Monday, January 15, 2018

Book Review: Hanya Batu Nisan

Tajuk : Hanya Batu Nisan

Penulis: Mad Sakiran Sulaiman

Menariknya Naskah Ini:

Wah.. lamanya Patung Beruang tidak menulis book review disini. Maafkan lah diri ini ye. Senarai buku-buku yang berjaya dihabiskan dari sehari ke sehari semakin meninggi. Namun, agak sukar untuk Patung Beruang mencuri sedikit masa untuk menulis book review disini, dek kerana tuntutan kerja, urusan peribadi dan keluarga. 

Baiklah... Kita tinggalkan sebentar cerita Patung Beruang, dan kita teruskan ke book review yang pertama untuk tahun 2018 ini ye.


Basically, naskah Hanya Batu Nisan ini adalah kumpulan cerpen terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang mengandungi 17 cerpen hasil nukilan Mad Sakiran Sulaiman.

Penulis memulakan naskah dengan cerpen bertajuk Badai Berpanjangan yang mengisahkan Fazri, seorang wartawan yang datang ke sebuah kampung dengan tujuan untuk mengetahui perkembangan kampung tersebut bagi dimuatkan didalam akhbar. Dikampung itu, Fazri terserempak dengan Mery, seorang wanita yang tinggal berseorangan. Melalui perbualan antara Mery dan Fazri, dapatlah diketahui bahawa wanita ini telah beberapa kali melalui kegagalan alam rumah tangga sehingga menyebabkan beliau membawa diri ke kampung yang terasing ini. Perbualan yang berlaku membawa pembaca kepada konflik perkahwinan campur antara seorang lelaki Muslim bersama seorang wanita yang bergelar saudara baru. Namun, perkahwinan yang terjadi tidak memberikan kebahagiaan buat si isteri tatkala suaminya gagal menjalankan tanggungjawab serta turut gagal membimbing si isteri untuk bersama-sama menjadi umat Islam yang terbaik di sisi Allah. 

Gejala sosial yang semakin membimbangkan menyebabkan berlakunya lambakan anak luar nikah. Dan sudah menjadi kebiasaan, anak luar nikah tersebut akan dibin atau dibinti kan kepada Abdullah, walau pun pada hakikatnya si ibu dan si bapa itu sanggup bernikah dan melayari alam rumahtangga bersama. Lantas, nama Abdullah di penghujung itu seringkali menyebabkan si anak merasa tersisih, malu, terhina tatkala menyedari yang ayah kandungnya bukan bernama Abdullah. Beban emosi dan psikologi ini kebiasaannya terpaksa ditanggung oleh anak tersebut selama seumur hidupnya terutama sekali jika dia seorang perempuan. Pandangan sinis dari masyarakat, jiran-jiran, rakan-rakan disekolah, guru-guru serta saudara-mara amat menyesakkan jiwa mereka. Adakah memang termaktub didalam undang-undang atau perintah mahkamah yang mewajibkan agar mereka ini dibin atau dibintikan kepada Abdullah? Persoalan yang ditimbulkan oleh Sidek dan Koda didalam cerpen ke-3, Binti Abdullah.

Kalsum, seorang wanita berumur 30-an diuji dengan kesihatan yang tidak menentu, sehingga merampas kekuatan tubuh dan seri wajahnya. Dek kerana sakit itu juga Kalsum dipandang jijik dan dipulaukan oleh saudara-mara. Perniagaannya musnah menyebabkan ikatan keluarga yang kukuh juga terlerai. Namun, Kalsum tidak pernah menyalahkan takdir. Setiap hari, tanpa jemu dia memohon pada Allah agar dipermudahkan segala urusan kehidupan dan ekonomi keluarganya. Bagi Kalsum, hanya Allah sahaja tempat dia mengadu tanpa jemu dan tanpa mengira masa. Pada suatu hari, anak Kalsum ditimpa kemalangan jalanraya. Kecederaannya agak parah. Pulang ke rumah, Kalsum didatangi oleh dua orang pegawai bank yang telah berusaha lama untuk menjejaki beliau. Hairan dan debar menghuni dihati Kalsum tatkala menerima tetamu yang tidak disangka-sangka. Apakah tujuan dua pegawai bank tersebut berusaha untuk berjumpa dengan Kalsum? Cerpen ke-9, Kendur Menegak


Secara umumnya naskah Hanya Batu Nisan ini membawa pembaca kepada kisah kehidupan masyarakat yang ada disekeliling kita. Kisah mereka yang diuji dengan kesakitan dan akhirnya pergi menemui Yang Maha Pencipta, meninggalkan anak kecil yang tidak pernah mengerti erti sebuah kehilangan, meninggalkan ibu ayah yang telah uzur dan tidak pernah menyangka untuk melihat anak tersayang pulang untuk selama-lamanya. Permainan politik kampung yang diketuai oleh pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan diri sentiasa berada di puncak. Serta, ikatan kekeluargaan yang terputus dek kerana kejahilan dan keegoan diri dan 1001 lagi cerita kehidupan yang boleh diteliti didalam naskah ini...

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...