Tuesday, January 31, 2017

Book Review: Budak Tin

Tajuk: Budak Tin

Penulis: Nazrie Haslieanie

Menariknya Buku Ini:

Patung Beruang pernah terbaca didalam satu artikel mengenai 100 buah novel Bahasa Melayu yang patut dibaca. Dan naskah Budak Tin ini tersenarai didalam Listing tersebut. Jujurnya itu kali pertama Patung Beruang mendengar tajuk Budak Tin

Maka, apabila terpandang naskah ini ketika Jualan Garaj ITBM hari itu, Patung Beruang terus membelinya tanpa berfikir lagi. Ini kerana, hati ini sangat teruja untuk mengetahui apa hebatnya naskah ini sehingga berjaya menembusi Listing tersebut. 

Budak Tin mengangkat Fatin sebagai sebagai watak utama didalam naskah ini. Seorang anak gadis Darjah 6, Fatin adalah kanak-kanak yang bijak. Ibunya, Mak Cik Wani adalah seorang suri rumah. Ayahnya, Encik Husin adalah seorang pekerja yang bertugas untuk memungut tin-tin dan barang-barang kitar semula di kawasan pelupusan sampah. Fatin mempunyai seorang adik yang bernama Ija. 

Pekerjaan ayahnya memungut barang-barang kitar semula menyebabkan Fatin sering menjadi mangsa usikan rakan-rakan disekolah. Dan dari situ lah timbulnya nama gelaran Budak Tin. 

Bagi Fatin, semua pekerjaan adalah mulia selagi ia halal dan tidak menyalahi norma masyarakat serta agama. Malah Fatin berbangga dengan pekerjaan ayahnya kerana merasakan yang ayahnya membantu menjaga alam sekitar dengan cara mengitar semula bahan-bahan buangan. Maka, dengan itu Fatin mempunyai satu impian apabila dewasa nanti iaitu untuk membuka pusat kitar semula bagi menggalakkan lagi masyarakat untuk turut sama menjaga alam sekitar. 

Rumah Encik Husin berjiran dengan Encik Amat. Kebetulan, Encik Amat mempunyai anak lelaki yang sebaya dengan Fatin, iaitu Darius. Darius berperwatakan degil dan sombong. Malah, Darius tidak segan silu untuk mengejek dan menghina Fatin walau dimana sahaja termasuklah di sekolah. 

Ejekan Darius menyebabkan Fatin hilang sabar dan akhirnya tercetuslah pertengkaran kecil didalam kelas. Kedua-duanya dipanggil guru disiplin dan dihukum. 

Namun, pertengkaran itu tidak berakhir disitu.

Ketika pulang dari sekolah, sekali lagi tercetus pertengkaran antara Fatin dan Darius sehingga menyebabkan Darius terpaksa dihantar ke hospital. Keadaan semakin sukar, sehingga menimbulkan kemarahan kepada Encik Amat. 

Apakah kesudahan kisah Fatin dan Darius?

Benarkah yang pekerjaan Encik Husin itu sangat hina sehingga anak dan isterinya turut terkena tempiasnya? 


Perkara menarik didalam naskah ini adalah ceritanya sangat simple dengan gaya bahasa yang simple. Kisah budak berumur 12 tahun, yang matang berfikir dan bijak. Sangat prihatin dengan alam sekitar dan berbangga dengan pekerjaan ayahnya walau sering diperlekeh oleh orang lain.  Malah, pemikirannya yang jauh kedepan telah menyelamatkan rumahnya dari dimasuki pencuri walaupun pada awalnya, buah fikirannya itu ditentang oleh orang kampung dengan alasan dia hanyalah seorang kanak-kanak yang mentah. Itulah kisahnya Budak Tin yang genius.. 

Sunday, January 8, 2017

2017: Perancangan Patung Beruang

Assalamualaikum.. 

Selamat datang kepada 2017.. Sudah masuk seminggu kita melangkah ke tahun baru. Betapa masa begitu cepat berlalu. 

Hari ini Patung Beruang dapat parcel dari Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Ini adalah parcel buku pertama yang Patung Beruang terima untuk tahun ini, Alhamdulillah. 

Seronok rasanya dapat shopping buku, hehe.. Kali ini Patung Beruang beli 9 buah buku sempena jualan garaj ITBM hari tu. 

Banyak tawaran yang sangat menarik sehingga susah Patung Beruang nak pilih buku mana yang nak dibeli. 

Seperti biasa, Patung Beruang lebih senang beli secara online berbanding datang sendiri ke kedai. Jimat masa, petrol dan toll, hehe.. Pilih, bayar dan tunggu sahaja courier datang hantar sampai ke ofis ataupun rumah. 

Ini adalah kali ke-2 Patung Beruang beli buku di ITBM. Kali pertama hari tu Patung Beruang beli lebih kurang 9-10 buah buku juga lah. Semenjak dua menjak ini Patung Beruang jatuh cinta dengan karya terbitan ITBM. Mereka sangat menjaga kualiti dan yang penting tiada naskah cinta murahan atau cinta yang tidak berpijak dibumi nyata...Opss... 

Patung Beruang membesar dengan buku-buku terbitan DBP. Sebab itu, Patung Beruang sangat cerewet untuk membeli naskah fiction dari penerbit lain kerana banyaknya tidak memuaskan hati atau jalan ceritanya mengarut. Dan nampaknya ITBM mampu memuaskan hati Patung Beruang, hehe.. 

Selain itu, Patung Beruang seronok membaca naskah sastera dari negara lain tetapi telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Dan kualiti terjemahan ITBM tidak perlu diragui. Melalui naskah terjemahan ini Patung Beruang dapat mengenali budaya dan kehidupan masyarakat disana. Ibarat melancong tanpa perlu menaiki kapalterbang. 

Baiklah, kita tinggalkan dahulu cerita ITBM ini ye.. 

Apa azam untuk tahun 2017 ini?

Hm.. Sebenarnya Patung Beruang tidak pasti ada azam atau tidak untuk tahun 2017 ini. Yang pasti, Patung Beruang ada perancangan yang jelas dan teliti untuk tahun ini. Samaada rancangan besar ataupun kecil. 

Patung Beruang tidak tahu jika perancangan itu juga boleh diibaratkan seperti azam. 

Hm.... Perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu ini adakalanya sangat memeningkan Patung Beruang, huhu... 

Untuk tahun 2017 ini, yang paling utama adalah Patung Beruang nak berhijrah. Selama ini Patung Beruang terpaksa tahan keinginan ini kerana beberapa halangan. Dan kini, satu persatu halangan tersebut telah Patung Beruang selesaikan. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Allah kerana sentiasa mendengar rintihan hamba-Mu yang lemah dan jahil ini. Kini Patung Beruang perlu berusaha untuk memastikan ia menjadi kenyataan. Basically, Patung Beruang dah sediakan list of task dan milestone. Apa dan bila yang perlu Patung Beruang lakukan. In shaa Allah, selagi Patung Beruang berusaha dan memohon pada Allah, pasti Allah tidak akan kecewakan kita. Namun, jika ia tidak menjadi kenyataan, percayalah yang Allah ada perancangan yang lebih baik untuk Patung Beruang. 

Yang ke-2, Patung Beruang dah sediakan hadiah yang besar untuk keluarga Patung Beruang. Apa dia? Hm... Maaf, Patung Beruang tidak mahu berkongsi disini. Yang pasti, selepas ini Patung Beruang dah rasa lega sangat-sangat dan jika tiba-tiba Allah panggil Patung Beruang untuk pulang, Patung Beruang redha. Kerana Patung Beruang yakin yang diri ini dah berusaha sedaya upaya untuk melindungi mereka walaupun tatkala Patung Beruang sudah tidak bernafas lagi. 

Yang ke-3, Patung Beruang nak pelbagaikan portfolio kewangan Patung Beruang. Thanks a lot to Baby Boss kerana banyak berkongsi ilmu, tips dan strategi dengan Patung Beruang. Malah Patung Beruang juga sudah siapkan strategi planning untuk tahun ini yang mengambilkira faktor semasa ekonomi dan trend market. In shaa Allah, jika Patung Beruang disiplin dan mengetepikan faktor emosi, hasilnya boleh dilihat dalam tahun ini juga. Finally, Patung Beruang jumpa common interest between Patung Beruang dan Baby Boss. Tak sangka kan dah nak masuk 9 bulan kami kenal antara satu sama lain. Kami selalu bertukar cerita tetapi topik kegemaran kami adalah finance and economy. Dan perkara yang Patung Beruang suka tentang Baby Boss adalah beliau tidak kedekut untuk berkongsi ilmu. Tanya je lah apa pun, selagi masih dalam topik finance and economy, he will extremely happy to share with you. Arigatogozaimas Baby Boss..    

Ok, basically itulah 3 perancangan besar yang Patung Beruang sudi untuk kongsikan disini. Ada juga perancangan lain tetapi agak peribadi untuk dicatat disini. Maafkan Patung Beruang ye. 

Oh ye, dalam masa yang sama, Patung Beruang juga berusaha untuk membaca lebih banyak buku dari tahun lepas. Dan cuba untuk pelbagaikan genre. Antara faktor yang membuatkan Patung Beruang excited untuk membaca adalah rak buku baru yang masih banyak lagi ruang kosong serta sekotak penuh buku-buku yang baru dibeli tetapi masih belum dibaca. Adoi.... Harap-harap tercapailah ye. Aamiin.. 

Baiklah, hari pun dah lewat malam ini. Rasanya cukuplah dulu sampai sini ye. In shaa Allah, nanti Patung Beruang bercerita lagi. Assalamualaikum... 

Saturday, January 7, 2017

Book Review: Namaku Bukan Maria

Tajuk: Namaku Bukan Maria

Penulis: Ibnu Ahmad Al-Kurauwi

Menariknya Buku Ini:

Baiklah, seperti yang dijanjikan, ini adalah buku ke-3 yang Patung Beruang sudahkan pembacaannya pada tahun 2017 ini. Alhamdulillah.. 

Naskah Namaku Bukan Maria membawa kita mengenali Maria Hertogh ataupun Natrah, seorang anak Belanda yang kini menjadi anak angkat kepada Che Aminah dan menetap di Kemaman, Terengganu. 

Pada asalnya, Natrah menetap di Bandung, Indonesia bersama-sama dengan keluarga kandungnya. Pada masa itu, Indonesia sedang berperang dan askar Jepun seringkali menggeledah mencari rakyat Belanda untuk dikorbankan. 

Keluarga kandung Natrah berjiran dengan Che Aminah. Dan Che Aminah banyak membantu mereka dari segi kewangan, makanan serta perlindungan. Memandangkan Che Aminah bertugas sebagai penterjemah di Atase Jepun, maka beliau mempunyai kedudukan yang tinggi di mata askar Jepun. Dan ia banyak membantu dalam usahanya untuk melindungi Natrah sekeluarga. 

Semenjak kecil Natrah rapat dengan Che Aminah yang tidak mempunyai anak. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi menyebabkan Che Aminah nekad untuk menjadikan Natrah sebagai anak angkatnya secara sah dan mempunyai semua dokumen yang diperlukan. 

Setelah urusan kerja dan perniagaannya di Bandung selesai, Che Aminah membawa pulang Natrah ke Kemaman, Terengganu untuk menetap disana. Natrah bukanlah anak angkatnya yang pertama. Sebelum ini Che Aminah telah mengambil Kamariah, seorang anak Jepun sebagai anak angkatnya. Dan kini Kamariah telah dewasa, berkahwin dengan lelaki Melayu, mempunyai anak dan menetap terus di Kemaman, berhampiran dengan rumah Che Aminah. 

Kedatangan Natrah ke Kemaman menarik perhatian masyarakat tempatan. Semuanya hairan bagaimana seorang anak Belanda boleh tercampak ke kawasan kampung. Lumrah manusia dimana hati mereka berbeza-beza, kedatangan Natrah disambut baik namun ada juga yang mengeji dan meragui tentang niat sebenar kehadiran Natrah itu. 

Natrah diberi pendidikan secukupnya samaada ilmu dunia dan juga akhirat. Otaknya yang cerdas membuatkan Natrah cepat menangkap segala yang dipelajarinya di sekolah juga di madrasah. Prestasi yang cemerlang, akhlak yang baik dan taat beribadah membuatkan Natrah sentiasa disayangi oleh para guru dan rakan-rakannya. 

Dalam masa yang sama, Natrah diintai oleh dua jejaka yang berbeza perwatakan namun mempunyai kelebihan yang tersendiri. Abdul Ghaffar atau dipanggil Bilal Muda adalah abang kepada kawan baik Natrah iaitu Mek Amah. Abdul Ghaffar datang dari keturunan yang baik-baik, lengkap ilmu agamanya dan sering diberi kepercayaan oleh Tok Guru untuk memimpin bacaan tahlil atau solat samaada sunat atau fardhu. Abdul Rahman pula adalah pemuda tampan yang mempunyai bakat lukisan yang sangat hebat. Ilmu agamanya sangat kurang dek kerana keegoan ayahnya, Pak Akob yang merasakan agama itu tidak penting didalam kehidupan seharian. Ibadah yang diwajibkan kepada orang Islam tidak pernah dilakukan oleh dua beranak ini. 

Namun ketenangan hidup Natrah di Kemaman akhirnya diuji apabila pembesar Inggeris yang baru dilantik, Arthur Lock menyedari kewujudannya. Termakan dengan hasutan Pak Akob, Arthur Lock nekad untuk memisahkan Natrah dari Che Aminah dan seterusnya menghantarnya pulang ke Belanda. 

Berjayakah cita-cita Arthur Lock itu?

Atau mungkinkah jodoh Natrah dan Che Aminah masih panjang?


Naskah Namaku Bukan Maria ini agak menarik kerana ia menonjolkan sisi lain watak Natrah yang terkenal pada suatu masa dahulu. Kisah nyata yang berlaku di Singapura. Dalam naskah ini pembaca dibawa kepada kehidupan Natrah di Kemaman, cabaran yang dihadapinya terutama apabila berdepan dengan persepsi negatif masyarakat Melayu disana. 

Turut diceritakan betapa tabahnya Natrah dalam berusaha menjadi Muslim yang baik dan dalam masa yang sama cuba sedaya-upaya untuk melupakan identiti Maria Hertogh yang dipegangnya semenjak lahir. Baginya, Natrah dan Maria adalah 2 orang yang berbeza. Dan kini, Maria tidak lagi wujud, hanya Natrah sahaja. 

Patung Beruang suka dengan perincian kehidupan di kampung pada zaman itu yang ditonjolkan oleh penulis. Bersekolah pada waktu siang, dan belajar mengaji pada waktu malam di Madrasah. Seterusnya belajar dan berlatih silat bersama guru silat dan rakan-rakan sekampung. Dikelilingi sungai, laut serta kehijauan yang masih belum tercemar. Batasan pergaulan antara lelaki dan wanita yang sangat terjaga. Semuanya seolah-olah membawa pembaca kembali ke masa lampau. Naskah yang sangat menarik untuk ditatap... 

Book Review: False Impression

Tajuk: False Impression

Penulis: Jeffrey Archer

Menariknya Buku Ini:

Baiklah, ini adalah buku ke-2 yang Patung Beruang baca dan habiskan untuk tahun 2017 ini. 

Dan oleh kerana buah tangan Archer ini sangat mengujakan, Patung Beruang hanya mengambil masa selama 12 jam sahaja untuk menghabiskan pembacaan. 

Memang layaklah Archer menduduki takhta di hati ini. Menatap karya Archer kali ini ibarat berdating dengan Woo Bin. Patung Beruang boleh duduk sepanjang hari menatap wajahnya tanpa bersuara walau sebutir pun. (p/s: Dahsyat betul penangan mamat korea yang sorang ni kan, huhu..) 

Baiklah, kita tinggalkan dulu kisah Woo Bin dan kita mulakan pengembaraan ciptaan Archer ye. 

False Impression ini mengisahkan Dr Anna Petrescu, kelahiran Romania dan kini adalah pakar karya seni lukisan yang berkhidmat dengan Fenston Finance. Fenston Finance, kepunyaan Bryce Fenston, adalah salah sebuah institusi kewangan yang terkemuka di US. 

Bryce Fenston, lelaki kelahiran Romania adalah seorang lelaki yang licik dan kejam. Fenston Finance kerap menawarkan pinjaman kewangan kepada golongan kaya samaada di US atau di luar US. Namun, motif sebenarnya adalah untuk merampas kekayaan clientnya dan juga mengumpul karya seni hasil lukisan tokoh-tokoh terkenal dengan percuma. Dan karya-karya seni itu biasanya adalah hasil rampasan dari aset client Fenston Finance. 

Fenston Finance baru sahaja menawarkan pinjaman kepada Lady Victoria Wentworth, seorang aristokrat terkemuka di England. Setelah kematian ayahnya,  Sir Wentworth, Lady Victoria dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perniagaan dan aset keluarga, disebabkan statusnya sebagai kakak kepada pasangan kembarnya Lady Arabella. 

Namun, Lady Victoria tidak dapat memulihkan kewangan keluarga. Akhirnya, beliau terjerat dengan hutang yang sangat tinggi. Dan pada ketika inilah Fenston Finance datang menawarkan bantuan. Namun, tanpa disedari niat sebenar Bryce Fenston adalah untuk memiliki lukisan Self-Potrait With Bandaged Ear, karya Van Gogh yang sangat bernilai, yang kini milik mutlak keluarga Lady Victoria. 

Dr Anna Petrescu menyedari niat jahat Bryce Fenston. Tanpa membuang masa, beliau merancang untuk bertemu dengan Lady Victoria bagi menerangkan keadaan dan dalam masa yang sama merangka strategi untuk menggagalkan rancangan Fenston. 

Tanpa diketahui, rupa-rupanya Lady Victoria telah dibunuh dikediamannya oleh Krantz, seorang pembunuh upahan wanita yang terkenal di Romania. Malah, pembunuhan Lady Victoria adalah salah satu rancangan Fenston bagi memastikan karya Van Gogh itu jatuh ke tangannya. 

Pertemuan Dr Anna Petrescu dan Lady Arabella, kembar Lady Victoria telah merungkai misteri yang menyelubungi kematian Lady Victoria. Lady Arabella bersetuju dengan rancangan Dr Anna Petrescu untuk memastikan yang aset keluarganya termasuk karya Van Gogh tidak jatuh ke tangan Fenston. 

Dalam masa yang sama, kematian beberapa orang jutawan dan pelanggan Fenston Finance sebelum Lady Victoria telah menarik perhatian FBI. Oleh itu, FBI menghantar Jack Delaney bagi mengintip gerak-geri Dr Anna Fenston kerana merasakan yang beliau adalah salah seorang suspek atas kes-kes kematian tersebut. 

Pengintipan Jack Delaney tidak lama untuk menyedari yang suspek sebenarnya adalah Bryce Fenston dan orang kanannya, Leapman dan bukannya Dr Anna Petrescue. 

Kini, setiap watak saling mengejar antara satu sama lain. Dr Anna Petrescue mendapat bantuan dari Lady Arabella dan juga Mr Nakamura (jutawan terkemuka Jepun dan juga pencinta karya seni) untuk menggagalkan rancangan Bryce Fenston. Fenston dan Leapman pula menyedari rancangan Dr Anna Petrescue dan dengan itu mengupah Krantz untuk membunuh Dr Anna Petrescue dan mencuri karya Van Gogh. Dan Jack Delaney pula berusaha melindungi Dr Anna Petrescue kerana beliau sendiri tidak tahu apa rancangan Dr Anna yang seterusnya. Dan adegan kejar-mengejar ini membawa mereka ke negara-negara lain seperti Romania, England dan Jepun, selain dari US sendiri. 



Ok, Patung Beruang tak nak tulis apa ending False Impression ini sebab nanti tak suprise lah kan. 

Selain dari kisah perebutan lukisan Self-Potrait With Bandaged Ear yang sangat bernilai ini, Archer juga menyelitkan cerita ini dengan peristiwa 11 September yang berlaku suatu masa dahulu. Dimana dalam novel ini, Dr Anna Petrescue digambarkan sebagai salah seorang mangsa yang dikenalpasti sebagai hilang dan seterusnya dianggap telah meninggal dunia akibat dari peristiwa 11 September. Dan statusnya sebagai individu yang telah meninggal dunia pada mulanya berjaya mengaburi mata Byrce Fenston dan Leapman. Namun, kebenaran statusnya terbongkar apabila Leapman memasang pepijat di telefon rumah Tina, setiausaha Fenston dan juga rakan baik Dr Anna. Dari situ lah, mereka menyedari yang Dr Anna masih lagi hidup dan sering berhubung dengan Tina bagi memaklumkan perkembangan strateginya untuk menggagalkan usaha Fenston. 

Lagi satu, pengembaran dan perlumbaan ini digambarkan sebagai sangat singkat. Archer merekodkan tarikh 10 September sebagai permulaan cerita dan mengakhiri segala babak dan peristiwa yang berlaku pada 26 September, tahun yang sama. Maka, segala misteri terungkai dalam masa 16 hari sahaja. 

Membaca novel ini seolah-olah seperti menonton filem Hollywood. Adrenalin sentiasa berlumba-lumba didalam badan ini, hehe.. Satu perkara yang Patung Beruang suka tentang Archer adalah beliau suka menyelitkan elemen surprise didalam setiap karyanya. 

Dan untuk False Impression ini, elemen surprise yang paling ketara adalah sebenarnya lukisan Self-Potrait With Bandaged Ear tidak pernah meninggalkan kediaman Lady Victoria walaupun Dr Anna, Krantz dan Jack Delaney saling kejar-mengejar antara US, England, Romanian dan Jepun. Dr Anna berjaya memberi persepsi yang lukisan itu sentiasa berada ditangannya sehingga menyebabkan beberapa orang yang tidak berdosa terkorban di tangan Krantz seperti pemandu peribadi Mr Nakamura dan Sergei, pemandu peribadi Dr Anna ketika di Romania. Selain itu, elemen surprise yang paling menarik adalah identiti sebenar Tina yang bekerja sebagai setiausaha Fenston, yang disangka sebagai orang yang tidak akan sekali-kali mengkhianati Fenston, huhu.. 

Friday, January 6, 2017

Book Review: A Mother's Tears

Tajuk : A Mother's Tears

Penulis: Soo Cham

Penterjemah: Maimunah Abdul Kadir

Menariknya Buku Ini:

Selamat Tahun Baru 2017. Untuk pengetahuan, ini adalah buku pertama yang Patung Beruang habiskan pembacaan pada tahun 2017 ini. Setakat 6hb ini, Patung Beruang sudah berjaya menghabiskan 3 buah buku termasuklah buku ini. In shaa Allah, Patung Beruang akan kongsikan satu persatu book review disini. Sabar lah ye.. 

A Mother's Tears membawa kita mengenali Sui Yin, seorang gadis berketurunan Cina tetapi beragama Islam. Ibu dan ayah Sui Yin adalah pasangan Cina yang berhijrah dari Tanah Besar Cina ke Semenanjung Tanah Melayu bagi mencari penempatan yang lebih baik disamping mengukuhkan ekonomi keluarga. 

Sui Yin adalah anak bongsu. Mempunyai beberapa orang abang dan kakak diatasnya. 

Ibu dan ayah Sui Yin diuji apabila 3 orang anak mereka yang pertama meninggal dunia semenjak kecil lagi. Ada yang meninggal dunia kerana sakit ada juga kerana kemalangan. Ini membuatkan mereka nekad untuk menghantar 2 orang anak perempuan yang terlahir kemudian, pulang dan membesar di Tanah Besar Cina. 

Pada mulanya ibu dan ayah Sui Yin membuka perniagaan kedai runcit di perkampungan Melayu di Negeri Sembilan. Namun, perniagaan mereka tidak maju kerana sikap ayah yang suka berjudi. Hanya tinggal ibu sahaja (yang dipanggil Abu) menguruskan kedai runcit disamping bertani dan menternak haiwan seperti ayam dan itik secara kecil-kecilan. Kehidupan Sui Yin dan keluarga tidak mewah mana seperi kebiasaannya keluarga Cina yang lain. Kehidupan mereka sama sahaja seperti kehidupan masyarakat Melayu di kampung. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 

Disebabkan hidup dikelilingi masyarkat Melayu, keluarga Sui Yin sangat rapat dan memahami cara hidup Melayu. Dan akhirnya, 2 orang abang Sui Yin iaitu Ah Yong dan Ah Chin memeluk agama Islam dan seterusnya berkahwin dengan gadis Melayu. 

Malang sekali walaupun Islam tidak pernah mengajar penganutnya memutuskan silaturrahim terutama sekali kepada ibu bapa, namun Ah Yong dan Ah Chin bertindak sebaliknya. Setelah memeluk Islam dan berkahwin, Ah Yong dan Ah Chin seolah-olah seperti melupakan Abu dan Sui Yin. Mereka nekad untuk tidak pulang ke rumah walaupun pada Tahun Baru Cina. Maka, selama bertahun-tahun, Abu dan Sui Yin hanya meraikan Tahun Baru Cina berdua sahaja dan menangis bersama mengenangkan tiada ahli keluarga lelaki yang sudi untuk pulang ke rumah beraya. 

Disebabkan Ah Yong dan Ah Chin seolah-olah melepaskan tanggungjawab sebagai anak lelaki, maka Sui Yin lah yang bertanggungjawab untuk menjaga Abu dalam keadaan beliau bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa dan tidak mempunyai kediaman yang selesa. Kemuncak daripada keperitan mereka adalah apabila Sui Yin terpaksa menghantar Abu ke rumah orang-orang tua bagi memastikan Abu memperolehi kehidupan yang lebih selesa dan selamat. 

Dalam masa yang sama Abu asyik mendesak Sui Yin agar menghantarnya pulang ke Tanah Besar Cina. Semuanya gara-gara Abu merasakan yang anak-anak lelakinya sudah melupakannya, oleh itu, tiada gunanya Abu terus tinggal di Malaysia walaupun kehidupan di Malaysia lebih terjamin berbanding disana. 

Dapatkah Sui Yin memenuhi permintaan Abu? 

Apakah kesudahan kehidupan Abu, kematian suami dan ditinggalkan oleh anak-anak lelaki yang sepatutnya menjadi tulang belakangnya? 


Menatap naskah A Mother's Tears membawa kita kepada isi hati seorang ibu yang rela berkorban apa sahaja demi membesarkan anak-anak namun tatkala usia semakin senja, kehidupannya sangat sunyi malah dibuang dan diketepikan pula oleh anak-anak. Benarlah kata pepatah, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu. 

Patung Beruang paling terkesan dengan babak apabila Abu dihantar ke rumah orang-orang tua. Peristiwa tersebut bukan sahaja mengecewakan Abu namun juga mengecewakan Sui Yin.

Sebagai anak bongsu dan anak perempuan pula, pembaca akan dapat meneliti betapa kecewanya Sui Yin terhadap kedua-dua abangnya, Ah Yong dan Ah Chin yang memutuskan kasih sayang dan tanggungjawab mereka terhadap Abu hanya dengan alasan mereka telah memeluk agama Islam. Walaupun akhirnya, Sui Yin juga memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Sakura, Sui Yin menyedari yang beliau tetap mempunyai tanggungjawab terhadap Abu. Dan atas rasa tanggungjawab itu lah, Sui Yin melakukan apa sahaja untuk membahagiakan Abu walau dirinya sendiri terseksa. 

Sikap Ah Yong dan Ah Chin itu sekaligus menyebabkan Abu merasakan yang Islam itu adalah agama yang kejam kerana memisahkan kasih sayang antara anak dan ibunya. Dan tidak hairanlah, persepsi tersebut masih lagi wujud pada masa sekarang, dialam nyata oleh mereka yang bukan Islam, kerana masih lagi terdapat individu yang bersikap seperti Ah Yong dan Ah Chin. Islam itu tidak salah. Tetapi penganutnya yang salah laku. 

Banyak emosi didalam naskah ini. Dan sebab itulah tajuknya A Mother's Tears. Kiranya, sangat berbaloi Patung Beruang memilih buku ini sebagai buku pertama yang dibaca untuk tahun baru ini. Naskah yang sangat berpijak dibumi nyata. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...