Tuesday, August 13, 2013

Book Review: Tuesdays With Morrie



Tajuk: Tuesdays With Morrie

Penulis: Mitch Alborn

Sinopsis & Menariknya Buku Ini:

Ini adalah buku ke-2 nukilan Mitch Alborn (Mitch) yang ada dalam simpanan Patung Beruang. Selepas Patung Beruang membaca For One More Day, Patung Beruang rasa tidak sabar untuk membaca karya-karya Mitch yang lain. Mitch adalah antara penulis yang paling jujur, yang pernah Patung Beruang temui.
Tuesdays With Morrie (TWM) adalah kisah bagaimana Prof. Morrie Schwartz (Prof. Morrie) menghabiskan hari-hari terakhir hidupnya dari kaca mata Mitch. Prof. Morrie adalah pensyarah yang paling rapat dengan Mitch ketika beliau dialam universiti. Prof. Morrie banyak mempengaruhi hidup Mitch sehingga pada satu ketika Mitch bertekad untuk menjadi seorang insan yang berkeperibadian luhur, penuh dengan kasih sayang, menghargai setiap orang dan makhluk yang ada disekeliling hidupnya, tidak mengejar kekayaan wang ringgit dan harta tetapi kekayaan jiwa dan raga.

Namun, apabila tamat universiti, alam pekerjaan telah mengubah hampir keseluruhan hidup Mitch. Tuntutan kerjaya yang sibuk ditambah godaan materialistik seakan menjadi motivasi kepada Mitch untuk mendaki puncak karier dengan bersungguh-sungguh. Dalam usia yang muda, Mitch boleh berbangga dengan pencapaian kerjaya dan kedudukannya.

Sehinggalah pada satu malam, ketika Mitch menonton television yang menyiarkan temu ramah dengan seorang tokoh akademik, Mitch mula menyedari yang tokoh tersebut adalah Prof. Morrie. Insan yang banyak berjasa dan amat disayanginya ketika beliau di alam universiti. Prof. Morrie pada ketika itu kelihatan uzur akibat Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) yang mula memamah jasad beliau.

Mitch mula menjejaki semula Prof. Morrie dan pertemuan antara seorang pelajar dan pensyarah bermula semula dimana ia menjadi rutin mingguan yang diadakan setiap hari Selasa. Pada setiap pertemuan, Prof. Morrie memberi kuliah peribadi kepada Mitch cuma kuliah kali ini diadakan tanpa silibus yang telah diatur, tanpa peperiksaan, kerja kursus, pembentangan dan tiada gred yang akan diberikan.

Sessi dua hala yang dijalankan pada setiap Selasa dimanfaatkan sepenuhnya oleh si pelajar untuk mengadu masalah kehidupan dan jiwa raganya. Si pensyarah pula yang sentiasa setia mendengar segala keluhan dan rungutan, memberi kata-kata perangsang, pandangan, ilmu dan teguran kepada si pelajar. Kuliah tersebut mula memberi kesan kepada si pelajar dimana beliau mula merasakan hidup ini sebenarnya terlalu singkat untuk dibazirkan dengan tuntutan material semata-mata sehingga jiwa seseorang itu menjadi kosong dan tidak ubah seperti robot.

Gaya penulisan Mitch berjaya membuatkan sesiapa sahaja yang membaca TWM turut sama merasa segala perasaan yang ada didalam buku tersebut. TWM sarat dengan emosi. Ada ketika Patung Beruang tersenyum dan tergelak sendirian sambil menelaah baris demi baris ayat tetapi dimasa yang lain air mata ini mengalir tanpa disedari dek simpati pada kesakitan yang ditanggung oleh Prof. Morrie ataupun kerana rasa terharu dengan kekuatan semangat dan ketabahan jiwa Prof ini.  

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...