Penulis: Burhan Sodiq
Sinopsis:
Buku ini mengupas tentang persoalan yang sangat digemari oleh manusia iaitu cinta. Secara amnya buku ini terbahagi kepada 7 bahagian iaitu:
- Pengenalan tentang cinta. Apa itu cinta? Definisinya dari sudut psikologi dan fitrah. Serta hormon-hormon yang terlibat ketika jatuh cinta.
- Pandangan Islam berkenaan dengan cinta berlainan jantina. Tanda-tanda bila seseorang itu jatuh hati dan beza antara cinta dan sayang.
- Jenis-jenis keperibadian seseorang, tanda-tanda cinta sejati dan cara-cara untuk mengenali calon suami.
- Tanda-tanda seseorang itu jatuh cinta dan tanda-tanda jika dia mabuk cinta.
- Bagaimana hendak menguruskan perasaan cinta itu jika seseorang itu sudah bersedia
untuk melangkah ke peringkat seterusnya iaitu alam perkahwinan dan kelebihan-kelebihan apabila melangkah ke alam perkahwinan. Juga disertakan cara yang terbaik untuk menangani rasa cinta bagi mereka yang belum lagi bersedia. - Cara-cara terbaik bagi menghadapi detik-detik cinta ditolak, bagaimana menenangkan hati dan perasaan bagi menerima segala ketentuan-Nya.
- Sebuah kisah menarik mengenai cinta yang kekal. Penuh dengan pengisian dan pengajaran yang menyentuh hati.
Menariknya Buku Ini:
Cinta adalah satu perasaan indah anugerah dari Ilahi kepada setiap manusia. Cinta kepada pasangan, ibubapa, keluarga, sahabat-handai, masyarakat, Rasulluah s.a.w. dan juga Allah s.w.t.
Cinta boleh berlaku dimasa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ada pasangan yang berkenalan bertahun-tahun tetapi tiada sekelumit pun perasaan cinta didalam hati mereka melainkan sayang semata-mata. Namun, apabila Allah s.w.t. menghadirkan perasaan cinta itu didalam hati mereka secara tiba-tiba dan akhirnya mereka sedar bahawa jalan terbaik bagi menangani rasa cinta itu adalah dengan membawanya ke alam perkahwinan yang sudah pastinya lebih diredhai oleh Allah s.w.t. Namun, terdapat juga mereka yang jatuh cinta pada pandang pertama dan seterusnya membawa ke jinjang pelamin. Alhamdulillah, semoga rumahtangga yang dibina berkekalan ke akhir hayat.
Cinta pada masa dahulu amat berbeza dengan cinta dimasa sekarang. Cinta pada masa dahulu disulami dengan adat dan syariat, penuh dengan sifat malu dan sangat tertutup. Masing-masing baik lelaki ataupun perempuan berusaha gigih untuk menjaga maruah diri dan keluarga. Tiada
bersentuhan, tiada pertemuan tanpa mahram, tiada komunikasi yang terlalu kerap dan tiada maksiat dan keruntuhan akhlak yang merunsingkan hati dan masyarakat sekeliling.
Namun, cinta pada masa kini sering disulami dengan kelalaian dan kemaksiatan yang nyata. Berpelukan dan berciuman dikhalayak ataupun ditempat yang sunyi tanpa secebis rasa malu kepada mata-mata yang memandang dan juga Maha Pencipta. Komunikasi tanpa batasan setiap masa dan ketika. Bersekedudukan dan akhirnya membenihkan zuriat yang tidak sah tarafnya.
Adakah itu cinta atau nafsu semata-mata? Pasti syaitan dan iblis bersorak gembira kerana umat manusia semakin lalai dan hanyut dibuat rasa cinta sesama manusia sehingga melupakan perasaan cinta Allah s.w.t. dan Rasulluah s.a.w.
Buku ini memberi sedikit sebanyak ilmu dan nasihat bagaimana untuk mengharungi rasa cinta didalam diri mengikut lunas-lunas Islam. Serta cara yang terbaik bagi merawat dan menguruskan rasa cinta itu.
Dalam masa yang sama, manusia juga tidak akan terlepas dari menghadapi penolakan terhadap cinta mereka. Cinta yang ditolak jika tidak ditangani dengan betul, boleh memudaratkan diri sendiri. Oleh itu, buku ini juga memberi panduan yang berguna kepada mereka yang cintanya tidak berbalas. Percayalah, segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya, dan pasti ada hikmah disebaliknya walaupun ia menyakitkan.
Patung Beruang tertarik dengan nasihat terakhir dari penulis buku ini iaitu:
- Bagi yang masih bujang, cinta ibarat kupu-kupu. Makin dikejar, makin ia menghindar.
Tapi bila dibiarkan terbang, ia akan menghampirimu disaat yang tidak terduga. Jadi tenang-tenang saja, jangan terburu-buru dan pilihlah yang terbaik. - Bagi yang ragu-ragu dengan perkahwinan, cinta bukannya perkara menjadikan seseorang itu sempurna. Akan tetapi perkahwinan juga dapat menemukan seseorang yang
dapat membantumu menjadikan diri sesempurnanya. - Bagi yang sudah berkahwin, kalau cinta jangan katakan, ”Ini salahmu!”, tapi
”Maafkan aku, ya?” Bukan ”Kau di mana!”, melainkan ”Aku disini, kenapa?”. Bukan
”Bolehkah kau begitu!” tapi ”Aku mengerti.” - Bagi yang patah hati, sakit patah hati bertahan selama anda menginginkannya dan akan
menghiris luka sedalam anda membiarkannya. Menentangnya bukanlah dengan mencari jalan untuk mengatasinya, melainkan memikirkan dan meneliti apakah yang boleh diambil sebagai pengajaran dan hikmatnya. - Bagi yang belum pernah jatuh cinta, mahu jatuh, jatuhlah tapi jangan sampai terjerumus. Tetaplah konsisten tapi jangan terlalu keras. Bahagilah dan jangan sekali-kali tidak adil. Fahamilah dan cubalah untuk tidak menuntut. Bersedialah untuk terluka dan menderita, tapi jangan disimpan semua rasa sakitmu itu.
- Bagi yang ingin menguasai, hatimu patah melihat yang anda cintai berbahagia dengan
orang lain, tapi akan lebih sakit lagi apabila mengetahui bahawa yang anda cintai ternyata tidak bahagia denganmu. - Bagi yang takut mengakui, cinta menyakitkan bila anda putuskan hubungan dengan
seseorang. Ia malah lebih sakit lagi apabila seseorang memutuskan hubungan denganmu. Tapi cinta paling menyakitkan bila orang yang anda cintai sama sekali tidak mengetahui perasaan anda terhadapnya. - Bagi yang masih bertahan mencintai seseorang yang telah pergi, perkara menyedihkan dalam hidup ialah bila anda bertemu seseorang lalu jatuh cinta, hanya kemudian pada akhirnya menyedari bahawa dia bukanlah jodohmu dan anda telah mensia-siakan bertahun-tahun untuk seseorang yang tidak layak. Kalau sekarangpun dia sudah tidak layak, 10 tahun dari sekarangpun dia tetap tidak akan layak. Biarkan dia pergi, lupakan!!.
- Bagi yang jenis playboy/playgirl, jangan katakan ”Aku cinta padamu” bila anda benar-benar tidak peduli. Jangan bicarakan soal perasaan bila perasaan itu memang tiada. Jangan anda sentuh hidup seseorang bila anda berniat mematahkan hatinya. Jangan menatap ke dalam mata bila apa yang anda katakan itu cuma bohong semata-mata. Perkara paling kejam yang anda lakukan adalah membuat seseorang jatuh cinta, padahal anda tidak berniat sama sekali untuk menerimanya saat dia terjatuh.
Akhir kata, Ya Allah, lindungilah hamba-Mu yang lemah ini dari segala godaan dan hasutan syaitan dan iblis laknat. Sesungguhnya perasaan cinta itu adalah hadiah dari-Mu buat semua hamba-Mu. Oleh itu, janganlah Engkau butakan mataku dan hatiku hanya kerana cinta ini. Janganlah Engkau hilangkan segala sifat maluku hanya kerana cinta ini. Peliharalah rasa cinta ini agar ia sentiasa mekar dan penuh rahmat-Mu. Amin..
No comments:
Post a Comment