkenalan dengan Chai Yin, seorang gadis Cina ketika menghadiri sebuah bengkel sastera.
Persahabatan Irfan dan Chai Yin semakin akrab kerana minat yang sama terhadap karya seni dan sastera. Pada suatu hari, Irfan meluahkan hasrat untuk menulis novel berkenaan kehidupan wanita simpanan ahli politik. Dunia gelap yang dianggap taboo oleh masyarakat pada masa itu. Oleh itu, Irfan ingin mencari seorang wanita yang sesuai, yang boleh dijadikan sumber penulisan novelnya.
Chai Yin memperkenalkan Irfan dengan Jenny Lim, sepupunya sendiri. Jenny Lim, anak yatim yang dibesarkan oleh ketua kongsi gelap. Selepas ibu kandungnya dibunuh oleh ketua itu, Leslie, pemandu keluarga mereka membawa Jenny lari ke luar negara. Di luar negara, Jenny mula mengasah bakat di dalam bidang seni dan juga menjadi pelacur kelas atasan. Pulang ke Malaysia, Jenny dikenali sebagai penyanyi yang hebat dan cantik. Namun, kegiatan sampingannya adalah memusnahkan seberapa banyak lelaki yang berkuasa bagi melunaskan dendamnya. Kini, mangsa terbarunya adalah Datuk Zuri.
Datuk Zuri, seorang ahli politik dan ahli perniagaan, sedang giat untuk merampas tanah kepunyaan penduduk Jentayu dengan alasan pembangunan. Bersekongkol dengan ahli perniagaan dari Italy, Datuk Zuri menggunakan segala saluran kerajaan agar penduduk kampung melepaskan tanah mereka walaupun pampasan yang diberikan sangat sedikit.
Niat jahat Datuk Zuri disedari oleh Irfan dan Jenny Lim. Dengan bantuan kuasa media dan status selebriti, Jenny dan Irfan berjuang untuk membuka mata masyarakat luar, pemerintah dan badan-badan bukan kerajaan mengenai penindasan Datuk Zuri terhadap warga Jentayu.
Perjuangan ini sangat mahal harganya. Dan ia terpaksa dibayar bukan sahaja oleh Irfan dan Jenny, namun juga oleh insan-insan yang mereka sayangi.
Adakah memang Datuk Zuri terlalu kebal untuk disentuh?
Dan memang tiadakah secebis keadilan untuk warga Jentayu?
Mungkin benar kata-kata yang sering Jenny ungkapkan, "Di Malaysia, prostitute dan politician itu sama."
Perempuan Politikus Melayu atau Malay Politician Woman adalah nama jolokan yang diberikan kepada Jenny kerana kehebatannya dimata ahli politik Melayu.
1st of all, walaupun naskah ini mempunyai tajuk yang daring, namun tiada babak 18sx pun didalam naskah ini. Naskah ini sangat bersih sebenarnya. So, pada pendapat Patung Beruang, sesiapa pun boleh membaca naskah ini dengan senang hati.
Naskah ini menceritakan tentang kerakusan dan ketamakan ahli politik Melayu dalam mengejar kuasa dan dalam memastikan mereka sentiasa berada di puncak. Datuk Zuri sangup melakukan apa sahaja asalkan kehendaknya ditunaikan, walaupun terpaksa merampas hak orang lain. Apabila tersungkur ke tanah, Datuk Zuri mampu bangun dalam tempoh yang singkat hanya dengan menabur wang ringgit melimpah ruah kepada pihak sasaran. Akhirnya, Datuk Zuri kembali menjadi ahli politik yang suci dimata pemerintah dan pengundi. Sangat menjelekkan.. huhu..
Jenny Lim, walau zahirnya seperti perempuan yang tidak elok, namun semakin lama pengembaraan di dalam naskah ini, pembaca akan dibawa mengenali asal usul Jenny, sisi peribadinya yang totally jauh dari apa yang diperlihatkan kepada masyarakat. Jenny adalah lambang wanita yang dianiaya dan akhirnya menjadi seorang yang pendendam kepada mereka yang bernama lelaki. Namun, Jenny tidak mampu menolak hakikat Irfan adalah seorang lelaki yang baik. Disebabkan itu, Irfan sahaja yang mampu melenturkan rasa dendamnya terhadap lelaki sedikit demi sedikit.
Irfan, lelaki dan wartawan yang berprinsip. Irfan terluka apabila cintanya dikhianati oleh Kasma, maka, dia mula menyalurkan segala tenaga, tumpuan dan komitmen kepada kerjaya kewartawanannya dan juga masyarakat. Persahabatan erat dengan Chai Yin dan Jenny, membuatkan Irfan tersepit. Kedua-dua gadis Cina ini menyimpan perasaan padanya. Dan Irfan juga menyenangi mereka. Namun, tidak mudah untuk memilih salah satunya kerana Irfan sedar, dia mempunyai tanggungjawab yang lebih besar selain dari memperjuangkan perasaan cintanya. Setelah beberapa tahun, Kasma pulang ke Malaysia dan menuntut kemaafan dari Irfan. Malang sekali, luka Irfan terlalu dalam.
Tetapi....
Patung Beruang terperanjat dengan bahagian akhir naskah ini dimana ia memaparkan kehidupan Irfan dan keluarga di luar negara. Wanita yang dipilih Irfan adalah totally jauh dari apa yang Patung Beruang bayangkan. Benarlah, Irfan adalah watak lelaki yang sangat berprinsip. Lelaki yang melebihkan tanggungjawab dari perasaan sendiri. Sukar rasanya hendak mencari lelaki yang mempunyai kualiti begini dalam zaman sekarang. Hebat sungguh plot twist yang dibuat oleh Faisal Tehrani.
Naskah ini juga menyindir mentaliti masyarakat atau pengundi Melayu di sesetengah tempat. Bagaimana ahli politik yang korup masih tetap disanjung, dipuja dan diberi undi hanya kerana ahli politik ini mewakili parti pemerintah. Bagi mereka, hanya parti pemerintah sahaja yang layak untuk memimpin dan boleh menjaga kebajikan mereka. Jika bertanding atas tiket parti itu, letaklah siapa pun calonnya, pasti akan menang... Hakikatnya, ahli politik ini lah yang menjahanamkan masa depan pengundi Melayu tersebut.
Sesetengah ahli politik suka bertanding di kawasan pendalaman. Kerana pengundi di sini tidak tahu apa-apa, hanya mengikut buta tuli dan yang penting pengundi di sini tidak pandai membantah atau merungut. Sangat menyenangkan kerja wakil rakyat. Maka, wakil rakyat hidup senang lenang dibandar, mengaut projek berpukal-pukal, mengumpul harta kekayaan dan perempuan, dalam masa yang sama pengundi mereka tetap hidup dalam kedaifan, kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Haih... sangat menyedihkan...
Naskah ini banyak bermain dengan flashback. Dan adakalanya, Patung Beruang seakan lost sekejap. Tidak pasti adakah ini flashback atau apa yang berlaku pada masa kini, huhu...
Selain itu, ada antara gaya persembahan naskah ini membuatkan Patung Beruang teringat pada Salina karya A.Samad Said. Mungkin kerana kedua-dua naskah ini mengangkat kisah wanita teraniaya dan berjuang untuk hidup sebagai watak utama mereka.
Apapun, this novel is really good. Tema yang lain dari kebiasaan novel commercial dan popular yang ada di kedai-kedai buku sekarang. Bukan semua pembaca suka membaca kisah cinta yang tidak berpijak di bumi nyata atau kisah cinta drama pukul 7 petang. Jadi, ini lah alternatifnya. Semoga ada lebih banyak lagi naskah reality seperti ini dipasaran. Aamiin..