Saturday, March 25, 2017

Simpang Durian.. Kemanisan Yang Sentiasa Dalam Ingatan

Assalamualaikum wbt.. 
Lamanya Patung Beruang tidak menulis disini. Maaf ye. Patung Beruang tidak sempat. Jangan kata nak update disini dengan kerap, nak baca buku pun tak mampu. Hari ini dah 25hb March, tapi sebuah buku pun Patung Beruang masih belum habiskan untuk bulan March ini. Sedihnya, huhuhu..

In shaa Allah, bulan April nanti Patung Beruang akan kembali aktif. Sabar ye.

Oklah, hari ini Patung Beruang nak berkongsi pengalaman mengenai apa yang berlaku pada 2 minggu lepas. 

Hari Sabtu, 11 March 2017, Patung Beruang telah bangun seawal 5.30 pagi. Mandi, bersiap dan selepas menunaikan solat Subuh, Patung Beruang mula mengangkat luggage dan beg-beg, masuk ke dalam kereta.

Buka je sliding door, seekor anak kucing berwarna putih sudah menunggu betul-betul didepan pintu. Dengan muka comelnya, beliau mengiau manja, minta makanan. Pasti dia hairan mengapa pagi ini Patung Beruang buka pintu awal. Biasanya, pintu hanya dibuka selepas pukul 7.15 pagi.

Setelah siap semua beg diletakkan didalam kereta, pintu dan pagar rumah sudah siap dikunci, tepat pukul 6.30 pagi Patung Beruang bertolak. Suasana masih gelap, cuaca sejuk dan traffic agak lengang.

Pemanduan diteruskan dengan lancar. Keluar dari Seri Kembangan, kereta Patung Beruang meluncur laju di SKVE dan seterusnya sambung di LEKAS. Jam menunjukkan pukul 6.50 pagi ketika baru memasuki LEKAS.

Seperti kebiasaan, LEKAS memang agak lengang terutama ketika bukan hari bekerja. Ketika melepasi RnR yang pertama, Patung Beruang menoleh ke arah RnR tesebut. Kelihatannya lengang dan agak menyeramkan. Otak terus teringat cerita Abang berkenaan pengalaman misteri nusantaranya ketika berada di RnR tersebut pada awal pagi tahun lepas.

Adatlah, diatas muka bumi ini ada pelbagai makhluk. Sama ada ternampak jelas di mata atau pun tidak. Jadi, janganlah terperanjat tatkala berdepan dengan perkara atau peristiwa yang tidak munasabah.

Perjalanan diteruskan dan akhirnya, tepat pukul 7.15 pagi Patung Beruang pun sampai di plaza tol terakhir. Lepas sahaja tol, Patung Beruang berhenti sebentar di tepi jalan untuk melihat GPS. Signal sangat lemah, maka, GPS tidak berfungsi sepenuhnya. Faham, kiri dan kanan kawasan hutan. Maka mata ini pun ligat melihat peta di Google Maps dan otak pula ligat menghafal jalan. Logicnya Patung Beruang tidak mampu untuk menghafal kesemua simpang. Cuma mampu untuk menghafal kawasan-kawasan penting yang bakal Patung Beruang lalui, dan landmarknya.

Pukul 7.20 pagi, Patung Beruang sambung pemanduan. Maka bermulalah pemanduan di jalan raya kawasan kampung, sempit, dan berliku-liku seperti ular kena palu.

Pandu, pandu dan terus memandu. Sampai di satu kawasan, pemanduannya seperti kita sedang mendaki Cameron Highland. Memanjat bukit atau gunung, selekoh yang tajam dan sempit, disebelah kiri gaung, di sebelah kanan pula terdapat air terjun yang sedang mengalir. Mashaallah… Subhanaallah.. Cantiknya.. Rasa macam nak berhenti je sekejap dan bermain air.. Nasib baiklah kawasan kecil dan tidak sesuai untuk berhenti. Jadi, hanya mampu pandang sahajalah.

Pemanduan diteruskan, naik bukit, turun bukit, jumpa pekan, jumpa kampung, jumpa hutan, jumpa ladang dan kebun. Dan akhirnya, pada pukul 8.30 pagi, Patung Beruang pun sampailah ke Gelanggang Futsal, Dewan Simpang Durian. Alhamdulillah.

Sebenarnya, Patung Beruang menyertai Event Free Market Simpang Durian 2.0 yang dijalankan pada pagi Sabtu itu. Seperti biasa, buah tangan Patung Beruang adalah buku-buku. Untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Bacaan umum dan santai.

Alhamdulillah, event FM hari itu berjalan dengan lancar. Saling tolong-menolong antara para contributors. Terutama apabila ada sahabat-sahabat yang belum selesai menyusun barang-barang yang dibawa sedangkan pengunjung sudah ramai menunggu diluar gelanggang futsal. Penganjur juga sangat hebat dan mempunyai process kerja yang sistematik bagi memastikan kelancaran event pada hari itu. Alhamdulillah…

Ada beberapa peristiwa yang menjentik jiwa Patung Beruang ketika berlangsungnya event:

Kisah 1
Ketika Patung Beruang leka menyusun buku-buku diatas tikar, beberapa orang kanak-kanak berusia antara 7 – 13 tahun, tekun duduk berhadapan dengan Patung Beruang.

Kid 1: Buku-buku ini semua Acik nak bagi ke?

Patung Beruang (PB): Ye, Acik nak bagi semua. Awak suka baca buku?

Kid 1: Suka. Tapi.. Kat rumah takde buku.

PB: Takpe. Nanti lepas pukul 10 pagi, bila majlis dah mula, awak boleh pilih dan ambil buku yang awak suka ye.

Kanak-kanak ini tersenyum. Cantiknya, itu sahaja perkataan yang terluncur dari bibirnya. Sambil itu, jarinya leka mengusap lembut kulit buku yang dipamerkan, seolah-olah seperti buku itu sangat berharga buatnya.

Kid 2: Nanti, saya nak buku ini boleh? Saya tidak pernah ada buku cerita.

Patung Beruang hanya mengangguk sambil tersenyum.

Ketika event sedang berlangsung, kanak-kanak ini datang mendapatkan Patung Beruang.

Kid 1: Terima kasih kerana bagi saya buku. Cantik sangat buku ini. Mesti cerita dia sedap. Saya akan jaga buku ini sebaiknya. Nanti kalau Acik datang lagi, tolong bawa buku lagi ye.   

Patung Beruang terasa sebak namun cepat-cepat dilawan perasaan itu dengan senyuman.

Allahuakbar.. Anak kecil ini dahagakan santapan minda. Anak kecil ini ingin meneroka dunia luar. Anak kecil ini laparkan bahan bacaan selain dari buku sekolah. Semoga buku yang dimiliki itu memberi manfaat padanya.

Ye, Acik janji, Acik akan datang lagi dengan lebih banyak buku untuk awak. Semoga usaha yang kecil ini mampu menyuburkan minat awak untuk membaca. Dan semoga apabila awak telah dewasa, awak juga mampu melakukan apa yang Acik lakukan sekarang. Aamiin..


Kisah 2

Pakcik : Boleh pakcik tengok buku Cerita Dari Syurga itu?

Patung Beruang hulurkan buku yang dipinta.

Pakcik : Nampak menarik kisah dalam ini. Boleh pakcik ambil buku ini?

PB: Boleh. Silakan pakcik.

Sedang Patung Beruang mengemas tapak, Pakcik yang sama datang menghampiri.

Pakcik : Buku-buku kamu semua dah habis.

PB: Ye, pakcik. Alhamdulillah.

Pakcik : Mereka dahagakan ilmu. Baguslah kamu bawa buku-buku kesini. Semoga mereka dapat manfaatnya.

PB : Aamiin. Pakcik memang asal sini ke?

Pakcik : Pakcik orang mendatang. Merantau di banyak tempat. Akhirnya sampai disini. Dan berpuluh tahun pakcik tinggal disini. Berkahwin, beranak pinak dan bercucu.

Pakcik tersebut mula membuka kisah hidupnya. Bagaimana asal mula beliau tercampak disitu. Dan membina keluarga. Allah murahkan rezekinya dimana beliau berpeluang mempunyai keluarga yang besar. Mempunyai isteri-isteri, anak-anak kandung dan anak-anak tiri, menantu-menantu dan cucu-cucu.

Pakcik : Kamu dulu belajar kat mana?

PB : Di Sintok, Kedah.

Pakcik : Rezeki kamu dapat belajar tinggi. Bila dah berjaya, jangan lupakan mak bapak. Walau mereka tiada pelajaran, tidak pernah sekolah, miskin, kamu jangan abaikan mereka. Jaga mereka selagi mereka masih ada.

Pakcik : Pakcik ada seorang anak tiri. Mak dia, isteri pakcik meninggal ketika dia kecil lagi. Kesian kan? Kecik-kecik dah takde mak. Jadi pakcik lah yang sekolahkan dia. Hantar masuk tadika, pi sekolah sampai akhirnya dia dapat pi menara gading. Tapi, lepas tu dia tak penah balik. Sampai lah sekarang. Takpelah. Mungkin dia dah lupakan pakcik. Apa yang pakcik buat selama ini, tanggungjawab pakcik. Biarlah. Satu hari nanti mungkin dia akan sedar.

Butir-butir jernih terbit di tepi matanya. Seorang ayah yang meniti hari-hari tua. Menanggung beban rindu pada anak. Walau anak tiri, namun tetap dijalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin. Patung Beruang tidak sampai hati untuk bertanya lebih lanjut tentang anak itu. Bimbang menambahkan kesedihannya.

Pakcik : Kamu sudah berkahwin?

PB : Belum pakcik. Saya masih bujang.

Pakcik : Kesiannya. Tak apalah. Allah lebih tahu tentang urusan jodoh kamu. Sabar, usaha, doa dan tawakal. Mungkin ini peluang untuk kamu berbakti sepenuhnya pada mak bapak kamu.

PB : Betul. Itulah Syurga saya.

Akhirnya Pakcik tersebut memohon untuk beransur. Kelihatannya beliau gembira melihat ada orang luar yang sudi datang ke kampung untuk menabur bakti bersama orang disini. Patung Beruang doakan semoga satu hari nanti anak tiri Pakcik pulang ke rumah. Walau bukan untuk selama-lamanya, cukuplah jika sekadar menziarahi, menyambung semula ikatan yang terputus dan melepaskan beban rindu sesama keluarga.

Kisah  3

Sedang leka berbual bersama beberapa pengunjung, Patung Beruang terpandang gelagat seorang pengunjung lelaki yang leka membelek sebuah handbag.

Lelaki : Ni ada beg untuk kau.

Katanya, lantas menghulurkan handbag tersebut pada seorang wanita di sebelahnya.

Wanita : Cantik. Bolehlah pakai.

Reaksi wanita itu sangat teruja. Air mukanya gembira tatkala membelek handbag tersebut.

Handbag itu sederhana sahaja saiznya. Berwarna coklat. Tetapi… Patung Beruang terlihat yang kulitnya mula terkopek sedikit sedikit sehingga mencacatkan rupa handbag itu. Menyebabkan handbag nampak agak bertompok-tompok.

Namun, air muka pasangan tersebut sangat ceria. Seolah-olah ditangan mereka adalah handbag baru berjenama terkemuka. Wanita itu memeluk handbag itu seolah-olah ia adalah barang yang sangat berharga.

Patung Beruang rasa sebak.

Ya Allah, betapa aku selama ini kufur dengan nikmat-Mu. Betapa aku ini kurang bersyukur atas rezeki yang Engkau berikan. Handbag calar sedikit je, Patung Beruang terus masukkan dalam beg kain, dan simpan sahaja didalam bilik. No more untuk dibawa kemana-mana lagi. Rasa bersalahnya…


Alhamdulillah, menjelang tengahari event pun selesai. Patung Beruang dapat ramai sahabat baru. Dan berjumpa juga dengan sahabat – sahabat yang sedia kenal. Jarak memisahkan kami, membuatkan kami hanya dapat bersua muka tatkala ada event-event begini. Terima kasih kepada teknologi kerana dengan aplikasi Whatsapp Group, kami masih lagi dapat berhubung antara satu sama lain dan saling menyebarkan maklumat jika ada event-event begini dianjurkan.

Setelah itu, Patung Beruang mengucapkan selamat tinggal kepada penganjur dan sahabat-sahabat yang lain. Patung Beruang pun mula memandu meninggalkan Simpang Durian. Bertolak untuk pulang ke Melaka.

Jujurnya, Patung Beruang tidak tahu bagaimana jalan untuk ke Melaka. Yang Patung Beruang tahu, Patung Beruang hanya ikut papan tanda ke Kuala Pilah, Tampin. Masih lagi melalui jalan kampung, berliku-liku, jumpa hutan, jumpa ladang, jumpa kebun, jumpa pekan, jumpa gaung, anak sungai dan macam-macam lagi.

Tiba di Tampin, Patung Beruang teruskan perjalanan ke Simpang Ampat dan seterusnya masuk highway Plus untuk keluar di Ayer Keroh. Hampir pukul 2.30 petang Patung Beruang pun selamat sampai di rumah.

Penatnya… Adoi.. Sakitnya pinggang ini, Allah sahaja yang tahu. Lama betul Patung Beruang habiskan masa didalam kereta pada hari tersebut. Takpelah.. Bukan selalu pun, hehe..


Selamat tinggal Simpang Durian. Meninggalkan kenangan semanis durian. Semoga kita berjumpa lagi kemudian… 

Monday, March 13, 2017

Auditor Dan Client ... Love Hate Relationship...

Lama kan rasanya Patung Beruang tidak bercerita tentang dunia audit. Maaflah ye.. Banyak sangat cerita tentang book review lah, kehidupan lah, sampai terlupa nak update tentang audit.

Minggu yang baru lepas ini Patung Beruang ada Audit Kick Off Meeting dengan client. Basically, ia adalah meeting untuk memberitahu yang audit team akan masuk dan review scope yang telah dipersetujui. Ketika meeting ini juga, sesi perkenalan antara audit team dan client dijalankan.

Oh ye, untuk pencerahan, Patung Beruang lebih selesa menggunakan term “Client” berbanding “Auditee”. Kerana auditee itu bermaksud Pihak Yang Diaudit. Ia membawa persepsi dan intonasi yang agak negative seolah-olah pihak disana sangat bermasalah, sebab itulah kita menggelarnya “Pihak Yang Diaudit.”  Dan dengan persepsi atau intonasi yang sebegini negative, kebiasaannya pihak disebelah sana akan bersikap dingin dengan auditor. Mereka akan merasakan yang auditor datang semata-mata untuk mencari kesalahan, datang untuk cari gaduh, datang untuk menjatuhkan seseorang didalam organisasi yang diaudit itu. Akhirnya, ia hanya akan menyulitkan kerja auditor sendiri. Kita susah nak dapat kerjasama dari mereka, susah nak dapat maklumat, susah nak dapat dokumen, dan mungkin ada perkara-perkara penting yang sepatutnya di highlight kan pada auditor untuk tujuan improvement tetapi sengaja disorokkan dari auditor agar bilangan audit findings akan berkurangan.

Sedangkan perkataan “Client” pula bermakna kita menghormati dan menghargai mereka sebagai client, pelanggan kita. Dimana kita sebagai auditor memberi perkhidmatan untuk membantu mereka menambahbaikkan organisasi atau syarikat mereka. Auditor datang sebagai consultant, sebagai partner tetapi bukannya sebagai policeman. Dengan persepsi yang sedemikian, kebiasaannya client akan lebih terbuka untuk menerima auditor. Malah, mereka akan lebih selesa untuk bercerita masalah yang dihadapi di organisasi tersebut dengan harapan auditor boleh tolong highlight pada pihak atasan dan ia diambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. Maka, kedua-dua pihak menang. Auditor senang untuk jalankan tugas dan client juga happy kerana beliau tahu akan ada improvement bakal berlaku disitu pada masa hadapan.

See.. 2 perkataan berbeza, mempunyai intonasi berbeza namun mempunyai kesan yang besar kepada hubungan kedua-dua belah pihak.

Selesai Kick Off Meeting, Patung Beruang terdengar rungutan yang mengatakan audit assignment kali ini bakal menjadi sukar kerana client nampak macam tidak welcome dengan auditor.

Hm… Patung Beruang tidak pasti kebenaran rungutan tersebut. Tetapi sesuatu yang Patung Beruang perasan adalah body language client ketika Kick Off Meeting tersebut berubah-ubah. Ada masanya, body language mereka nampak seperti tidak selesa dan rasa nak cepat habiskan meeting. Tetapi ada masanya body language mereka nampak agak mesra dan seolah-olah nak tahu apa perancangan audit, what is our next step. Dan perubahan body language mereka itu berlaku apabila auditor yang berbeza bercakap didalam meeting tersebut.

Ok, masih terlalu awal untuk Patung Beruang komen tentang client ini. Yang pasti, selepas meeting sehinggalah ke saat ini, setiap kali Patung Beruang terserempak dengan client, Patung Beruang cuba untuk maintain good rapport. Senyum, polite, maintain proper body language and good eye contact. From there, Patung Beruang merasakan mereka mula untuk selesa berkomunikasi dengan kami, dan nampak lebih open. Alhamdulillah. Semoga audit assignment ini berjalan lancar dan add value to our client. Aamiin..

Basically, sepanjang 9 tahun Patung Beruang menjadi auditor (25 Feb 2017 hari tu genaplah 9 tahun, cepatnya masa berlalu….), Patung Beruang jumpa bermacam-macam client. Dari pelbagai lapisan, various position, various background, pelbagai kerenah dan ragam.

Tapi ada satu persamaan untuk semua client tersebut. Apa dia??
Mereka adalah MANUSIA.
Ye, manusia..
Manusia sama macam Patung Beruang. Manusia sama macam kita. Manusia sama macam auditor.

Jadi bila manusia ini secara logiknya, mereka mempunyai hati dan perasaan. Mereka mempunyai persepsi dan tanggapan. Mereka mempunyai pandangan dan pemikiran. Lumrah manusia mereka hendak dihormati dengan selayaknya.

Menjadi auditor atau memakai topi auditor bukan bermakna kita mempunyai kuasa yang besar, sehingga membolehkan kita memperlekehkan orang lain. Tidak. Itu tidak betul.

Menjadi auditor sepatutnya membuatkan kita menjadi manusia yang lebih sensitive kepada persekitaran, manusia yang tahu menghormati orang lain dan manusia yang mempunyai sikap menghargai usaha dan penat lelah orang lain. Ini kerana client kita adalah manusia. Dari tutur kata dan body language dia kita tahu yang dia tidak suka kita. Jadi, bagaimana untuk kita menarik perhatian mereka? Bagaimana untuk kita membeli hati mereka? Selain itu, client kita juga tidak semestinya berjawatan lagi rendah dari kita. Boleh jadi dia mempunyai jawatan yang sama dengan kita atau boleh jadi juga jawatannya lebih tinggi dari kita. Namun, apa pun jawatannya, kita tetap kena hormat dia. Hormat dia sebagai manusia, hormat dia sebagai salah seorang pekerja yang menyumbang kepada syarikat. Ingat, apapun jawatan seseorang itu, dari sekecil-kecil jawatan sehingga ke sebesar-besar jawatan, dia tetap ada sumbangan pada kelansungan hidup syarikat. Setiap tugasan yang dilakukan ada impak yang tersendiri pada syarikat.

Ada beberapa tips yang boleh Patung Beruang kongsikan disini:
  • Client adalah manusia. Layan mereka seperti manusia. 
  • Kita boleh address Mr, Miss, Madam pada mereka. Tak salah pun. Tanda hormat dan formal.
  • Jika rasanya client itu sebaya atau boleh dijadikan kawan, boleh je untuk kita address dia dengan nama. Biasanya Patung Beruang suka panggil nama kalau client tu lebih kurang sama usianya dengan Patung Beruang atau lebih muda dari Patung Beruang.
  • Client terutamanya bahagian operation, mereka sentiasa sibuk. Jadual harian mereka padat. Jadi, jika kita ingin bertemu atau berbincang, tanyalah dahulu bila masanya yang sesuai untuk mereka. Janganlah main terjah sahaja. Kita tidak tahu jika mereka ada ad-hoc task or emergency problems yang perlukan perhatian segera. Bila dah dapat slot time yang sesuai, hantarlah calendar invitation. Kita book siap2 dalam calendar mereka. Mengurangkan risiko client terlupa atau clash dengan appointment lain. Percayalah, client rasa dihargai bila auditor hormat masa mereka.
  • Document dan auditor memang tidak dapat dipisahkan. Definitely kita akan minta document. Janganlah minta secara verbal sahaja. Prepare a list and email to them, give them some time to prepare. Jangan lah email sekarang, lagi 1 jam dah datang minta. Itu mengarut. Unless lah client tu memang cakap document dah ready.
  • Sometimes client terlalu sibuk sampai terlepas pandang akan request kita. Tak salah untuk kita follow up. Auditor jangan lah duduk je depan notebook tu. Bangun dan pergilah ke tempat client, just untuk follow up tanya, everyting yang kita request tu ok ke? Kalau ok, bila boleh dapat? Sometimes mereka ada masalah untuk fulfil our request due to limited manpower, limitation in the system, they don’t fully understand what we need and 1001 reasons. Jadi, dengan follow up, kita akan tahu apa masalah mereka dan kita mungkin boleh explain dengan terperinci apa yg kita nak, or maybe provide ideas to them on how to solve it. Jadi, follow up lah ye. 
  • Air muka, body language and the way we communicate with client are very important. Tak kisah lah ketika audit sedang berjalan atau pun selesainya audit assignment. Patung Beruang biasa je jumpa auditor yang air muka sangat garang, sangat tidak welcoming, muka kerek dan bajet bagus. Berselisih bahu di pantry pun dia buat muka takde perasan. Oh man!!! Who do you think you are? Baru jadi auditor, dah kerek. Janganlah macam tu. Cubalah senyum sikit. Senyum tu kan sedekah. Malah, free pula tu. Kalau terserempak dengan client di pantry mereka, or dalam lift, kita senyum lah. Kalau ingat nama mereka, address lah. It shows that we appreciate them as human being. Bayangkan jika orang yang jarang jumpa kita, tetiba bila terserempak, dia masih ingat nama kita. Kan seronok? Kita rasa macam… Oooo you still remember my name ha…
  • Tidak salah untuk auditor minta pendapat atau input dari client tentang masalah yang mereka hadapi. Sebagai auditor, kita ada banyak angle yang perlu dilihat dan disemak. Namun, jika main terjah je, bimbang jadi audit yang syok sendiri. Tips nya bila kita interview or discuss dengan client, kita boleh tanya apa constraints, obstacles, issues yang mereka hadapi. Sebaiknya kita dapatkan input dari various level. Maksudnya, dari orang bawahan dan juga pihak atasan. Kita lihat samaada input yang diberikan adalah sama ataupun berbeza. Selain itu, cuba buat analysis, dapatkan document yang berkaitan or sample incidents bagi mengukuhkan input dari client tadi. Dan jika benar, memang mereka menghadapi masalah tersebut, sebagai auditor kita lihat apa impak dia. Jika situasi tersebut memberi impak yang significant pada organisasi, or pada process or pada output, we should highlight it in our audit report, escalating to respective parties or decision maker. See.. dah dapat audit findings..
  • Auditor tidak semestinya mahir didalam bidang operasi, teknikal atau industry. Tetapi auditor kena ambil tahu apa yang berlaku di dalam operasi, teknikal dan industry. Maka, ambillah peluang untuk kita belajar dan menyelami sesuatu bidang atau perkara yang diaudit itu. Apabila kita tahu dan faham, barulah kita boleh bantu client dengan beri recommendations yang relevant, practical, valuable untuk tujuan penambahbaikkan. Auditor jangan sombong. Adat orang yang tidak tahu atau kurang ilmu, kena banyak bertanya dan kena merendah diri. Jika auditor sombong dan berlagak, tiada client yang sudi untuk berkongsi ilmu dengan kita. Sometimes, it may look silly questions. But, who cares? Lebih baik kita tanya silly question dari kita membisu tanpa ilmu. Lepas tu, buat pandai sendiri dan jadi ajaran sesat.
  • Auditor dan client tidak boleh berkawan. What????? Betul ke? Hm.. Patung Beruang bukan jenis yang sangat memilih dalam berkawan. Pada pendapat Patung Beruang, tiada masalah untuk auditor dan client berkawan asalkan ia tidak menjejaskan independence kita sebagai auditor. Maksudnya, kawan masih tetap kawan. Tetapi jika ada audit findings yang significant melibatkan dia, kita tetap akan highlight. Niat kita satu, sama-sama bekerja secara professional, demi kebaikan syarikat. Sama-sama nak bantu syarikat. Jadi, tidak timbul isu auditor tidak boleh berkawan dengan client sebab nanti kita bias atau kita tutup mata bila dia buat salah. Auditor dan client masing-masing adalah manusia dewasa yang sepatutnya boleh berfikir dan bertindak secara professional. Malah, Patung Beruang sendiri mempunyai beberapa orang sahabat yang masih lagi berhubung rapat sehingga kini walaupun ada antara mereka telah berlainan organisasi. Dan asal perkenalan kami adalah hubungan auditor dan client. No problem.


Oklah.. begitu lah serba sedikit yang Patung Beruang teringat dan boleh kongsikan disini. Tidak dinafikan, memang ada client yang kita dah buat macam-macam pun, tapi masih lagi dia seronok untuk menjadi client from hell. Tetapi, apa kurangnya dengan auditor? Wujud juga auditor from hell, hehe..  So tak perlulah nak kata-mengata ye..


Basic rules nya senang je. Client kita adalah manusia. Layan lah mereka sebagai manusia. Dalam masa yang sama, auditor bukanlah mempunyai kasta yang lebih tinggi dari client. Jadi, tak perlu nak berlagak sangat seolah-olah kitalah raja didalam organisasi. Berkerjalah secara professional demi kebaikan syarikat…. 

Thursday, March 2, 2017

Kenapa Perlu Menangis???

Assalamualaikum wbt..
Apa khabar semua di hari Khamis ini? Hari ke-2 didalam bulan March 2017. 

Patung Beruang ada cerita yang ingin dikongsikan disini. Peristiwa yang berlaku di pejabat. Sudi nak membaca?

Pagi ini emosi Patung Beruang macam roller coaster. Boleh bayangkan ye bagaimana rupa roller coaster dan bagaimana ia beroperasi.  

Awal pagi, Patung Beruang berdepan dengan masalah kerja. Funny thing is ia baru sahaja pukul 8.30 pagi. Masih awal pagi, huhu..

8.35 pagi Patung Beruang telefon lawyer untuk bertanya tentang invoice, supaya Patung Beruang boleh segera selesaikan pembayaran untuk legal fees. Panggilan Patung Beruang disambungkan kepada assistant lawyer. Ketika di talian, berlaku pertelingkahan antara Patung Beruang dan assistant lawyer yang berpunca dari communication breakdown. Maklumat yang lawyer sampaikan kepada Patung Beruang beberapa minggu lepas contradict dengan apa yang disampaikan oleh assistant lawyer. Akhirnya, secara tidak sengaja Patung Beruang telah menengking assistant lawyer  tersebut di telefon. Menyedari yang Patung Beruang sedang marah, assistant lawyer tersebut bersetuju dengan permintaan Patung Beruang, namun beliau mengatakan yang ia akan memakan masa lagi 2 minggu untuk diproses.

Patung Beruang terus letak telefon dan menangis. Ye, I just cried for a few seconds.

Pukul 9 pagi, Patung Beruang telefon ibu, dengan tujuan untuk memberitahu tentang bill Astro dan juga pembayaran legal fees. Patung Beruang cuba bercakap dengan nada biasa namun Ibu macam dapat detect something. So she asked, kenapa ini? Ada masalah kerja ke? Macam biasalah nak cover line, Patung Beruang cakap je takde apa-apa. But, that time nada suara Patung Beruang dah serak-serak basah. Dah mula sebak. So Patung Beruang cepat-cepatlah tamatkan panggilan telefon.

Elok je letak telefon, Patung Beruang nangis untuk kali ke-2. Aiyo….
Nasib baiklah Patung Beruang seorang diri didalam bilik.

Bila dah tenang sikit, Patung Beruang keluar bilik dan terus menuju ke ladies. Basuh muka serba sedikit dan berfikir,

“Kenapa Patung Beruang menangis? “

“Patung Beruang sedih ke? Kalau bersedih, sebab apa?”

“Atau marah sangat ke Patung Beruang ini? Kalau marah, marah pada siapa sebenarnya? Pada orang di pejabat? Pada lawyer? Pada assistant lawyer? Pada diri sendiri?”

“Apa sebenarnya yang Patung Beruang marahkan sangat?”

Then, Patung Beruang pun kembali ke bilik. Duduk, buat kerja sambil telinga ini disumbat dengan earphone yang mengalunkan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Patung Beruang keeps on listening Surah Al-Fatihah, Al-Kawthar, Al-Waqiah dan Yasin again and again. Sampailah akhirnya Patung Beruang rasa tenang, hilang semua emosi yang pelik-pelik tu.

Bila dah tenang, Patung Beruang terfikir cara terbaik untuk menyelesaikan masalah berkaitan legal fees tu. Masalah kecil je sebenarnya dan boleh diselesaikan pun.

Patung Beruang pun telefon semula assistant lawyer dan inform yang Patung Beruang akan selesaikan payment untuk legal fees pagi ini juga. Then tanggungjawab dia pula untuk expedite the next process. Everything smooth and clear.

Finally, payment pun dibuat secara online transfer dan resit pembayaran pun Patung Beruang dah emailkan pada dia. Now, part Patung Beruang dah selesai. Lepas ini tugas dia lah pula untuk pastikan segalanya in order.

Alhamdulillah, selepas itu sampailah ke petang, Patung Beruang masih kekal tenang dan focus dengan kerja.

Cuma bila difikirkan semula, Patung Beruang pun pelik kenapa Patung Beruang boleh menangis? 

Patung Beruang bukan jenis yang cepat menangis, apatah lagi di ofis. 
Kalau menangis pun selalunya di rumah sambil peluk Bibi... (macam biasa buat je, hehe..)

Lagipun bukannya Patung Beruang kena marah or kena maki ke. 
Jadi, memang peliklah bila Patung Beruang boleh menangis sampai 2 kali just for this simple thing.

Tapi ini lah manusia kan? 
Kadang-kadang, kita ada bebanan emosi yang terperangkap dalam diri. Hanya tunggu masa untuk meletup. Jadi bila sesuatu berlaku, walaupun mungkin benda kecil, we will simply burst tears although logically, we shouldn’t.

Jadi persoalannya disini, apa bebanan emosi yang Patung Beruang hadapi??

Hm…… (keep for myself only.. and Bibi) 


p/s: Setiap kali rasa sedih atau nak marah, Patung Beruang suka dengar atau baca surah Al-Kauthar. Sebabnya, Patung Beruang pernah terbaca yang Surah Al-Kauthar ini adalah surah penghibur hati buat Rasulullah SAW yang bersedih atas kematian dua orang yang dikasihi Baginda iaitu anaknya dan bapa saudaranya. Alhamdulillah, it works for me too.

Book Review: Syarikat Yang Mengubah Dunia (Companies That Changed the World)

Tajuk: Syarikat Yang Mengubah Dunia (Companies That Changed the World)

Penulis: Jonathan Mantle

Penterjemah: Zaleha Abidin

Menariknya Naskah Ini:

Ini adalah buku yang baru sahaja Patung Beruang sudahkan pembacaannya. Basically Patung Beruang mula membaca buku ini pada 31 January 2017. Setelah membaca beberapa hari, tiba-tiba sahaja Patung Beruang rasa nak baca buku lain pula. So, Patung Beruang tinggalkan sebentar naskah ini, dan mulalah menatap buku lain sehingga selesai. 

Beberapa hari ini Patung Beruang nekad untuk menghabiskan pembacaan naskah ini. Baca, baca dan terus membaca sehinggalah selesai. Alhamdulillah. 

Naskah Syarikat Yang Mengubah Dunia adalah terjemahan dari buku asal bahasa Inggeris yang bertajuk Companies That Changed the World. Naskah ini menceritakan kisah kewujudan dan jatuh bangun 50 buah syarikat yang hebat iaitu: 
  1. Syarikat Hindia Timur, bermula tahun 1600 di England
  2. Amsterdam Exchange Bank, bermula tahun 1609 di Belanda
  3. Coalbrookdale Company, bermula tahun 1717 di UK
  4. DuPont, bermula tahun 1802 di AS
  5. Thomas Cook, bermula tahun 1841 di UK
  6. Singer, bermula tahun 1850 di AS
  7. Western Union, bermula tahun 1851 di AS 
  8. Reuters, bermula tahun 1851 di UK
  9. Levi Strauss, bermula tahun 1853 di AS
  10. Central Pacific dan Union Pacific, bermula tahun 1869 di AS
  11. Standard Oil, bermula tahun 1870 di AS
  12. Bell Telephone Company, bermula tahun 1877 di AS
  13. Manchester United FC, bermula tahun 1878 di UK
  14. Eastman Kodak, bermula tahun 1881 di AS
  15. Coca-Cola, bermula tahun 1885 di AS
  16. Johnson & Johnson, bermula tahun 1887 di AS
  17. IBM, bermula tahun 1889 di AS
  18. Ford, bermula tahun 1903 di AS
  19. Hoover, bermula tahun 1908 di AS
  20. British Petroleum, bermula tahun 1909 di UK
  21. Boeing, bermula tahun 1916 di AS
  22. Disney, bermula tahun 1923 di AS
  23. Shenandoah Corporation (Goldman Sachs), bermula di 1929, AS
  24. Unilever, bermula tahun 1930 di UK dan Belanda
  25. King Kullen, bermula tahun 1930 di AS
  26. EMI, bermula tahun 1931 di UK
  27. Allen Lane / Penguin, bermula tahun 1935 di UK
  28. Toyota, bermula tahun 1937 di Jepun
  29. Volkswagenwerk, bermula tahun 1938 di Jerman
  30. Wonderbra / Canadelle, bermula tahun 1939 di Canada
  31. IKEA, bermula tahun 1943 di Sweden
  32. Sony, bermula tahun 1946 di Jepun
  33. Aramco / Tapline, bermula tahun 1948 di AS dan Arab Saudi
  34. Bic / Biro, bermula tahun 1950 di Perancis dan Argentina
  35. Searle, bermula tahun 1961 di AS
  36. Yves Saint Lauren, bermula tahun 1962 di Perancis
  37. Nokia, bermula tahun 1967 di Finland
  38. Nike, bermula tahun 1968 di AS
  39. Intel, bermula tahun 1968 di AS
  40. Virgin, bermula tahun 1969 di UK
  41. Microsoft, bermula tahun 1975 di AS
  42. Apple, bermula tahun 1976 di AS
  43. Body Shop, bermula tahun 1976 di UK
  44. CNN, bermula tahun 1980 di AS
  45. Swatch, bermula tahun 1983 di Switzerland
  46. Eurotunnel, bermula tahun 1987 di Perancis dan UK
  47. Endemol, bermula tahun 1994 di Belanda
  48. eBay, bermula tahun 1995 di AS
  49. Al Jazeera, bermula tahun 1996 di Qatar
  50. Google, bermula tahun 1998 di AS

Banyakkan 50 buah syarikat tu? hehe...
Ada yang biasa kita dengar dan ada yang tidak pernah pun kita dengar. Ada yang masih wujud dan kukuh berdiri pada masa kini dan ada juga yang telah pupus. 

Patung Beruang tidak berminat untuk berkongsi satu atau dua kisah syarikat tersebut kerana boleh dikatakan semua kisah syarikat tersebut sangat menarik. Jadi tidak adil jika hanya satu atau dua syarikat sahaja yang Patung Beruang sebutkan.

Bila diteliti, rupanya banyak lagi perkara dan peristiwa yang Patung Beruang tidak ketahui. Membaca naskah ini seperti membaca buku sejarah yang padat tetapi sangat menarik. Melihat bagaimana ada kalanya idea untuk mewujudkan sesuatu produk atau perkhidmatan itu datang secara spontan, dek kerana tuntutan pada situasi tersebut. Namun, ada juga product atau perkhidmatan yang terhasil setelah melalui perit getir ujian demi ujian. Ada yang mendapat sokongan kerajaan dan masyarakat, dan ada juga yang mendapat tentangan. Ada yang berdiri kerana tipu muslihat, ada juga yang berdiri kerana kejujuran.  

Yang pasti, jika ada yang berminat untuk mengetahui kisah asal-usul sesuatu syarikat, naskah ini adalah pilihan yang terbaik. Walaupun ia adalah naskah terjemahan, kualiti terjemahan karya ITBM tidak perlu dipertikaikan lagi. Sebab itu lah Patung Beruang tidak ragu-ragu untuk recommend buku ini pada sesiapa sahaja yang berminat. Selamat menjelajah ke dunia 50 buah syarikat yang hebat... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...