Sunday, February 26, 2012

Book Review: Kala Cinta Dan Wahyu Bersatu


Tajuk: Kala Cinta Dan Wahyu
Bersatu

Penulis: A.Ubaidillah Alias

Sinopsis:
Amir Mukhlis adalah lelaki lulusan Al-Azhar yang diduga dengan luahan perasaan cinta dari beberapa wanita yang setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri. Digambarkan sebagai seorang lelaki yang tegas dalam mempertahankan pendirian dan prinsip hidup yang bertunjangkan Islam, Amir cuba sedaya-upaya untuk tidak lalai dengan wanita-wanita disekelilingnya.

Wardah adalah wanita pertama yang bertakhta di hati Amir. Kenangan zaman persekolahan benar-benar memberi kesan kepadanya hingga ke akhir hayat. Namun begitu, panggilan Ilahi terlebih dahulu menjemputnya sebelum dia mendapat
kepastian adakah cintanya terhadap Amir berbalas. Wardah pergi dengan meninggalkan amanah kepada Tasnim, rakan yang paling akrab sedari dulu demi
menagih jawapan dari Amir Mukhlis.

Tanpa diduga, perkenalan di Bengkel Penulisan telah menemukan Tasnim bersama Amir Mukhlis, lelaki yang padanya tersimpan jawapan kepada amanah yang diberikan oleh Wardah. Ditemukan kerana persamaan minat ditambah dengan kekaguman diatas prinsip yang didukung oleh Amir telah membuatkan Tasnim mula menyimpan perasaan terhadap lelaki ini.

Amelia, seorang doktor gigi merangkap sepupu Amir, telah mula menyimpan perasaan terhadap lelaki ini sedari awal lagi. Menyedari segala kelebihan yang ada pada Amir membuatkan keluarga Amelia dan Amir amat berharap agar dua insan ini disatukan dengan restu Ilahi.

Balqis, gadis yatim piatu yang dijaga sepenuhnya oleh Abu Bakar, abangnya, pulang ke Malaysia dengan membawa segulung ijazah serta perasaan cinta yang terpendam buat Amir Mukhlis, senior yang dikenalinya ketika menuntut di Al-Azhar. Balqis menyangka lelaki itu telah menemui Ilahi akibat daripada penyakit yang dideritai dan hampir-hampir menerima pinangan Izzudin, lelaki yang setia menunggunya semenjak di bumi Mesir lagi. Sajak yang dikarangnya memberi kekuatan untuk mengharungi cerita kehidupan dan cinta di alam nyata.

Kekuatan Karya Ini:
Kekuatan Kala Cinta Dan Wahyu Bersatu (KCDWB) terletak pada watak utama Amir Mukhlis dan juga watak-watak lain seperi Balqis, Tasnim dan Amelia yang dikembangkan dengan sebaiknya oleh penulis. Setiap watak diberi penonjolan yang sama rata dan dengan itu pembaca akan sedar bahawa semua watak adalah penting kepada jalan cerita yang hendak disampaikan.

Selain itu, penulis berjaya menyampaikan mesej dimana didalam kehidupan yang serba mencabar, dikelilingi oleh masyarakat yang terlalu mementingkan duniawi, keruntuhan akhlak masyarakat yang semakin parah, masih terdapat generasi muda yang bersemangat waja dalam mendukung cara hidup Islam tanpa mengabaikan soal keduniaan yang penting seperti ilmu dan kewangan. Penulis berjaya menonjolkan lulusan jurusan agama juga mampu untuk berjaya didalam bidang lain seperti pengurusan dan perniagaan, sama seperti jurusan akademik yang lain. Dan kelebihan mereka berbanding lulusan akademik yang lain adalah mereka mempunyai asas agama yang kukuh, yang mampu menjadi benteng untuk mereka menempuh kehidupan yang penuh panca roba.

Di samping itu, penulis berjaya menggambarkan kekuatan cinta Balqis terhadap insan yang bergelar suami lewat bait-bait puitis sajak yang dikarangnya;
Suamiku,
Cintaku adalah lautan yang airnya tidak akan kekeringan sekalipun kemarau
melanda. Cintaku adalah waktu yang akan berdetik sepanjang zaman. Cintaku
adalah udara yang akan kau sedut sekalipun di bawah sedar. Cintaku adalah
mentari dikala siang dan bulan dikala malam, yang akan setia memerhatikanmu.
Cintaku adalah cinta yang tidak akan dibiaskan oleh mana-mana kekuatan kecuali
tuhan. Cintaku adalah kesetiaan yang abadi. Akan ku menantimu di pintu syurga.

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...